Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Dr. Mohd Hafyzuddin Md Yusuf.
Vaping atau rokok elektronik merupakan gejala sosial yang semakin merunsingkan. Statistik menunjukkan peningkatan yang ketara dalam kalangan orang dewasa dan juga remaja dalam pengambilan vape. Vaping sering dipromosikan sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding merokok, tetapi sejauh manakah kebenaran dakwaan ini terutamanya jika dilihat dari perspektif remaja. Dewasa ini, remaja dilihat lebih mudah terpengaruh dengan dorongan daripada rakan sebaya dalam banyak perkara terutamanya apabila tidak mahu dilihat sebagai terasing dan tidak diterima dalam kumpulan sosial yang mempunyai gaya hidup unik dan mengikuti peredaran zaman.
Remaja merupakan golongan yang sedang melalui satu proses transisi secara biologi (perubahan hormon), fisiologi (tubuh badan) dan juga psikologi (corak pemikiran, emosi dan tingkah laku). Proses remaja ini termasuklah mencari identiti sendiri, perspektif terhadap risiko, penghargaan kendiri dan faktor-faktor lain. Justeru itu, remaja dilihat akan cuba mengikuti satu kelompok sosial agar mereka diterima, termasuk lah mengambil risiko merosakkan diri seperti vaping. Antara lain budaya ‘cool’ dan ‘trendy’ yang ditonjolkan oleh kumpulan sosial ini membuatkan jiwa remaja ini membuak-buak ingin mengikuti tingkah laku berisiko ini.
Selain itu, persekitaran tempat tinggal yang kurang memberikan penekanan kepada bahaya vaping atau merokok membuatkan remaja ini tidak memahami sepenuhnya kesan negatif terhadap vaping. Pada anak-anak remaja, penggunaan vape dilihat adalah lebih selamat daripada merokok. Mitos bahawa vape hanyalah mengeluarkan air dan bau yang wangi tanpa mempunyai apa-apa bahan larangan yang boleh memudaratkan kesihatan berbanding merokok dilihat semakin berleluasa. Ramai remaja beranggapan bahawa vape adalah alternatif tidak berbahaya tanpa menyedari kandungan vape mengandungi bahan kimia yang memberikan kesan buruk pada kesihatan tubuh badan. Bahkan terdapat juga segelintir yang menganggap bahawa vaping adalah alternatif untuk berhenti daripada merokok tanpa menyedari ketagihan terhadap nikotin di dalam vape boleh menyebabkan ketagihan sama seperti merokok.
Rokok elektronik menghasilkan aerosol dengan memanaskan cecair dipanggil ’e-juice’ yang biasanya mengandungi nikotin, perisa, dan bahan kimia lain yang membahayakan kesihatan tubuh badan terutamanya paru-paru. Aerosol adalah campuran partikel halus dan titisan dalam udara. Aerosol yang dihasilkan boleh disedut terus ke dalam salur pernafasan dan menyerap masuk ke dalam paru-paru. Aerosol ini boleh mengakibatkan kecederaan serta radang paru-paru berkaitan vaping atau nama saintifiknya EVALI (E-cigarette or Vaping-use Associated Lung Injury).
Kesannya, remaja akan mudah sesak nafas, sakit dada dan stamina akan merosot. Salah satu komplikasi yang teruk oleh vaping ialah kebocoran paru-paru (pneumothorax) yang memerlukan prosedur pasang tiub di dada dan kerosakan paru-paru hingga terpaksa bergantung pada rawatan oksigen di rumah. Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir remaja yang tahu mengenai kesan buruk pengambilan vape tetapi tidak tahu jalan keluar daripada ketagihan ini. Akhirnya mereka mengambil jalan mudah untuk meneruskan gejala vaping yang memudaratkan ini.
Vaping juga boleh menganggu kesihatan mental remaja. Ini kerana, semua cecair vape mengandungi nikotin iaitu bahan kimia yang boleh mengganggu proses tumbesaran otak yang normal untuk remaja. Nikotin ini akan menjejaskan memori ingatan, tumpuan, pembelajaran dan emosi remaja. Seterusnya, nikotin dalam vaping juga boleh menyebabkan semakin teruk masalah kemurungan (’depression’) dan kerisauan melampau (’anxiety’) dalam kalangan remaja.
Di samping itu, terdapat juga cecair e-juice yang dicampur dengan dadah terlarang kategori halusinogen iaitu psilocybin (nama samaran magic mushroom). Halusinogen merupakan bahan yang mengubah persepsi, mood, dan pelbagai proses kognitif. Bahan terlarang ini boleh menyebabkan halusinasi visual dan auditori serta perubahan dalam tahap kesedaran dan proses pemikiran. Ini membimbangkan kerana boleh menganggu proses tumbesaran anak remaja dan seterusnya menyebabkan gangguan terhadap kesihatan mental anak tersebut.
Ketika proses tumbesaran, anak remaja sering melihat perlakuan ibu ayah dan ahli keluarga lain sebagai idola atau model yang dijadikan sebagai ikutan. Sekiranya di rumah ayah atau abang mereka merokok atau vape, tidak hairanlah sekiranya tingkah laku ini turut ditiru oleh anak ini. Menurut Teori Pembelajaran Sosial, diterangkan dengan mendalam bahawa seorang anak memberi perhatian terhadap perlakuan orang dewasa (attention) dan seterusnya melihat perlakuan tersebut sebagai satu perlakuan yang boleh ditiru (retention).
Setelah itu, wujud satu masa apabila mereka meniru perlakuan tersebut (produce) dan mula berasa diri mereka sudah dewasa. Oleh sebab perlakuan ini tidak diketahui oleh ahli keluarga atau tidak ditegur oleh orang dewasa lain di samping dapat menyertai kelompok sosial yang difikirkannya lebih matang serta mempunyai identiti sendiri, anak remaja ini mula bermotivasi (motivation) untuk meneruskan tingkah laku berisiko ini tanpa berfikir kesan jangka panjang.
Tambahan pula, peranan iklan di media sosial, filem dan drama, selebriti yang menjadi idola remaja di samping strategi pengiklanan produk vape sebagai lebih bersih atau ‘cool dan trendy’ oleh syarikat vape memberi impak negatif kepada remaja. Penjualan vape tanpa penguatkuasaan dan kawalan oleh pihak berkuasa juga telah membuatkan ramai anak remaja terperangkap dalam gejala vaping kerana lahirnya banyak syarikat atau kedai vape yang menarik minat remaja dan mudah untuk mendapatkan bekalan untuk mereka. Alat vape juga dilihat lebih mudah dibawa kerana saiz yang lebih kecil serta e-juice atau cecair vape adalah lebih murah berbanding rokok.
Gejala ini ialah bom jangka pada remaja kita yang merupakan tonggak utama negara dan ia sungguh merisaukan. Program advokasi yang berfokuskan pendidikan dan pendedahan kesedaran yang jelas tentang risiko kesihatan adalah sangat penting. Sebagai contoh, Program Advokasi Henti Elak Basmi Asap Tembakau (HEBAT) yang dijalankan di pelbagai sekolah perlu diperluaskan lagi bagi membantu lebih ramai anak remaja dalam menyedari kesan buruk vape. Psiko pendidikan yang berterusan perlu dilaksanakan termasuk program pencegahan dan pemulihan.
Program kaunseling yang dijalankan turut membantu anak remaja menangani ketagihan dan mencari alternatif dalam menjalani hidup yang lebih baik. Pemerkasaan anak remaja perlu dilaksanakan secara meluas, dan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, kementerian pendidikan, kementerian kesihatan dan komuniti perlu dipertingkatkan. Kerjasama empat penjuru ini merupakan kunci utama dalam mencegah, merawat dan memperkasa anak remaja.
Peranan utama perlu dimainkan oleh ibu bapa itu sendiri. Ramai anak remaja yang tidak selesa untuk berbincang dengan ibu bapa sendiri kerana sering disalah anggap dan dimarahi. Oleh itu, gaya dan kualiti keibubapaan perlu dipertingkatkan supaya hubungan baik antara ibu bapa dengan anak remaja dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Pemerkasaan komuniti juga sangat penting dalam menangani isu yang dilihat kecil tetapi implikasi kepada negara pada masa akan datang adalah besar.
Semua ahli dalam komuniti kejiranan, dan masyarakat secara amnya harus memainkan peranan dengan memberi sokongan yang jitu kepada keluarga dan remaja untuk mencegah mereka daripada terjebak dalam budaya vaping. Anak remaja ini ialah pemimpin masa depan dan harapan kita semua.
Dr. Azmawaty adalah Timbalan Dekan Ijazah Dasar, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan Ahli Lembaga, Lembaga Kaunselor Malaysia; manakala Dr. Mohd Hafyzuddin adalah Pakar Perubatan Kecemasan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment