PEMENTASAN TEATER MUZIKAL UDA & DARA MENGANGKAT NASKHAH AGUNG DATO’ DR. USMAN AWANG

Spread the love

JOHOR BAHRU, 26 Dis (Bernama) —  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor dan Persatuan Galeri Seni dan Pelancongan Pontian telah menganjurkan Pementasan Karya Agung Sasterawan Negara Dato’ Dr. Usman Awang dengan karyanya yang bertajuk Uda dan Dara.

Program Pementasan Karya Agung ini merupakan sebuah program yang mengetengahkan karya – karya tokoh yang telah mendapat pengiktirafan dari kerajaan Malaysia dalam bidang seni budaya seperti Seniman Negara dan Sasterawan Negara. Karya Agung yang dilaksanakan di peringkat negeri Johor ini akan mengangkat karya Dato’ Dr. Usman Awang yang merupakan seorang anak jati kelahiran negeri Johor. Beliau merupakan tokoh penulisan yang telah dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1983.

Karya ulung Uda dan Dara nukilan Sasterawan negara Dato’ Dr. Usman Awang terkenal dengan kisah cinta tanpa batasan melibatkan pasangan Uda dan Dara apabila tiada yang dapat menghalang mereka untuk berkasih sayang. Namun perbezaan darjat, pangkat dan harta telah menjadi penghalang antara Uda dan Dara.

Bermula dari puisi bertajuk Gadis Di Kuburan, maka lahirlah naskhah Muzikal Uda dan Dara yang akan dipentaskan pada 25 Disember 2024 dengan berkonsepkan secara terbuka di Pentas Utama, Padang Akasia Angsana Johor Bahru Mall pada jam 8.30 malam.

Pementasan Karya Agung Teater Muzikal Uda dan Dara ini menampilkan watak utama Uda yang dilakonkan oleh Putera Amir dan watak Dara yang dibintangi oleh Zarina Zainoordin yang merupakan seorang penyanyi dan penggiat seni yang aktif di negeri Johor. Mereka dipilih untuk memegang watak utama kerana pengarah melihat kriteria yang ada pada mereka mampu membawa watak Uda dan Dara dengan baik.

Pementasan teater ini juga menghimpunkan seramai 40 orang tenaga produksi dimana 15 daripadanya adalah bahagian pengurusan produksi dan artistik termasuk Onn Jaffar sebagai Pengarah Persembahan, Zulkiflee bin Abd Majid sebagai Pengarah Lakon, Penulis Skrip Othman Ahmad, Nor Anizar sebagai Pengurus Pentas, Ijan Dagan dan Yasmin sebagai Penolong Pengurus Pentas.  Mohd Hafestz Farhan bin Hashim sebagai Pengarah Muzik, Suffian bin Asran sebagai Pengarah Visual, Jurulatih Tari oleh Nor Azhan bin Alias, Penata Bunyi oleh Adi Azreen bin Othman, Din Klasik sebagai Pengurus Kostum, Set dan Prop oleh Ismail Aris.

Turut hadir menyaksikan pementasan karya agung ini ialah waris Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang iaitu Puan Haslina binti Usman yang diundang khas bagi menyaksikan dan menghargai hasil karya ayahandanya yang pernah satu ketika dahulu mendapat tempat di hati penonton dan peminat teater.

“Pementasan Karya Agung ini adalah bertujuan untuk memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan. Ini memberi peluang kepada penggiat seni tempatan terutama dalam bidang teater untuk terus berkarya dengan mengangkat naskhah agung para sasterawan negara” ulas Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kenyataan semalam.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation