Oleh: Dr. Nurul Ashikin Alias
Kehidupan seorang muslim adalah sering berkisarkan di antara konsep Halal dan Haram. Kedua-dua terma ini adalah berfungsi untuk menjadi garis panduan kepada umat islam dalam melaksanakan aktiviti penghidupan seharian berlandaskan syariat. Konsep Halal dalam perspektif makanan adalah merujuk kepada makanan yang dibenarkan untuk diambil oleh umat islam. Manakala, konsep haram pula adalah membawa maksud sebaliknya. Konsep makanan halal ini adalah merangkumi secara menyeluruh dengan menggalakkan umat Islam untuk mengambil produk makanan yang berkhasiat serta dihasilkan secara suci dan bersih dari perspektif Islam itu sendiri.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pelbagai perkhabaran yang tular dalam ruangan internet adalah berkaitan restoran atau premis makan yang tidak memiliki persijilan Halal, terutamanya bagi premis yang terletak di dalam kawasan pusat membeli-belah. Permakluman ini turut disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pelbagai persepsi dapat dilihat bermula dari kalangan masyarakat dan peringkat pimpinan kerajaan yang berpendapat bahawa pensijilan Halal adalah hanya akan menyukarkan golongan peniaga yang terlibat dalam aktiviti perniagaan. Walaupun pada hakikatnya kini pihak JAKIM turut menyediakan permohonan persijilan Halal bagi kategori penyediaan makanan bersifat mikro dan homebase bagi memudahkan perniagaan premis makanan.
Pada masa kini industri makanan Halal telah menjadi pasaran makanan terbesar di dunia. Tambahan pula, pendidikan kepenggunaan produk makanan halal semakin berkembang dalam konteks Malaysia. Didorong oleh kesedaran yang tinggi dalam kalangan pengguna sama ada dari umat Islam dan bukan Islam disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor yang mendorong kepada peningkatan permintaan makanan Halal adalah peningkatan populasi masyarakat Islam di dunia dengan anggaran seramai 2.76 billion individu Islam pada tahun 2050. Di Malaysia juga menurut bancian pada tahun 2020, kira-kira 63.5 peratus daripada populasi penduduk adalah beragama Islam; 18.7 peratus Buddha; 9.1 peratus Kristian, 6.1 Hinduisme dan 0.9 peratus dari agama-agama lain. Selain itu, berlalu dengan masa yang semakin membangun dan maju, komuniti Islam juga secara rata-ratanya mengalami peningkatan pendapatan yang signifikan sehingga mampu meningkatkan kuasa membeli bagi mendapatkan makanan Halal terutamanya.
Selain itu, pasaran berorientasikan makanan halal juga telah berkembang dengan pesatnya disebabkan oleh peningkatan tahap kebimbangan dan kesedaran di kalangan masyarakat. Malaysia adalah negara teratas yang terkenal untuk pengembaraan, ubatan dan kosmetik Halal. Pada permulaannya keusahawanan Halal adalah bermula dari konsep makanan kemudian diperluaskan lagi kepada produk bersifat bukan makanan seperti kosmetik, penjagaan diri, pelancongan, perubatan, perbankan, kewangan dan perkhidmatan lain seperti hospitaliti dan logistik. Dapat dilihat bahawa konsep Halal banyak diaplikasikan ke dalam kehidupan seseorang individu secara keseluruhannya.
Tambahan pula, industri Halal di Malaysia berpotensi menyediakan peluang yang luas kepada pengeluar makanan untuk mengembangkan perniagaan mereka, di peringkat global. Walau bagaimanapun, perniagaan makanan telah menghadapi beberapa kesukaran untuk meningkatkan prestasi disebabkan oleh faktor kerumitan dalam rantaian bekalan Halal. Melalui industri makanan Halal ini sudah pastinya akan membuka peluang ekonomi yang lebih besar dikalangan masyarakat Malaysia. Selain itu, perlaksanaan permohonan persijilan Halal ini seharusnya tidak hanya terhad kepada premis makanan yang terdapat di dalam pusat membeli-belah sahaja. Perlaksanaan permohonan persijilan Halal ini seharusnya dilebar luas ke kawasan tarikan pengguna yang lain disebabkan oleh pembangunan ekonomi Gig pada masa kini yang melibatkan perhantaran makanan bersifat homebase atau dari warung dan kedai di tepi jalan juga telah berkembang pesat di Malaysia. Maka dengan perlaksaan permohonan persijilan Halal bagi perniagaan makanan ini akan memudahkan pengguna di Malaysia untuk mendapatkan makanan Halal yang diyakini.
Pelbagai pihak sama ada kerajaan, agensi dan masyarakat perlu memainkan peranan penting untuk memastikan perlaksanaan permohonan persijilan Halal ini dilakukan di setiap premis dan perniagaan yang terlibat dengan perniagaan yang berunsurkan makanan. Kejayaan bagi memastikan prlaksanaan permohonan persijilan Halal secara menyeluruh dalam industri makanan akan memastikan kesucian makanan yang ambil oleh umat Islam di Malaysia adalah sentiasa terjaga. Industri yang terlibat dengan penghantaran makanan juga seperti Grab, Pandafood, Lalamove seharusnya menggalakkan peniaga makanan yang mendaftar sebagai vendor dan menggunakan perkhidmatan mereka seharusnya mempunyai persijilan Halal agar dapat meningkatkan keyakinan pengguna-pengguna Islam tentang status Halal makanan yang dibeli.
Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa pelaksanaan permohonan sijil Halal bagi golongan peniaga makanan di Malaysia akan meningkatkan lagi potensi sesebuah entiti dan industri yang terlibat untuk memperluaskan sumber penjanaan pendapatan mereka sama ada di dalam atau di luar negara disamping mampu meningkatkan tahap kesejahteraan penghidupan dan ekonomi masyarakat. Secara hakikatnya sudah pasti kita tidak akan mampu untuk mendesak keseluruhan peniaga makanan untuk terlibat dalam permohonan persijilan Halal kerana sesungguhnya kita cukup sedar bahawa populasi masyarakat di Malaysia adalah terdiri dari pelbagai kaum dan agama.
Namun, isu status Halal makanan adalah cukup terkait rapat dengan umat Islam. Maka adalah penting untuk umat Islam menjadi pengguna yang lebih bijak dalam memilih sumber makanan yang akan menjadi darah daging. Sebagai pengguna muslim yang bijak kita perlu memilih premis makanan dengan memberikan keutamaan dalam menyerahkan kuasa memberli kepada premis yang memiliki persijilan Halal serta diuruskan oleh golongan muslim. Jangan pernah kita terikut-ikut dengan pempengaruh yang tular di media sosial dalam mengiklankan premis makanan tanpa mengambil kira status Halal makanan tersebut.
Penulis adalah Felo Penyedik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC).
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment