IPOH, 26 Ogos 2024 – Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 yang berlangsung dari 26 – 30 Ogos 2024 meraikan 1,748 graduan dari 20 bidang yang telah menamatkan pengajian pada Sesi 2 2022/2023, Sesi 1 2023/2024 dan program Ijazah Sarjana Muda Sesi 1 2022/2023 melibatkan 1,671 orang di peringkat diploma, 63 orang untuk penerima di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan 14 orang penerima sijil kemahiran khas. Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar Ke-52 disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.
Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar ke-52 merupakan manifestasi kejayaan para graduan menamatkan pengajian masing-masing bersama-sama ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai serta para pensyarah yang tidak mengenal erti jemu mendidik dan mendoakan kejayaan para graduan.
Politeknik Ungku Omar yang telah ditubuhkan sejak 2 Jun 1969, merupakan politeknik pertama ditubuhkan di Malaysia untuk melatih tenaga kerja di Malaysia dalam bidang teknikal dan vokasional. Sehingga Ogos 2024, PUO telah melahirkan 88,567 graduan TVET dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional.
Sebagai sebuah Politeknik Premier, PUO bertanggungjawab untuk memenuhi aspirasi negara dalam menghasilkan graduan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika di samping mempunyai pengetahuan dan kemahiran berteraskan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional yang tinggi.
PUO melakarkan kejayaan tersendiri pada tahun 2024 apabila telah berjaya menawarkan tiga program baharu Ijazah Sarjana Muda bagi ambilan September 2024/2025 iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan Marin, Sarjana Muda Teknologi Senibina dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik.
Pada tahun ini, Diploma Anumerta (posthumous) dianugerahkan kepada waris Gemulah Ahmad Hirfan bin Shahrir, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang telah meninggal dunia pada 4 April 2024 akibat penyakit kanser synovial sarcoma (ketumbuhan di dalam paru-paru). Arwah turut cemerlang dalam bidang akademik sepanjang pengajian beliau.
Buat pertama kalinya, Anugerah Ungku Omar, anugerah paling berprestij diberikan kepada hanya seorang graduan yang mempunyai kriteria tersendiri iaitu seimbang dari sudut akademik dan kokurikulum serta aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, berkepemimpinan dan berinovasi. Saudara Muhammad Amir bin Md Jazi, graduan program Diploma Kejuruteraan Mekatronik telah diangkat sebagai penerima Anugerah Ungku Omar bagi tahun 2024.
Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut memberikan Anugerah Khas Industri Menteri Besar Perak kepada lima orang penerima. Sekalung penghargaan turut dirakamkan kepada 35 industri dan 5 penyumbang individu yang telah menyumbangkan Anugerah Khas Industri dalam bentuk hadiah sebagai penyuntik semangat kepada graduan yang cemerlang dan sebagai tanda sokongan berterusan pemain industri ke arah menjadikan PUO sebagai ‘Home of TVET Champions’.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment