• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

DEMI KEADILAN PALESTIN: MALAYSIA MEMPERJUANGKAN HAK ASASI DI PBB 

Spread the love

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Tindakan Malaysia untuk membawa draf resolusi bagi menggantung keanggotaan Israel dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan langkah yang bukan sahaja mencerminkan keprihatinan terhadap isu Palestin, tetapi juga keseriusan dalam mempertahankan prinsip keadilan dan hak asasi manusia di pentas antarabangsa. Ketegasan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam isu ini menggariskan prinsip moral dan tanggungjawab sejagat Malaysia yang selaras dengan falsafah Malaysia MADANI di mana aspek kemanusiaan dan keadilan sosial menjadi tunjang.

Keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel yang menyebabkan lebih daripada 43,000 nyawa rakyat Palestin terkorban yang rata-ratanya wanita dan kanak-kanak serta lebih 100,000 yang cedera. Ia adalah isu yang tidak boleh lagi diabaikan oleh masyarakat antarabangsa. Penindasan ini melangkaui wilayah Palestin dengan turut menyerang kawasan selatan Lubnan, menambah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di rantau tersebut. Keputusan Knesset Israel pada 28 Oktober 2024 untuk melarang operasi Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memperlihatkan sikap kedegilan Israel yang semakin melampaui batas dalam menafikan hak asasi rakyat Palestin, serta menjauhkan lagi penyelesaian damai yang saksama.

Malaysia berusaha membawa draf resolusi ini di Perhimpunan Agung PBB untuk memastikan hak-hak rakyat Palestin terus terbela, di samping menyokong peranan UNRWA sebagai talian hayat bagi enam juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan, dan Syria. Bantuan asas seperti pendidikan dan kesihatan yang disediakan oleh UNRWA amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat Palestin terpelihara walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Mengikut Piagam PBB terdapat dua Artikel yang memberi kuasa untuk badan tertinggi dunia ini menggantung atau mengusir negara yang melanggar prinsip pertubuhan tersebut secara berterusan. Artikel 5 membenarkan penggantungan, manakala Artikel 6 memberi laluan kepada pengusiran sekiranya terdapat pelanggaran besar terhadap prinsip-prinsip PBB. Langkah ini sekaligus memberi sokongan penuh kepada UNRWA serta membuka ruang untuk mendapatkan pendapat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tentang hak dan kewajiban Israel terhadap Palestin. Dengan usaha ini, Malaysia berharap agar Israel dipertanggungjawabkan dan tindakan yang lebih tegas dapat diambil sekiranya pelanggaran undang-undang antarabangsa berterusan.

Langkah Malaysia ini adalah selari dengan falsafah Malaysia MADANI yang mengutamakan prinsip kemanusiaan dan keadilan sosial dalam mewujudkan masyarakat global yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap keadilan sejagat. Di samping itu, ia juga merupakan contoh keberanian moral Malaysia untuk menegakkan demokrasi dan amanah antarabangsa yang lebih adil dan saksama.

Sebelum ini, Malaysia sendiri telah menunjukkan contoh kepada dunia dengan mengharamkan kapal-kapal milik syarikat perkapalan Israel iaitu ZIM Shipping daripada berlabuh di pelabuhan Malaysia. Mungkin tindakkan ini seolah-olah seperti  tiada kesannya tetapi Malaysia berjaya membawa mesej kepada dunia yang Malaysia serius dalam hal berkaitan konflik Palestin-Israel.

Tindakan ini mungkin tampak sukar, tetapi ia merupakan satu langkah simbolik yang kuat. Malaysia menunjukkan komitmen teguh untuk menyuarakan keadilan bagi Palestin. Sekalipun sokongan negara-negara besar dalam Majlis Keselamatan diperlukan, Malaysia terus berusaha untuk memimpin solidariti global dan menyeru komuniti antarabangsa untuk bersama menentang kezaliman, serta berusaha ke arah kedamaian yang mampan.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyokong penuh keputusan Perdana Menteri dalam membawa draf resolusi di Perhimpunan Agung PBB yang mencadangkan penggantungan atau pengusiran Israel kerana pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, khususnya dalam isu Palestin. Sokongan IKIM ini menegaskan komitmen Malaysia terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan sejagat.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation