KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan Perintah Larangan ke atas tiga judul penerbitan buku berikutan dikhuatiri memudaratkan kemoralan masyarakat Malaysia, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Dalam satu kenyataan, KDN berkata Perintah Larangan itu diwartakan melalui Warta Kerajaan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) berkuat kuasa pada 21 dan 22 Januari ini.
Tiga judul buku itu ialah “My Shadow Is Purple” oleh Scott Stuart, “Koleksi Puisi Masturbasi” oleh Amir Hamzah Akal Ali (Benz Ali) dan “All That’s Left In The World” oleh Erik J. Brown.
Menurut KDN, Perintah Larangan di bawah Akta 301 ini adalah berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
Katanya, dalam masa yang sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.
Mengulas lanjut, KDN berkata berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan enam hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak.
Katanya, mana-mana individu yang melanggar larangan itu boleh dihukum mengikut akta itu yang membawa hukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan kesejahteraan bersama.
“Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan di bawah Akta 301 juga boleh akses di laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri www.moha.gov.my atau Perundangan Persekutuan https://lom.agc.gov.my/index.php?language=BM,” katanya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment