Oleh: Rusli Abdul Roni
Baru-baru ini heboh diperkatakan soal ajaran sesat yang dikaitkan dengan GISB. Antara salah satu fenomena yang telah wujud sejak zaman dahulu lagi dan berterusan sehingga ke hari ini adalah kemunculan ajaran sesat. Fenomena ini bukan sahaja membawa kesan negatif kepada individu, malah kepada masyarakat dan umat Islam secara keseluruhan. Oleh itu, umat Islam perlu peka dan cakna terhadap ajaran Islam yang sebenar untuk memastikan keutuhan dan kesucian agama terus terpelihara.
Walaupun isu ini bukanlah perkara baharu, malah telah wujud sejak zaman berzaman sejak zaman para nabi dan rasul lagi, namun mesti disedari bahawa ajaran sesat merupakan satu ancaman yang serius terhadap akidah umat Islam. Seperti kes Musailamah alkazzab dan lain-lain yang dicatatkan dalam sejarah Islam. Ajaran sesat adalah penyimpangan daripada ajaran Islam yang sebenar dan seringkali menyesatkan pengikutnya melalui dakwaan yang menyeleweng daripada ajaran al-Quran dan Sunnah. Oleh itu, Allah telah berpesan kepada kita sebagaimana termaktub dalam surah Al-An’am, ayat 153: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka turutlah ia, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”
Dalam konteks Malaysia, ajaran sesat bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang ringan. Kes-kes yang melibatkan ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin, Tuhan Harun, arqam dan banyak lagi telah memberi impak negatif kepada masyarakat Islam di negara ini. Bahkan ajaran sesat ini juga menjejaskan imej negara dan Kerajaan. Ajaran-ajaran ini sering menggunakan pelbagai helah untuk menarik pengikut, termasuk menggunakan nama Islam untuk menghalalkan perbuatan mereka. Mereka sering memutarbelitkan ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW untuk kepentingan peribadi dan kelompok mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya umatku akan berpecah kepada 73 golongan. Hanya satu yang akan masuk syurga, manakala yang lain akan masuk neraka.” Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Mereka ialah yang berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah para sahabatku.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Sejarah telah membuktikan bahawa ajaran sesat bukan sahaja merosakkan akidah tetapi juga mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat. Contohnya, dalam kes Al-Ma’unah yang berlaku pada tahun 2000, ajaran sesat ini bukan sahaja menyesatkan pengikutnya tetapi juga membawa kepada tindakan keganasan yang mengorbankan nyawa, harta benda. Ini menunjukkan betapa bahayanya ajaran sesat jika tidak ditangani dengan segera, tegas dan tepat. Ajaran sesat seperti ini biasanya menawarkan jalan pintas ke arah keagamaan yang kononnya lebih mudah dan lebih benar daripada ajaran Islam yang sebenar. Mereka sering memanipulasi pengikut dengan janji-janji palsu seperti kebebasan daripada azab neraka, kesenangan hidup di dunia, dan pelbagai lagi janji manis yang sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam yang hakiki.
Untuk mengenal pasti dan menangani ajaran sesat, umat Islam perlu peka dan cakna terhadap ajaran Islam yang sebenar. Antara ciri-ciri ajaran sesat adalah mengubah rukun Islam dan rukun Iman, mentafsirkan al-Quran secara sembarangan, mengaku menerima wahyu selepas Nabi Muhammad SAW, dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan dalam Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita perlu terus mendalami ilmu Islam sehingga kita keluar dari kejahilan dan ketidak fahaman, mengikuti pengajaran dan panduan daripada al-Quran dan Sunnah, serta merujuk kepada ulama yang muktabar dan berautoriti dalam memahami ajaran Islam. Kita juga perlu peka terhadap sumber maklumat tidak tepat. Apatah lagi di era digital dan kelajuan maklumat ketika ini. Antara sebab utama faktor penyumbang fenomena ajaran sesat ini ialah berpunca dari kejahilan dan ketidakfahaman ajaran Islam sebenar, pengaruh pemimpin atau guru yang menyimpang dan kadang-kadang akibat pengaruh sosial, budaya sonsang dan cara hidup yang salah.
Oleh itu, sikap peka dan cakna ini sangat penting dalam memastikan kita tidak terjerumus ke dalam kancah ajaran sesat. Sebagai umat Islam, kita perlu berusaha memahami ajaran Islam secara holistik, bukan sekadar mengikut-ikut tanpa ilmu. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nahl, ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Peranan pihak berkuasa agama juga amat penting dalam menangani isu ajaran sesat. Pihak berkuasa agama perlu sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas berhemah terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menyebarkan ajaran sesat. Pendidikan agama juga perlu diperkasakan, terutama di peringkat akar umbi, supaya umat Islam dapat membezakan antara ajaran Islam yang benar dengan ajaran sesat. Selain itu, media juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat dan kesedaran mengenai bahaya ajaran sesat. Melalui pendedahan media, masyarakat dapat mengetahui modus operandi ajaran sesat dan dapat lebih berhati-hati dalam menerima ajaran yang disampaikan kepada mereka.
Semua kita juga perlu memainkan peranan dalam menasihati dan membimbing ahli keluarga, rakan-rakan, dan masyarakat sekitar untuk lebih peka terhadap ajaran sesat. Janganlah kita mudah terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng, walaupun ia kelihatan menarik dan menawarkan pelbagai keistimewaan. Rasulullah SAW bersabda, “Agama itu adalah nasihat.” Kami bertanya, “Bagi siapa, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Bagi Allah, kitabNya, rasulNya, dan bagi pemimpin umat Islam serta orang awamnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ingatlah, ajaran sesat adalah satu ancaman yang perlu diambil serius oleh setiap umat Islam. Peka dan cakna terhadap ajaran Islam yang sebenar adalah kunci utama dalam menangani ancaman ini. Dengan ilmu yang benar dan kefahaman yang mendalam tentang ajaran Islam, kita dapat menghindari diri kita dan masyarakat daripada terjerumus ke dalam kancah ajaran sonsang yang menyesatkan. Marilah kita bersama-sama berusaha memperkukuhkan akidah dan memelihara kesucian agama Islam, memperkukuh pemahaman syariat agar terhindar daripada ajaran yang menyimpang. Semoga Allah SWT sentiasa membimbing kita ke jalan yang benar dan melindungi kita daripada segala bentuk kesesatan.
Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment