Oleh: Dr Mohd Firdaus Abdullah
Peruntukan kewangan dalam sukan sering menjadi isu perdebatan hangat di Malaysia, terutamanya apabila membandingkan bajet yang disalurkan kepada kontinjen para negara dengan dana yang diterima oleh pasukan kebangsaan. Lebih-lebih lagi apabila jumlah peruntukan untuk keseluruhan pembangunan kontinjen para negara seakan-akan sama dengan jumlah yang diterima oleh hanya satu pasukan kebangsaan iaitu bolasepak. Dalam diskusi ini, timbul persoalan: mana yang lebih layak mendapat keutamaan – kontinjen para yang telah terbukti berjaya meraih “gold” (pingat emas) di pentas dunia, atau bola sepak, sukan paling popular yang sering kali menjadi topik perbincangan rakyat namun masih tercungap-cungap mengejar (gol?) impian layak ke Piala Dunia?
Atlet para negara telah membawa pulang beberapa pencapaian gemilang di peringkat antarabangsa, termasuk pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020. Walaupun ketika Paris 2024 kontinjen negara tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, Malaysia tetap bangga meraikan kejayaan atlet seperti Bonnie Bunyau Gustin dan Cheah Liek Hou yang mengangkat maruah negara di mata dunia. Mereka bukan sahaja berjuang untuk diri sendiri tetapi juga mewakili kebolehan luar biasa yang ada pada atlet kelainan upaya.
Sebaliknya, bola sepak Malaysia, walaupun mempunyai jumlah peminat yang besar, masih gagal mencatat pencapaian yang sepadan dengan harapan peminat. Pasukan kebangsaan Harimau Malaya belum pernah layak ke Piala Dunia, dan prestasi terbaik setakat ini hanya di peringkat serantau melalui Piala AFF. Ketika bola sepak sentiasa menjadi fokus utama media, pencapaian kontinjen para yang lebih mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa wajar diberikan lebih banyak perhatian dan peruntukan kewangan.
Satu aspek penting dalam membincangkan peruntukan sukan adalah keupayaan sukan tersebut untuk menjana pendapatan sendiri. Bola sepak mempunyai kelebihan dari segi peluang penajaan, hasil penyiaran, dan sokongan peminat. Liga Super Malaysia, walaupun masih berkembang, telah mula menarik penaja besar, manakala perlawanan bola sepak tempatan sering mendapat perhatian media dan penonton. Dengan adanya penaja-penaja besar, bola sepak mempunyai platform kukuh untuk menjana pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.
Sebaliknya, sukan para menghadapi cabaran yang lebih besar dalam menarik penaja dan penglibatan korporat. Popularitinya tidak setanding dengan bola sepak, dan ini menyebabkan sukar bagi atlet para untuk menjana pendapatan sendiri. Oleh itu, mereka memerlukan sokongan yang lebih kuat dari kerajaan. Peningkatan dana yang diumumkan untuk kontinjen Paralimpik 2024 sebanyak RM10 juta merupakan satu langkah yang baik, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan atlet para mendapat sokongan yang berterusan, terutama dari segi kebajikan, latihan, dan kemudahan.
Atlet para sering berdepan dengan cabaran yang lebih besar, dari segi kecederaan, keperluan rawatan khusus, dan pemulihan. Kejayaan mereka di pentas dunia tidak datang tanpa usaha yang luar biasa dan sokongan dari pelbagai aspek, termasuk teknologi sukan yang lebih maju dan kemudahan latihan yang sesuai. Pembangunan atlet para di Malaysia, walaupun telah menunjukkan kemajuan, masih memerlukan lebih banyak pelaburan, terutamanya dalam pembangunan bakat akar umbi.
Sebagai contoh, kejayaan Bonnie Bunyau Gustin meraih emas di Paralimpik Tokyo dan Paris 2024 bukan sahaja memerlukan dedikasi peribadi yang tinggi tetapi juga pelaburan besar dalam peralatan dan jurulatih berkualiti. Atlet para tidak hanya memerlukan sokongan semasa aktif, tetapi juga selepas persaraan. Oleh itu, peruntukan kerajaan perlu diperluaskan untuk memastikan kebajikan mereka terjamin. Bola sepak, dengan penglibatan sektor swasta yang lebih aktif, mempunyai sistem sokongan yang lebih stabil, manakala atlet para memerlukan lebih banyak bantuan dari sektor kerajaan.
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menjelaskan keputusan kerajaan untuk menambah dana kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi pembangunan bola sepak kebangsaan. Keputusan ini menimbulkan reaksi bercampur-campur dalam kalangan peminat sukan, yang ada di antaranya mempersoalkan keperluan bola sepak untuk terus menerima peruntukan yang besar walaupun prestasinya tidak sepadan. Sebaliknya, kontinjen para negara yang telah membawa emas pulang ke tanah air masih menerima bajet yang lebih kecil berbanding bola sepak.
Peruntukan yang lebih besar kepada sukan para akan memastikan pencapaian negara di arena antarabangsa terus cemerlang. Dengan penglibatan yang lebih meluas dalam sukan para, Malaysia berpotensi menjadi kuasa besar dalam arena sukan para dunia. Jika kerajaan memberi tumpuan lebih kepada atlet para, kita bukan sahaja dapat terus mengangkat nama negara di persada antarabangsa tetapi juga memastikan pembangunan sukan yang inklusif.
Dalam konteks ini, penulis berpandangan bahawa wujud ketidakseimbangan peruntukan yang terlalu berat sebelah kepada bola sepak. Walaupun bola sepak adalah sukan paling popular di negara ini, kontinjen para yang secara konsisten membawa pulang kejayaan di peringkat tertinggi sepatutnya diberi penghargaan yang lebih tinggi dalam bentuk peruntukan bajet. Dana khas yang dicadangkan untuk pasukan bola sepak kebangsaan sering kali dilihat tidak membawa pulangan yang setimpal dengan pelaburan, manakala sukan para, yang berjaya meraih emas, masih “diabaikan” dari segi peruntukan yang mencukupi.
Apabila mempertimbangkan keutamaan bajet dalam sukan, penulis berpandangan bahawa kontinjen para negara yang berjaya meraih kejayaan di pentas antarabangsa harus menerima peruntukan yang lebih besar berbanding bola sepak. Bola sepak, walaupun popular, mempunyai potensi lebih besar untuk menjana pendapatan sendiri melalui penajaan dan sokongan komersial.
Apa yang boleh dicadangkan, mungkin Kerajaan boleh membantu sukan-sukan yang popular ini mendapatkan penajaan dengan lebih memperkemaskan faedah-faedah yang sedia ada untuk menarik minat penaja yang berpotensi. Mungkin boleh dinaikkan peratus pengecualian cukai agar ianya lebih menarik minat penaja berpotensi.
Sebaliknya, sukan para memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan untuk memastikan kesinambungan kejayaan mereka di peringkat antarabangsa. Dengan prestasi cemerlang kontinjen para, sudah tiba masanya kerajaan memberikan tumpuan kepada mereka yang telah membawa “gold” (pingat emas) ke tanah air, dan bukannya hanya mengejar “gol” (impian) yang belum pasti.
Penulias merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment