MITI jana potensi eksport bernilai RM2.65 billion ke Pakistan

Spread the love

Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) telah berjaya menjana potensi eksport bernilai RM2.65 bilion dan potensi pelaburan sebanyak RM100 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang semasa Lawatan Rasmi Sulung Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim ke Republik Islam Pakistan dari 2 hingga 4 Oktober 2024.

Menurut MITI, potensi eksport dan pelaburan tersebut melibatkan sektor seperti minyak sawit, kayu, baja, petrokimia oleokimia, pemprosesan makanan, dan farmaseutikal. Lawatan itu turut disertai Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz.

Semasa lawatan rasmi tersebut, Tengku Zafrul telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, TYT Jam Kamal Khan, Menteri Perdagangan Pakistan, bagi membincangkan cadangan semakan semula Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) dan potensi kerjasama dalam sektor seperti makanan, pertanian, halal, sektor IT serta rantaian bekalan.

“Malaysia komited untuk memantapkan lagi kerjasama ekonomi yang lebih kukuh bersama Pakistan dalam bidang yang memberi manfaat bersama. Dengan kedudukan strategik Malaysia di Asia Tenggara, serta pelbagai persamaan antara kedua-dua negara, Malaysia adalah pintu masuk ideal bagi Pakistan ke pasaran lain di ASEAN.” kata Tengku Zafrul.

Kedua-dua Menteri percaya bahawa pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP) serta pembukaan pejabat MATRADE di Karachi akan dapat memperkukuh dan memperdalam hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara. Merujuk kepada hubungan ekonomi Malaysia Pakistan yang kukuh, Menteri Jam Kamal Khan turut mencadangkan agar delegasi perniagaan Pakistan melawat Malaysia untuk mengeratkan hubungan di antara sektor swasta kedua-dua negara.

MITI turut menganjurkan Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Pakistan yang dihadiri oleh kedua-dua Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Yang Berhormat Shehbaz Shariff bersama menteri-menteri lain, termasuk Menteri Perdagangan Pakistan. Dialog perniagaan ini dihadiri oleh 42 syarikat terkemuka dari Pakistan dan 24 syarikat dari Malaysia dalam pelbagai sektor seperti farmaseutikal, pemprosesan makanan, kimia, automotif dan tekstil. Turut hadir ialah wakil daripada tujuh persatuan perniagaan termasuk Dewan Perniagaan Islamabad dan Majlis Perniagaan Malaysia Pakistan (MPBC).

“Dialog perniagaan ini memberikan peluang kepada komuniti perniagaan Malaysia dan Pakistan untuk berkongsi maklum balas serta perkembangan terkini berhubung dasar dan strategi kedua-dua negara dalam mengukuhkan lagi kerjasama dalam sektor-sektor baharu dan yang sedang berkembang.

Di kalangan negara-negara Asia Selatan, Pakistan merupakan rakan dagang ketiga terbesar dan destinasi eksport utama Malaysia serta sumber import kedua terbesar pada tahun 2023. Dari Januari hingga Ogos 2024, jumlah dagangan Malaysia-Pakistan mencatatkan peningkatan sebanyak 54.8%, mencapai RM5.68 bilion (USD1.21 bilion). Dari segi pelaburan, sebanyak 27 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat
Pakistan bernilai RM304.14 juta (USD81.89 juta) telah dilaksanakan, yang telah mewujudkan 1,382 peluang pekerjaan dalam industri seperti kertas, percetakan & penerbitan, pemprosesan makanan, tekstil dan produk kimia & kimia.” kata MITI.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation