AYER KEROH, 26 Dis (Bernama) — Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka (JKKN Melaka) menerusi Persatuan Gerakan Anak Seni dan CTRA Production telah mementaskan sebuah teater berbentuk Purbawara Muzikal Manifestasi bertajuk Sulalat ‘us Salatin : Keagungan Kemaharajaan Maritim di Auditorium Panggung Seri, JKKN Melaka, Ayer Keroh, Melaka pada 20, 21 dan 22 Disember 2024 pada jam 8.30 malam dan persembahan matinee pada Sabtu dan Ahad jam 3.00 petang.
Teater muzikal ini adalah kolaborasi antara Persatuan Gerakan Anak Seni dengan CTRA Production dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara.
JKKN Melaka turut mendapat sokongan daripada Inisiatif Belanjawan 2024 oleh GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai salah satu bentuk pementasan naskhah karya agung. Naskhah ini telah diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012 serta sudah mencecah 32 salinan di seluruh dunia.
Teater berbentuk purbawara muzikal yang dipentaskan ini berkisarkan tentang kemaharajaan maritim yang juga disebut sebagai pertuturan segala Raja-Raja atau Sejarah Melayu. Teater ini menyentuh asal-usul kemaharajaan maritim yang bermula dari transisi masa Raja Iskandar Zulkarnain dan Puteri Syah Al-Bariyah, Raja Suran yang mengembara ke alam lautan, Kisah Kuda Semberani, Wan Empuk dan Wan Malini berpadikan huma yang berbuah emas, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana, Kisah Tun Jana Khatib di Temasek, Kebijaksanaan Hang Nadim sehingga Singapura Dilanggar Todak, Kisah merajuknya Sang Rajuna Tapa, Melaka Zaman Gemilang hinggalah runtuhnya Empayar Melaka.
Tetamu Kehormat YAB Datuk Seri Ab Rauf Bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka telah hadir menyaksikan pementasan naskhah karya agung pada hari pertama berlangsung. Untuk hari kedua pula pementasan ini akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka dan isteri YABhg. Toh Puan Datuk Wira Dr. Hajah Asmah Binti Ab Rahman.
Para pelakon yang membintangi teater ini antaranya Norish Karman, Adam Lee dan Rosli Rahman Adam. Selain itu, ia turut dibarisi pelakon seperti Serra Kamal, Zera Hariz, Fysal Saad, Herman Ghazali, Adik Aqil Wafiq dan Adik Wafi Aqiff.
Sulalat ‘Us Salatin merupakan refleksi jiwa dan akal budi dengan elemen kesusasteraan Melayu klasik berelemen sejarah yang dipercayai satu-satunya yang tertua di alam Melayu. Meskipun terdapat dalam pelbagai versi, koleksi ceritera di dalamnya sarat dengan falsafah, adunan elemen sejarah, sastera, ceritera rakyat serta kosmos alam Melayu.
Melalui pementasan ini, diharap dapat mengangkat martabat naskhah sastera sejarah yang tinggi nilainya dan ia juga merupakan salah satu platform untuk golongan generasi muda menghayati karya klasik ini dan mendapat pendedahan tentang sejarah dan keagungan kemaharajaam maritim pada suatu masa dahulu serta diharap agar semua pihak sama-sama berganding bahu kembali mencari inisiatif melestarikan budaya dengan menghayati karya agung seperti ini agar dapat meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum mengenai khazanah warisan negara.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment