Belanjawan 2025 bukti kerajaan cakna OKU

Spread the love

Oleh: Dr. Hanira Hanafi

Kebelakangan ini, Kerajaan Madani melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneruskan agenda memperkasakan golongan OKU melalui pelan strategi di bawah Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) dalam 15 bidang termasuk advokasi, kesihatan, pemulihan, aksesibiliti, pendidikan, pekerjaan, dan penyelidikan. Pelan strategi tersebut terus dilaksanakan dan dipergiatkan bagi memastikan golongan itu mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.

Usaha memperkasakan golongan OKU dilihat menjadi agenda berterusan kerajaan MADANI melalui pembentangan Belanjawan Madani Ketiga yang dibuat baru-baru ini. Selain bantuan perniagaan, pekerjaan, pendidikan, inisiatif percukaian dan kesejahteraan komuniti OKU, belanjawan 2025 turut memperuntukkan secara khusus bagi kebajikan dan pendidikan anak-anak autistik untuk masa depan mereka yang lebih terjamin.

Pada keseluruhannya, inisiatif-inisiatif tersebut merangkumi beberapa aspek utama. Dari segi bantuan dan pembiayaan perniagaan, kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan disediakan oleh agensi Kerajaan melalui TEKUN dan BSN, yang menawarkan pinjaman mikro sebanyak RM3.2 bilion untuk membantu penjaja kecil, termasuk golongan OKU. Bagi pekerjaan dalam bidang TVET, majikan yang mengambil OKU bekerja akan diberi insentif sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan di bawah seliaan PERKESO.

Dalam aspek pendidikan, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk menyelenggara semua jenis sekolah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah agama, sekolah tentera, dan sekolah pendidikan khas untuk OKU, dengan tumpuan khusus pada memperbaiki bilik darjah yang uzur. Bagi kebajikan dan pendidikan anak-anak autistik, kerajaan akan membina Pusat PERMATA baru di setiap negeri, termasuk Kelantan, Terengganu, Sabah, dan Sarawak. Selain itu, dua sekolah untuk murid berkeperluan khas akan didirikan di Tuaran, Sabah, dan Johor Bahru dengan kos RM300 juta, di mana sekolah di Johor Bahru akan memberi fokus sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik.

Elaun Murid Berkeperluan Khas sebanyak RM150 sebulan akan terus disediakan untuk lebih 110 ribu murid OKU, termasuk murid autisme, dengan peruntukan sebanyak RM200 juta. Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme sebanyak RM15 juta disediakan untuk meringankan beban ibu bapa, memanfaatkan 30 ribu anak autisme. Kerajaan juga akan menyalurkan sebanyak RM10 juta untuk membantu sekolah autistik swasta yang berdaftar melengkapkan kemudahan pembelajaran yang selesa. Selain itu, pusat perkhidmatan autisme baru akan dibangunkan untuk manfaat komuniti autisme dengan peruntukan RM5 juta, dan had pelepasan cukai untuk perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autisme akan meningkat kepada RM6,000 dari RM4,000.

Bagi kesejahteraan komuniti OKU, peruntukan bantuan di bawah JKM meningkat kepada RM1.3 bilion, berbanding RM1.2 bilion sebelumnya. Syarat kelayakan gaji untuk menerima Bantuan Elaun Pekerja OKU dinaikkan kepada RM1,700, dari RM1,500. Kemudahan mesra OKU di seluruh IPTA juga akan diperbaiki, dan Program Pemulihan Dalam Komuniti untuk OKU akan diteruskan dengan peruntukan RM30 juta. Tambahan lagi, dana sebanyak RM50 juta disediakan melalui Skim Sinar BSN untuk membantu OKU menceburi bidang perniagaan.

Dari segi inisiatif percukaian, beberapa langkah telah diambil. Pertama, pelepasan cukai tambahan bagi OKU dinaikkan kepada RM7,000. Kedua, pelepasan cukai tambahan bagi pasangan OKU dinaikkan kepada RM6,000. Ketiga, pelepasan cukai bagi pembayar cukai yang mempunyai anak OKU yang belum berkahwin dinaikkan kepada RM8,000.

Bagi memastikan sistem penyampaian awam lebih inklusif, pusat hubungan Kerajaan MyGCC akan menyediakan perkhidmatan khusus bagi pemanggil OKU, termasuk kemudahan panggilan video dengan bahasa isyarat.

Kesimpulannya, Belanjawan 2025 Kerajaan Madani dilihat sebagai belanjawan yang sangat menarik berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila wujudnya peruntukan khas untuk kebajikan dan pendidikan anak-anak autistik. Inisiatif ini bukan sahaja bukti komitmen dan sokongan langsung Kerajaan Madani kepada anak-anak autistik dan keluarga mereka, tetapi juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang autisme. Dengan menyediakan lebih banyak kemudahan pendidikan dan program yang inklusif, masyarakat akan lebih berpeluang untuk memahami ciri-ciri dan keperluan khusus anak-anak autistik. Ini seterusnya akan membantu mengurangkan stigma dan prejudis, serta mempromosikan penglibatan aktif mereka dalam masyarakat. Kesedaran yang meningkat akan membentuk persekitaran yang lebih mesra dan menyokong, membolehkan anak-anak autistik berkembang dengan lebih baik dan mencapai potensi mereka. Melalui belanjawan ini, Kerajaan Madani bukan sahaja melabur dalam pendidikan dan kebajikan, tetapi juga dalam pembinaan masyarakat yang lebih empati dan inklusif.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2025 Kerajaan Madani menekankan komitmen terhadap golongan OKU dengan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan dan penglibatan mereka dalam masyarakat selaras dengan objektif Dasar Orang Kurang Upaya. Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan golongan OKU menerima sokongan yang diperlukan untuk menyertai dan menyumbang kepada pembangunan negara.


Dr. Hanira Hanafi

Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation