KUALA LUMPUR, 2 Januari – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melakar prestasi membanggakan sepanjang tahun 2024 dan kini memulakan tahun 2025 dengan misi dan azam baharu untuk membawa KUSKOP ke era kecemerlangan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tahun 2024, namun KUSKOP di bawah pimpinan menterinya, Datuk Ewon Benedick telah melakukan yang terbaik dan ternyata banyak memberi manfaat kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, perusahaan sosial, usahawan informal, penjaja dan peniaga kecil di negara ini.
Dalam tempoh Januari hingga Disember 2024, sebanyak 204 program telah dilaksanakan, memberi manfaat kepada lebih 700,000 usahawan di seluruh negara.
Program-program itu merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan kapasiti, adaptasi digitalisasi dan automasi, peluasan akses pasaran dan pembudayaan keusahawanan.
Ewon berkata, inisiatif pembiayaan di bawah agensi-agensi pembiaya KUSKOP memberi impak amat baik yang menyaksikan sejumlah RM6.67 bilion pembiayaan disalurkan kepada 267,150 usahawan dan koperasi melalui TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp. Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam tempoh Januari hingga November 2024.
Daripada jumlah tersebut, KUSKOP melalui agensi-agensinya telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM700.93 juta kepada 50,879 usahawan dan koperasi di Sabah dalam tempoh Januari hingga November 2024.
Program pembiayaan khusus untuk wanita dan belia
KUSKOP komited melaksanakan program bersifat inklusif kepada semua usahawan termasuk usahawan M40 dan B40 termasuk usahawan wanita dan belia.
Sepanjang tahun 2024, KUSKOP melaksanakan pelbagai program dan skim pembiayaan untuk golongan wanita dan belia yang dilaksanakan oleh AIM, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, UDA, PERNAS dan SME Corp.
Ewon berkata, skim pembiayaan khusus untuk wanita itu ialah skim pembiayaan AIM, Skim Pembiayaan TEKUN-Wanita, Program BRPlus-i BizLady, Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) dan Program UDA Bizznita.
Katanya, dalam tempoh Januari sehingga November 2024, AIM memperuntukkan sebanyak RM2.57 bilion pembiayaan kepada 272,242 usahawan di bawah skim pembiayaan AIM.
Bagi Skim Pembiayaan TEKUN-Wanita, seramai 3,258 usahawan wanita menerima manfaat dengan peruntukan sebanyak RM28 juta. Jumlah ini adalah sebahagian daripada keseluruhan jumlah bernilai RM386.5 juta yang disalurkan TEKUN Nasional kepada seramai 22,478 usahawan wanita melalui pelbagai skim pembiayaan lain.
“Program BRPlus-i BizLady oleh Bank Rakyat pula telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM30.9 juta kepada 489 usahawan wanita. Ia termasuk dalam sejumlah RM136 juta yang diluluskan oleh Bank Rakyat kepada 1,064 usahawan wanita secara keseluruhannya.
“Program SWEET di bawah Projek Be Your Own Boss (BYOB) oleh PERNAS melibatkan 60 usahawan wanita dalam industri francais dengan kelulusan pembiayaan sebanyak RM 9.2 juta,” katanya.
Ewon berkata, program UDA Bizznita turut menawarkan ruang niaga yang strategik di bangunan dan premis perniagaan milikan UDA kepada 406 usahawan wanita.
“SME Corp. melaksanakan pelbagai program keusahawanan yang turut merangkumi seramai 1,447 usahawan wanita dengan peruntukan berjumlah RM34.2 juta.
Mengenai usahawan belia, Ewon berkata, kementeriannya telah melaksanakan pelbagai program khusus pada tahun 2024 untuk golongan itu.
Antaranya Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ), Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), skim pembiayaan TEKUN, Program Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) dan Program Bank Rakyat Unipreneur.
“Program-program pembangunan usahawan siswazah di bawah PROTÉGÉ memberi manfaat kepada 26,716 peserta dengan peruntukan sebanyak RM6.8 juta.
“Program TUBE oleh SME Corp. yang menyediakan bantuan pembangunan kapasiti berbentuk latihan, geran permulaan perniagaan dan khidmat nasihat telah memberikan manfaat kepada seramai 805 usahawan belia dengan peruntukan sebanyak RM14.65 juta,” katanya.
Katanya lagi, TEKUN Nasional juga telah menyalurkan pembiayaan kepada 21,979 usahawan dalam kategori belia iaitu yang berumur di antara 18 hingga 40 tahun di bawah skim pembiayaan TEKUN melibatkan peruntukan RM506.5 juta sehingga November 2024;
“Menerusi Program YOUNITY di bawah Projek Be Your Own Boss (BYOB), sehingga November 2024, PERNAS telah meluluskan pembiayaan francais kepada 41 usahawan belia berjumlah RM5.77 juta.
“Bank Rakyat telah melaksanakan Program Bank Rakyat Unipreneur bagi membantu seramai 500 usahawan siswa asnaf dari universiti yang terpilih dengan peruntukan sebanyak RM1.675 juta,” katanya.
Projek Pembangunan Premis Tamu Desa
Antara pencapaian utama dari segi inisiatif terpilih pada tahun 2024 ialah Projek Pembangunan Premis Tamu Desa iaitu inisiatif baharu KUSKOP yang mula dilaksanakan tahun 2024.
Menurut Ewon, Program Pembangunan Premis Tamu Desa itu, antara lain, bertujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi membantu peniaga-peniaga kecil di desa dan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.
Katanya sebanyak 92 tapak Tamu Desa yang menelan belanja RM19 juta disediakan iaitu 49 tapak untuk Sabah dan 12 tapak Sarawak di bawah Fasa 1 dan 18 tapak untuk Sabah dan 25 untuk Sarawak di bawah Fasa 2.
JMKU dan Misi Perdagangan
Sepanjang tahun 2024, Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) dan Misi Perdagangan Antarabangsa turut memberi impak positif.
Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 142 siri JMKU yang telah memberi manfaat kepada 264,863 pengguna dengan jumlah jualan RM9.94 juta.
KUSKOP juga meraih kejayaan daripada Misi Pengembangan Perdagangan Usahawan Halal, Vendor dan Francais sepanjang tahun 2024.
Ini terbukti apabila RM1.58 bilion nilai jualan sebenar dan potensi nilai jualan berjaya direkodkan di 18 misi perdagangan antarabangsa dalam program pengembangan perdagangan usahawan berkaitan sektor halal, vendor dan francais yang melibatkan 306 usahawan.
Antara negara yang terlibat dalam misi perdagangan itu ialah Jepun, Perancis, Jerman dan Arab Saudi.
Inisiatif dan harapan KUSKOP Tahun 2025
Dalam menempuh pelbagai cabaran di tahun baharu, KUSKOP terus melangkah dengan beberapa inisiatif baharu dan sedia ada yang dijangka meningkatkan keberkesanan dan memperkasakan lagi peranan kementerian itu.
Ini termasuk meneruskan usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur, membantu peniaga kecil di desa dan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak melalui Tamu Desa.
Ia juga bermatlamat untuk meletakkan Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara (D3PKN) 2030 sebagai panduan utama dalam pembangunan komuniti penjaja dan peniaga kecil. Dasar ini telah pun dilancarkan semasa sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Kebangsaan Tahun 2024.
Selain itu, KUSKOP mahu memperkukuhkan ekosistem industri francais termasuk dengan memperkenalkan Dasar Francais Negara (DFN) 2030.
Ewon berkata, DFN 2030 adalah satu dasar yang bersifat komprehensif dan holistik bagi membangunkan ekosistem francais yang berdaya maju dan mampan melalui transformasi dan pengukuhan jenama francais tempatan serta kecekapan tadbir urus.
“Ia merangkumi lima teras utama seperti menambah baik polisi dan tadbir urus, mempromosi francais sebagai model perniagaan pilihan, memantapkan kapasiti dan keupayaan usahawan francais.
“Selain itu, ia juga mengoptimumkan capaian bantuan kewangan kepada usahawan francais dan meningkatkan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.
Turut diberi perhatian ialah penubuham Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Peringkat Daerah (MPUKPPD).
Strategi KUSKOP seterusnya ialah meneruskan Dialog Belanjawan Kementerian bagi zon Malaysia Timur yang mula dilaksanakan pada 2023 dan 2024, merangka penggubalan akta koperasi yang baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502] dan melancarkan inisiatif baharu kepada usahawan Kaum India.
KUSKOP juga akan mewujudkan Hab PMKS di Sabah dan Sarawak, tahun ini (2025), sebagai tambahan kepada Hab PMKS sedia ada di Semenanjung.
Ewon berkata, pewujudan Hab PMKS di Wilayah Borneo di bawah seliaan SME Corp. bertujuan meningkatkan akses maklumat PMKS kepada golongan usahawan di keduadua negeri berkenaan.
Dalam usaha membantu kerajaan membasmi kemiskinan di Sabah, KUSKOP telah melancarkan inisiatif baharu, Program Ehsan@KUSKOP yang akan dilaksanakan di tiga buah daerah yang dikategorikan miskin iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.
Bagi menjayakan porgram itu, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta dengan tempoh pelaksanaan setahun bermula tahun 2025.
Ehsan@KUSKOP adalah program pembangunan pendidikan bertujuan menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan. Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan pelajar kurang bernasib baik terutamanya di kawasan luar bandar.
Program ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 65,000 pelajar dari kalangan asnaf dan B40 di tiga daerah berkenaan.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment