Demi sebuah cita-cita mengubah taraf kehidupan melalui pendidikan

Spread the love

Oleh: Dr Nurul Huda Hamzah

Kebanyakan penjawat awam ketika ini dapat menarik nafas lega kerana mereka bakal menikmati kenaikan gaji sebanyak 15 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai penghujung tahun 2024. Sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji ini adalah pada kadar 13 peratus.

Persoalannya, adakah kadar kenaikan gaji yang diumumkan ini mampu membantu penjawat awam dalam meningkatkan taraf hidup? Dilema ini sering menghantui penjawat awam yang mempunyai cita-cita meningkatkan taraf pendidikan demi masa depan. Secara rambang, kenaikan gaji yang diumumkan masih belum boleh menjamin yang penjawat awam mampu menyambung pengajian bagi tujuan meningkatkan taraf hidup. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan dilema yang rumit ini?

Menghadapi situasi di mana gaji tidak mencukupi tetapi masih ingin menyambung pengajian untuk meningkatkan taraf hidup adalah satu keputusan yang mencabar namun bijak. Dengan mengambilkira cabaran dimana tahap pendapatan dan simpanan wang yang mungkin terhad, melanjutkan pengajian boleh membuka peluang kepada pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang jauh lebih tinggi pada masa hadapan.

Beberapa langkah boleh dipertimbangkan oleh penjawat awam, antaranya dengan mendapatkan biasiswa dan pinjaman pendidikan. Seperti yang kita maklum, terdapat beberapa institusi dan organisasi yang menawarkan biasiswa atau pinjaman pendidikan kepada bakal pelajar, terutamanya yang memerlukan bantuan kewangan bagi menampung bayaran yuran pengajian. Jika bantuan biasiswa ini berjaya diperolehi, ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan dan membolehkan mereka fokus pada pengajian.

Langkah kedua yang boleh dipertimbangkan oleh penjawat awam ialah menyambung pengajian sebagai pelajar sambilan atau dalam talian. Pertimbangkan untuk menyambung pengajian secara sambilan atau melalui program dalam talian ini membolehkan penjawat awam untuk terus bekerja sambil belajar, dan kosnya mungkin jauh lebih rendah berbanding program sepenuh masa. Program-program seumpamanya banyak ditawarkan oleh universiti awam seperti universiti terbaik Malaysia iaitu Universiti Malaya. Tidak ketinggalan juga universiti swasta juga banyak menawarkan program seumpanya antaranya Open Universiti Malaysia.

Seterusnya, penjawat awam boleh juga memilih untuk menguruskan kewangan yang bijak melalui kaedah menabung. Senaraikan bajet yang ketat dan cuba kurangkan perbelanjaan tidak perlu. Ambil kira dan senaraikan barangan keperluan dan kehendak. Simpanan yang sedikit tetapi konsisten boleh membantu dalam jangka masa panjang. Simpanan ini membolehkan penjawat awam menggunakan sebaiknya untuk menampung perbelanjaan dan yuran pengajian.

Selain itu, membuat pinjaman bank boleh dijadikan sebagai salah satu pilihan dalam menyambung pengajian. Walaubagaimanapun, untuk menyambung pengajian dan membuat pinjaman bank adalah keputusan yang perlu dipertimbangkan dengan teliti. Walaupun ia boleh memberi anda akses kepada dana yang diperlukan untuk melanjutkan pelajaran, tetapi terdapat beberapa faktor penting yang perlu diambil kira sebelum membuat keputusan. Kadar faedah yang kompetitif membuatkan sesetengah bank menawarkan kadar faedah yang rendah atau tempoh pembayaran balik yang fleksibel untuk pinjaman pendidikan, yang boleh menjadikannya lebih mudah untuk diurus.

Akhir sekali, penjawat awam boleh juga mempertimbangkan bantuan majikan melalui bantuan kewangan dan program pinjaman pengajian yang ditawarkan. Contohnya, sesetengah majikan menawarkan bantuan pendidikan kepada pekerja yang ingin meningkatkan kelayakan mereka. Ini mungkin termasuk yuran kursus, cuti belajar berbayar, atau bantuan-bantuan lain.

Secara kesimpulannya, menyambung pengajian dengan pendapatan yang sederhana adalah satu pelaburan untuk masa depan. Tidak dinafikan terdapat risiko yang perlu dipertimbangkan seperti bebanan hutang, kadar faedah pinjaman hutang yang perlu dilunaskan dalam tempoh masa tertentu, dan ketidakpastian masa depan. Tetapi, jika perancangan yang teliti dapat dilakukan dengan kesungguhan dalam menggenggam segulung ijazah menjadi motivasi maka kejayaan pasti dapat dikecapi. Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan kelayakan penjawat awam dan membuka peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang lebih tinggi.

Dalam jangka masa panjang, ini mungkin membantu penjawat awam mencapai kestabilan kewangan, dan akhirnya berjaya mengubah taraf kehidupan masing-masing.


Penulis merupakan pensyarah kanan di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di nurul.huda.hamzah@um.edu.my

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation