UM perkasa remaja cegah keciciran

Spread the love

Kesihatan mental remaja adalah salah satu aspek yang penting dalam perkembangan remaja, tanpa mengira latar belakang golongan remaja ini. Semuanya tidak terkecuali untuk diberi tumpuan. Remaja yang datang dari latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan, atau berada dalam persekitaran yang kurang menyokong, mungkin lebih mudah terdedah kepada tekanan hidup yang boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental mereka. Mereka mungkin memerlukan sokongan yang lebih kuat dalam pelbagai bentuk agar mereka lebih berdaya upaya untuk berkembang sesuai dengan peringkat perkembangan mereka.

Pemerkasaan aspek kesihatan mental adalah amat penting kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengambil kira aspek latar belakang. Remaja yang kurang berkemampuan juga perlu mendapat akses kepada pelbagai bentuk perkhidmatan sokongan seperti psikologi dan kaunseling kerana mereka mungkin berhadapan dengan limitasi dalam akses kepada rawatan dan perkhidmatan sokongan kesejahteraan mental. Limitasi akses ini bukan hanya disebabkan oleh kewangan semata-mata, namun ia mungkin berkait dengan stigma dan penerimaan sesetengah golongan terhadap perkhidmatan kesejahteraan mental.

Kurangnya kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dalam kalangan sesetengah golongan masyarakat membataskan keupayaan remaja berisiko untuk mendapatkan bantuan. Dalam keadaan yang lain, tekanan kewangan juga boleh memberi kesan negatif kepada pencapaian akademik remaja serta komitmen mereka terhadap pembelajaran dan aktiviti di sekolah.

Remaja berisiko khususnya yang kurang berkemampuan, mungkin terbeban dengan kerisauan tentang kewangan, mungkin berhadapan dengan kesukaran untuk memberi tumpuan kepada pelajaran, kurang komitmen untuk hadir ke sekolah seterusnya memberi kesan kepada prestasi akademik. Kepentingan menjaga kesihatan mental remaja, khususnya dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan, amat besar dan tidak boleh dipandang ringan. Kesihatan mental yang baik adalah asas kepada perkembangan yang seimbang, bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi juga dalam hubungan sosial dan pembangunan diri.

Bagi remaja yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan, cabaran mereka dalam mengekalkan kesejahteraan mental mungkin lebih ketara berbanding remaja daripada latar belakang yang lebih stabil. Oleh itu, memahami kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kalangan remaja ini adalah langkah pertama untuk memastikan mereka tidak terabai dalam perjuangan hidup mereka Mengambil kira faktor inklusiviti semua golongan dalam aspek pendidikan, yang menggalakkan agar semua murid berpeluang mendapat pendidikan dan perkhidmatan lain sama seperti yang diperolehi oleh golongan berkemampuan yang lain.

Justeru, bersempena dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan, pada 13 November 2024, Fakulti Pendidikan dengan Kerjasama Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya telah melaksanakan satu program yang bertujuan untuk memperkasakan kesejahteraan mental remaja di SMK Bandar Utama Damansara (4). Program ini telah mendapat kerjasama padu dari pihak pentadbir sekolah yang mensasarkan golongan remaja berusia 13-15 tahun.

Program ini adalah sebagai salah satu khidmat komuniti yang dianjurkan oleh ketua projek, Dr. Norfaezah Md Khalid, pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya di bawah tajaan oleh Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz. Program ini turut disertai oleh tiga lagi pensyarah, yang merupakan kaunselor berdaftar iaitu Prof Madya Dr. Melati Sumari, Dr. Norsafatul Aznin A. Razak, dan Dr. Ahmad Shamsuri Muhamad. Penglibatan mahasiswa dari Universiti Malaya di bawah program Sarjana Kaunseling Profesional memberi ruang dan harapan baharu kepada para remaja untuk terus berjuang dalam akademik serta aspek lain dalam kehidupan. Pelajar remaja yang menyertai program ini datang dari pelbagai latarbelakang keluarga, yang mana kesemuanya berasal dari keluarga B40. Program ini turut menjemput ibu bapa untuk mendapatkan perkhidmatan perundingan bersama pakar kaunseling dari Universiti Malaya.

Program ini antara lainnya bertujuan untuk membantu pelajar remaja untuk lebih bijak menguruskan emosi, tingkahlaku dan pemikiran mere. Keupayaan seseorang untuk menguruskan dan mengawal emosi, tingkah laku, serta pemikiran mereka dalam pelbagai konteks situasi atau juga dikenali sebagai regulasi kendiri adalah satu bentuk kemahiran yang amat penting untuk dibina dalam diri remaja.

Regulasi kendiri yang baik memberi kesan positif terhadap kesihatan mental remaja kerana ia membantu mereka mengatasi perasaan negatif, seperti stres, kecemasan, dan kemurungan. Sebagai contoh, apabila remaja berhadapan dengan masalah sosial atau tekanan akademik, mereka yang memiliki kemahiran regulasi kendiri yang baik lebih cenderung untuk menghadapi situasi tersebut dengan lebih tenang dan rasional. Mereka mampu mengelakkan tindak balas impulsif yang boleh memperburuk keadaan, seperti bertindak agresif atau menarik diri secara berlebihan.

Pengarah program, Qurratu’aini Husna Syed Hussin Jamaluddin, pelajar tahun kedua Sarjana Kaunseling Profesional berpendapat bahawa program seumpama ini yang mengkhususkan kepada golongan ini harus diperluaskan lagi bagi membantu setiap lapisan masyarakat lebih bersemangat dan bermotivasi dalam kehidupan mereka, seterusnya mencapai kesejahteraan mental yang lebih baik. Program khidmat komuniti seumpama yang mensasarkan golongan kurang berkemampuan haruslah diteruskan pada masa hadapan. Ini bertujuan untuk memberi sokongan berterusan kepada para remaja kurang berkemampuan untuk mendapat peluang dan pendedahan menyertai pelbagai program sesuai dengan peringkat perkembangan mereka.

Penjagaan kesihatan mental adalah amat penting, ia memberi impak kepada seluruh lapisan masyarakat dan pembangunan sesebuah negara. Dengan sokongan dari pelbagai pihak, golongan remaja ini berpeluang untuk berkembang menjadi individu yang produktif, berdaya tahan, dan berpotensi untuk memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan golongan remaja mendapat sokongan dan bantuan yang diperlukan, sama ada melalui pendidikan, program, mahupun akses kepada perkhidmatan yang berkualiti.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation