Oleh: Profesor Madya Dr. Zuwati Hasim
Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di Malaysia adalah satu langkah transformasi dalam merangka semula sistem pendidikan negara. Peperiksaan Taruhan Tinggi ini, yang dahulunya menilai pelajar di akhir sekolah rendah dan menengah rendah, dimansuhkan untuk menangani kebimbangan tentang relevan dan kesannya terhadap pembelajaran. Selain itu, ia selaras dengan dasar pendidikan yang memberi penekanan kepada pentaksiran untuk pembelajaran sambil mengekalkan pentaksiran sumatif, dengan tujuan memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan di sekolah.
Peperiksaan Taruhan Tinggi memerlukan banyak persediaan, masa, dan sumber untuk dilaksanakan. Dalam membincangkan pemansuhan ini, kita perlu memahami dengan jelas mengapa peperiksaan ini pada asalnya diwujudkan. Adakah kedua-dua peperiksaan ini masih relevan? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu melihat tujuan peperiksaan tersebut dilaksanakan bersama dasar pendidikan semasa.
Kini, UPSR dan PT3 tidak lagi relevan dengan tujuan asal ianya diadakan. Ianya juga tidak mempunyai nilai bagi kelayakan untuk meneruskan pengajian, mahupun pekerjaan. Tambahan pula, kedua-duanya tidak berkesan sebagai alat diagnostik kerana ia merupakan penilaian sekali sahaja, memberikan pandangan yang terhad tentang kekuatan, kelemahan, atau perkembangan holistik pelajar. Tanpa mekanisme susulan untuk meningkatkan keputusan peperiksaan, pelajar kehilangan peluang untuk intervensi yang disasarkan dan pertumbuhan peribadi, menjadikan peperiksaan ini kurang berguna dalam membimbing perjalanan pembelajaran mereka. Walaubagaimanapun, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal relevan sebagai keperluan minimum bagi kedua-duanya kemasukan ke institusi pengajian tinggi serta untuk permohonan pekerjaan.
Peralihan kepada pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan bilik darjah (PBD) menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih aktif. Pentaksiran berterusan, tugasan berasaskan projek, dan penilaian bersepadu menjadikan pembelajaran lebih menarik dan dinamik. Pendekatan ini memupuk motivasi dalaman berbanding dengan pandangan dan desakan segelintir masyarakat bahawa pelajar hanya belajar apabila didorong oleh peperiksaan Taruhan tinggi— yang merupakan satu persepsi yang mengabaikan kepentingan rasa ingin tahu dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan murid. Pandangan bahawa hanya peperiksaan dapat memotivasikan murid untuk belajar menunjukkan bahawa begitu kuatnya pengaruh budaya peperiksaan taruhan tinggi yang menginginkan murid belajar dan guru mengajar kerana peperiksaan. Sedangkan itu bukanlah budaya pembelajaran sebenar.
Walaupun PBS dan PBD diperkenal manakala UPSR dan PT3 dijumudkan, peperiksaan dan ujian tetap dilaksanakan di sekolah. Ujian dan peperiksaan ini kini dijalankan di peringkat sekolah. Pendekatan ini membolehkan murid dinilai secara berkala dan berterusan untuk meningkatkan pembelajaran dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam bagi setiap mata pelajaran. Selain itu, guru juga akan menilai dan membuat refleksi terhadap amalan pengajaran mereka secara konsisten berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pentaksiran bilik darjah. Pembaharuan ini bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara pentaksiran, pengajaran dan pembelajaran, memastikan pendidikan yang bermakna dan relevan.
Walaupun UPSR dan PT3 telah dimansuhkan, ujian dan peperiksaan masih kekal dalam sistem pendidikan. Namun, ianya dijalankan di peringkat sekolah, dan keputusan pelajar tetap akan direkod dan dilaporkan kepada ibu bapa untuk memantau perkembangan pembelajaran anak-anak mereka. Kepercayaan haruslah diberikan kepada guru dan hubungan erat andtar guru, murid, dan ibubapa perlu diwujudkan bagi mendapat manafaat yang terbaik dari pelaksanaan PBS dan PBD ini. Di sini, semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan pembelajaran berlaku dengan baik.
Perubahan kepada sistem pentaksiran ini mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap sistem pendidikan holistik yang mempersiapkan murid untuk cabaran abad ke-21, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan individu yang seimbang dan mampu berjaya dalam konteks peribadi, karakter, dan profesional. Walau bagaimanapun, untuk memastikan peralihan ini berjaya, Kementerian Pendidikan perlu memastikan amalan formatif dilaksanakan dengan baik. Ini termasuk menyediakan sokongan berterusan dan latihan untuk guru, mewujudkan sistem pemantauan berkala, serta mengekalkan rangkaian sokongan yang kukuh bersama pemegang taruh untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran berkesan berlaku secara konsisten. Pemantauan yang berkala akan membantu mengekalkan standard pendidikan yang tinggi dan memastikan pelajar mendapat manfaat sepenuhnya daripada model pentaksiran baharu ini.
Penulis merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan) di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment