Oleh: Rusli Abdul Roni
Setiap kali bulan Rabiulawal tiba, umat Islam di seluruh dunia menyambut tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW dengan penuh makna, kegembiraan, dan kesyukuran menjadi umatnya. Rutin tahunan ini adalah momen penting untuk memperbaharui cinta kita kepada junjungan agung, Baginda Rasulullah SAW, serta memperkukuhkan kefahaman kita terhadap ajaran Baginda. Namun, di sebalik kegembiraan ini, terdapat cabaran yang tidak dapat dinafikan, iaitu kemunculan dan penularan ajaran sesat yang berlegar di tengah masyarakat Islam.
Ajaran sesat ini bukan sahaja menggugat akidah umat Islam tetapi juga menyesatkan pemikiran serta mengaburkan kefahaman terhadap ajaran sebenar yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. Ini terjadi kerana ada segelintir individu yang kurang memahami ajaran Islam atau terpengaruh oleh kumpulan yang menyimpang dari ajaran dan tauladan Rasulullah SAW. Walhal, Allah SWT telah menjelaskan dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
Dalam konteks ini, sambutan Maulid Nabi SAW adalah peluang penting untuk menekankan kepada umat Islam betapa perlunya meneladani Rasulullah SAW dan mematuhi ajaran Baginda yang murni. Rasulullah SAW adalah contoh sempurna dalam segala aspek kehidupan, dan ajaran Baginda adalah jalan yang benar untuk mencapai keredaan Allah SWT.
Penularan ajaran sesat sering berlaku kerana pihak tertentu yang sengaja menggunakan nama agama untuk kepentingan peribadi. Mereka memperdaya orang ramai dengan interpretasi yang salah terhadap Al-Quran dan Sunnah, hingga menyesatkan pengikut mereka dari jalan yang benar. Rasulullah SAW telah mengingatkan kita dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Oleh itu, ajaran yang mengajak kepada kebencian, kekerasan, atau pengasingan daripada masyarakat adalah bertentangan dengan misi Rasulullah SAW untuk menyempurnakan akhlak yang baik.
Dalam menangani masalah ajaran sesat, umat Islam di Malaysia perlu peka dan terus memperkukuhkan kefahaman mereka terhadap ajaran Islam yang sebenar dengan merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Menyemarakkan Maulid Nabi SAW memberi kita peluang untuk memperdalam kefahaman tentang sunnah Baginda dan bagaimana Baginda membawa rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya, ayat 107: “Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”
Fahaman dan ajaran sesat sering muncul dengan janji-janji yang kelihatan menarik tetapi berlawanan dengan prinsip Islam. Contohnya, terdapat ajaran yang mendakwa mereka memiliki ilmu yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang atau menjanjikan kebahagiaan dan kejayaan melalui cara yang melanggar hukum syarak. Hakikatnya, Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan akhlak dan prinsip asas Islam. Baginda membawa ajaran yang mudah difahami dan berasaskan kebenaran serta keadilan.
Gegap gempita alunan selawat, bacaan rawi, dan kemeriahan sambutan Maulid Nabi SAW adalah masa yang sesuai untuk kita bermuhasabah diri. Adakah kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW, benar-benar memahami dan mengamalkan ajaran Baginda, atau adakah kita masih terdedah kepada pengaruh ajaran sesat yang secara senyap menyusup ke dalam masyarakat? Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara; jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnahku (hadis).”
Oleh itu, menyemarakkan cinta kepada Rasulullah SAW melalui Maulid Nabi bukan sahaja tentang memperingati kelahiran Baginda, tetapi lebih daripada itu, ia adalah peluang untuk kita mengukuhkan akidah kita dan menjauhkan diri daripada ajaran yang menyesatkan. Peringatan Maulid Nabi SAW harus menjadi momen untuk kita kembali kepada ajaran yang murni, meneladani sifat dan sunnah Baginda, serta memperkuatkan benteng iman kita.
Di Malaysia, pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan majlis-majlis agama negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk membanteras ajaran sesat dan menyedarkan masyarakat tentang bahaya ajaran ini. Namun, usaha ini memerlukan sokongan daripada semua pihak. Setiap individu Muslim perlu memainkan peranan dengan menyebarkan kefahaman Islam yang benar dan menjauhi sebarang bentuk ajaran yang menyimpang.
Pendek kata, semarak Maulid Nabi SAW perlu dimanfaatkan untuk memperkukuhkan lagi kepekaan umat Islam terhadap gelombang ajaran sesat dan penyelewengan, serta kesedaran tentang ajaran sebenar yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dengan mempelajari dan mengamalkan sunnah Baginda, kita dapat memastikan bahawa kita tidak terpengaruh dengan ajaran yang menyesatkan dan terjerumus ke dalam kemurkaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mencontohi sunnahku, maka dia adalah daripada golonganku.” (Hadis Riwayat Al-Tirmidzi)
Semoga dengan menyemarakkan sambutan Maulid Nabi SAW, cinta kita kepada Rasulullah SAW semakin mendalam dan kita dapat mempertahankan akidah kita daripada ancaman ajaran sesat. Marilah kita jadikan bulan Rabiulawal ini sebagai masa untuk memperbaharui cinta dan tekad kita dalam mengikuti sunnah Rasulullah SAW serta menolak sebarang ajaran yang bertentangan dengan ajaran Baginda.
Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN),
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment