KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Al Bukhary International University dinobatkan sebagai Johan menerusi video pendek bertajuk ‘Kembali’, yang memaparkan mesej mendalam mengenai kepentingan keharmonian masyarakat berbilang kaum dalam berbuat baik antara satu sama lain. Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Hadiah kemenangan tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi IKIM. Majlis ini turut dirasmikan oleh beliau dengan dihadiri oleh YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM; YBhg. Dato’ Kamil Othman, Pengerusi FINAS; dan YBrs. Dr. Mohd Zaidi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah IKIM bertempat di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Pertandingan ini telah mendapat 125 penyertaan daripada Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Daripada jumlah itu, hanya 8 telah mara ke peringkat akhir setelah melalui saringan oleh penilai profesional.
Hadiah berupa sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah RM15,000 untuk Johan; RM10,000 untuk naib johan; RM5,000 untuk tempat ketiga dan 5 pemenang saguhati masing-masing mendapat RM1,000 setiap satu. Majlis ini mendapat penajaan daripada Yayasan Bank Rakyat, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ).
IKIM berharap pertandingan seperti ini akan terus menjadi platform untuk memperkukuhkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat melalui medium seni kreatif.
Be the first to leave a comment