Oleh: Dr Fadzlinda Baharin
Mempunyai gigi yang sihat dan lengkap merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga. Kempen ‘Gigi Sihat Sepanjang Hayat’ oleh Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan betapa pentingnya setiap individu untuk menjaga sebaiknya kesihatan gigi agar mampu berfungsi seumur hidup. Antara fungsi utama gigi adalah untuk mengunyah makanan, pertuturan dan kecantikan.
Struktur anatomi gigi terbahagi kepada enamel iaitu lapisan paling luar, diikuti oleh dentin iaitu lapisan kedua pada gigi. Dentin merupakan struktur berwarna putih kekuningan yang memberikan identiti unik pada gigi setiap individu. Pada bahagian tengah gigi, terdapat satu struktur yang sangat penting iaitu pulpa. Pulpa boleh diibaratkan sebagai ‘jantung’ untuk gigi. Di dalamnya terletak komponen penting seperti kapilari darah dan sistem saraf yang berfungsi memberi nutrisi kepada gigi agar ia kekal ‘hidup’.
Kecederaan (trauma) pada gigi, penyakit karies (gigi berlubang) dan penyakit gusi boleh menyebabkan gigi yang ‘hidup’ menjadi ‘mati’. Perkara ini terjadi kerana kapilari darah atau saraf di dalam sistem pulpa yang terjejas boleh menjadi tempat pembiakan bakteria seterusnya menyebabkan jangkitan kuman. Jika ini berlaku, pesakit akan mengalami kesakitan serta nanah gusi. Rawatan untuk gigi yang sudah ‘mati’ adalah rawatan salur akar atau cabutan. Sekiranya gigi kekal terpaksa dicabut, maka pesakit perlu memakai gigi palsu bagi menggantikan ruang gigi yang telah kosong.
Untuk pengetahuan umum, rawatan salur akar gigi kekal yang ‘mati’ dalam pesakit kanak-kanak adalah lebih rumit dan kompleks. Ini berikutan akar gigi kekal yang sudah tumbuh pada pesakit kanak-kanak mungkin berada pada keadaan ‘tidak matang’ iaitu hujung akar gigi masih belum tutup sepenuhnya. Selain itu, proses penebalan dentin pada akar gigi yang ‘mati’ juga akan terbantut mengakibatkan gigi itu rapuh dan mudah patah. Ibarat pokok tumbuhan yang muda berbanding pokok yang lebih tua, akar tumbuhan muda masih belum menyelinap kukuh bertapak di dalam tanah.
Lazimnya, akar gigi kekal akan matang dalam tempoh tiga tahun selepas ia tumbuh dari gusi. Rawatan revascularisation telah memberi sinar baru dalam bidang rawatan salur akar untuk gigi tidak matang, umpama menghidupkan gigi yang sudah mati. Teknik ini merupakan antara cabang ilmu sains sel stem. Secara ringkasnya, prosedur rawatan revascularisation melibatkan proses penyahkuman (disinfeksi) salur akar menggunakan bancuhan antibiotik tertentu. Seterusnya, ‘luka’ akan sengaja dilakukan di hujung akar dengan menggunakan alatan tajam bersteril bagi menggalakkan pendarahan memenuhi salur akar gigi. Kewujudan darah yang kaya dengan sel stem di dalam salur akar akan berfungsi sebagai sistem pemulihan dalaman dan berpotensi membeza kepada sel dengan fungsi yang lebih khusus seperti sistem pulpa. Kesannya, proses penebalan dentin dapat diteruskan dan hujung akar gigi yang terbuka akan beransur tutup menjadi matang.
Justeru, amat penting sekiranya pesakit kanak-kanak yang mengalami kecederaan atau karies pada gigi kekal, terutamanya, untuk dirujuk ke pakar pergigian pediatrik bagi mendapatkan nasihat dan rawatan yang sewajarnya. Adalah kasihan sekiranya kanak-kanak tersebut perlu memakai gigi palsu di umur yang muda jika gigi kekal mereka terpaksa dicabut kerana lewat mendapat rawatan dari doktor gigi. Bersama kita jayakan kempen ‘Gigi Sihat Sepanjang Hayat’ agar kualiti hidup kita sentiasa berada pada tahap optimum, seumur hidup!
Penulis merupakan Pensyarah Pergigian Pediatrik di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment