Seni halus bidang menganggur?

Spread the love

Oleh: Dr. Fakhrur Razi Maamor

Seni halus merupakan bidang yang melibatkan pemikiran kreatif dalam berkarya. Dalam erti kata lain, keupayaan berfikir itu dijelmakan melalui seni visual yang memiliki nilai estetika dan makna-makna yang tersirat. Di sebalik idea yang menginterpretasikan sebuah “munjul”, diserikan dengan makna dan idea di sebalik pengkaryaan yang mewujudkan nilai tersendiri. Setiap elemen dan prinsip yang diaplikasikan pada karya tidak hanya mencerminkan kematangan pemikiran pengkarya. Sebaliknya menggugah emosi yang mengundang ekspresi mendalam dari audiens. Estetika visual yang dipaparkan tidak hanya mewujudkan keselarian jiwa antara pengkarya dengan audiens, tetapi membentuk sebuah cerita, aspirasi dan identiti budaya yang bermakna. Begitulah ilmu yang ditanam dalam diri pengkarya ketika di universiti yang menawarkan pengkhususan seni halus.

Berbicarakan disiplin seni halus di universiti, ia bukan sekadar melahirkan bakat kreatif yang mencorak dunia seni visual, tetapi mempunyai peranan dalam membentuk intelektual kritis dan bernas terhadap permaknaan serta nilai estetikanya. Penekanan aspek teori dan praktikal yang diketengahkan di kampus, memberikan ilmu dan pengalaman kepada pelajar dalam mengekspresi kemampuan diri mereka. Selain kemahiran teknikal, teras lain seperti falsafah, sejarah seni dan sosio-budaya memberi impak dalam mempengaruhi pengkaryaan yang bermutu dan berkualiti. Perkara ini jelas menunjukkan peranan universiti bukanlah “kosong” dalam melahirkan seorang seniman atau insan yang berkualiti. Malah, mewujudkan daya saing terhadap peranan yang perlu dimainkan dalam memberi sumbangan terhadap masyarakat sekeliling; di samping mengetengahkan isu semasa. Sementara itu, mereka juga menjadi watak dalam membawa dialog budaya dengan menyampaikan ayat dan maksud yang luas dan berterusan.

Persoalan diungkit iaitu adakah seni halus merupakan bidang yang menganggur? Seperti dijelaskan tadi bahawa bidang ini diajar meneroka dengan diberi penekanan aspek teori dan praktikal. Malahan, bidang ini masih ditawarkan di universiti-universiti awam terutamanya. Erti kata lain, seni halus membawa sebuah konsep yang bukan sekadar memberi penekanan terhadap aspek teknikal semata-mata. Tetapi mengcakupi daya ekspresi, pemahaman budaya dan kemampuan dalam berfikir dengan kritis berpandukan pada dunia sekelilingnya. Perkara ini menunjukkan wacana dan refleksi berkaitan isu-isu semasa seperti kemanusiaan, sosial dan alam sekitar yang meletakkan bidang ini terus kekal relevan. Sekali lagi hujah ini membentak persoalan akan kedudukan seni halus dalam kategori “bidang untuk menganggur”.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pelbagai agensi terutamanya Graduate Tracer Study (Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia) dengan menunjukkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan seni halus tinggi berbanding bidang professional yang lain. Walau bagaiamanapun, angka tersebut tidak diperincikan secara menyeluruh. Ini kerana kebanyakan graduan bidang ini bergerak bebas (freelance) atau bekerja dalam industri kreatif yang bukan kategori tetap. Terdapat juga kebanyakan graduan mengambil langkah produktif dengan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dengan menjadikan bidang seni ini sebagai sumber pendapatan. Sebagai contoh bakat dan kemahiran praktikal yang diperolehi ketika zaman kampus dimanfaatkan bagi menghasilkan mural pada bangunan-bangunan. Semestinya, bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan ini mampu mencapai angka ribuan ringgit. Pendekatan ini menunjukkan bagaimana graduan seni halus menjana pendapatan melalui kerja kreatif di samping menyumbang kepada industri pelancongan dan mewujudkan keharmonian di ruangan awam.

Sementara itu, berbicarakan seni halus pasti melibatkan penghasilan karya-karya seperti catan, arca, cetakan dan seramik. Malah, terdapat juga artis yang menjadi pelopor terhadap pembangunan seni halus ini. Di samping membawa nama dalam industri ini, mereka mampu menghasilkan pendapatan lumayan dengan menjual karya-karya yang dihasilkan. Tidak dinafikan bahawa ada dalam kalangan mereka sudah bergelar jutawan hasil dari bidang yang diceburi ini. Malah, ada dalam kalangan mereka diberi upah untuk menghasilkan karya atas permintaan peribadi atau demand buyer. Sekali lagi karya atas permintaan sebegini sudah pasti upahnya lumayan atau erti kata lain melebihi gaji professor di universiti awam Malaysia.

Berbicarakan berkenaan penjawatan pensyarah di universiti, tugasan mereka pasti melibatkan penulisan seperti artikel, buku, persidangan dan penyelidikan; selain tugas hakiki dalam kuliah. Perkara ini turut sinonim dengan seni halus yang tidak lari daripada penulisan. Malah, ada dalam mereka dari kelulusan bidang tersebut menjadikan bidang penulisan dalam menjana pendapatan yang lumayan. Sementara itu, ada penulisan mereka dijadikan rujukan bagi tujuan pembelajaran, pameran dan penyelidikan. Tidak terkecuali ada dalam kalangan mereka dijemput untuk menjadi kurator untuk sesebuah pameran. Ini kerana penulisan mereka menampakkan sebuah pemikiran yang halus dan tuntas terhadap keperluan bidang seni halus ke tahap yang efisien. Oleh itu, mereka dilihat sebagai “pembawa” yang mampu menyebarkan fahaman yang kritikal terhadap pembangunan idea yang berguna. Bukan sahaja untuk keperluan seni semata-mata, malah membantu dalam membentuk falsafah, idealisasi dan pembangunan masyarakat sesebuah negara. Perkara ini boleh sahaja dilihat pada bakat-bakat besar seperti Syed Ahmad Jamal, T. K. Sabapathy, Muliyadi Mahamood dan ramai lagi yang berjaya menggabungkan penulisan seni dengan kepelbagaian identiti yang membangunkan sesebuah negara bangsa Malaysia.

Intihanya, seni halus bukanlah sebuah bidang yang membawa kepada status menganggur seperti dinyatakan dalam kebanyakan sumber. Sebaliknya, mengetengahkan kerjaya yang fleksibel dan dinamik; terutamanya di era serba kreatif kini. Perkara ini ditekankan sendiri dalam The Future of Jobs Report oleh World Economic Forum yang menyatakan kemahiran kreatif dan pemikiran kritikal amat diperlukan pada masa kini dan hadapan. Oleh itu, tanggapan bahawa seni halus membawa kepada pengangguran adalah kurang tepat. Ini kerana bidang ini sendiri menyediakan graduan yang berkebolehan dan berkemahiran untuk diaplikasikan dalam pelbagai sektor pekerjaan.


Dr. Fakhrur Razi Maamor

Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation