UM perkasa pembelajaran STEM anak-anak Sabah

Spread the love

Oleh: Muhammad Taftazany Abd Rahman

Dalam era globalisasi yang pesat dengan persaingan sengit, pemerkasaan terhadap pembelajaran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menghadapi pelbagai cabaran yang signifikan. Menurut bekas Presiden Akademi Sains Nasional Amerika Syarikat, Dr. Bruce Alberts, “Terdapat banyak institusi yang benar-benar berminat untuk meningkatkan kesedaran golongan muda tentang sains dan nilai-nilainya namun usaha ini amat sukar dilaksanakan. Kami semua telah berusaha selama bertahun namun masih terbatas dalam mengubah sistem pendidikan ini”.

Cabaran pemerkasaan STEM seperti jurang digital, kesenjangan sosioekonomi, kekurangan guru terlatih, skeptikal negatif, kebergantungan kepada pedagogi tradisional dan kurang pendekatan interdisiplinari antara disiplin ilmu. Data menunjukkan bahawa negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun turut mengalami penurunan jumlah pelajar yang berminat dalam aliran STEM.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh National Science Foundation (NSF), terdapat kebimbangan bahawa akan berlaku penurunan graduan STEM yang menjejaskan daya saing global negara-negara ini. Dalam konteks Malaysia, pendidikan STEM turut menerima cabaran yang serius. Statistik menunjukkan bahawa hanya 19 peratus pelajar sekolah menengah memilih aliran STEM pada tahun 2021, jauh lebih rendah daripada sasaran 60 peratus yang ditetapkan dalam Pelan Induk STEM 2026.

Tambahan pula, kecenderungan minat pelajar mula beralih untuk bekerja dengan lebih awal dan meninggalkan peluang untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi. Kegagalan untuk menangani isu-isu ini boleh membawa kepada kelemahan daya saing negara dalam menghadapi Revolusi Industri 5.0.

Bagi merealisasikan pemerkasaan STEM di peringkat sekolah, Yayasan Sabah dengan kerjasama Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya telah melaksanakan projek ‘Permata Kinabalu’ yang berlangsung sepanjang enam hari bermula 21 hingga 26 Disember 2024. Projek ini merupakan satu platform pengukuhan nilai intelektual dan kemahiran insaniah melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang diperolehi sepanjang perkampungan di Universiti Malaya.

Antara pengisian yang dilaksanakan bagi memberikan pengalaman baharu kepada pelajar adalah pengenalan anatomi badan manusia yang telah diawetkan melalui. lawatan ke Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Para peserta juga didedahkan dengan tatacara penggunaan peranti makmal untuk mengkaji spesimen sel-sel haiwan dan tumbuhan yang menjadikan medium pembelajaran biologi dan kimia lebih bermakna melalui pengalaman yang diperolehi oleh mereka.

Selain itu, para pelajar juga berpeluang untuk mengunjungi Rimba Ilmu bagi mengenali dengan lebih mendalam tentang penanaman, penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan flora yang bersifat inovatif. Antara inovasi yang diperkenalkan kepada pelajar adalah proses pendebungaan secara kacuk, pengkulturan bagi benih kotiledon dan dikotiledon serta langkah kemampanan hidupan flora berdasarkan perubahan iklim semasa. Perkaitan antara flora dan teknologi ini mencerminkan suatu interaksi yang kompleks dan saling melengkapi antara alam semula jadi dan kemajuan manusia, yang memupuk pemahaman dan minda kritis kepada pelajar.

Universiti Malaya juga menawarkan peluang kepada pelajar untuk melawat Muzium Geologi yang menyimpan pelbagai artifak dan hasil galian bumi. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh para pelajar adalah mengenali fizikal logam dan bukan logam seperti tembaga, bijih besi, batu kapur, kaolin, marmar serta mengetahui fungsi khusus bagi setiap galian tersebut kepada kegunaan kehidupan seharian. Pengetahuan yang mendasar terhadap sumber-sumber bumi ini akan menjadikan para pelajar lebih kreatif dalam menghasilkan produk yang menyumbang kepada pemerkasaan STEM di Malaysia.

Kepentingan Pendekatan Pembelajaran STEM Berasaskan Pengalaman

Terdapat pelbagai usaha yang berterusan yang dilakukan bagi memperkukuh pendidikan STEM di peringkat global dan nasional antaranya pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Pendekatan yang diketengahkan melalui teori pembelajaran David A. Kolb’s ini memfokuskan kepada pemerolehan ilmu pengetahuan melalui interaksi sosial pada empat tahap iaitu pengalaman konkrit, pemerhatian reflektif, konseptualisasi abstrak dan eksperimen aktif.

Keempat-empat tahap ini merupakan suatu bentuk kitaran yang berterusan di mana pelajar akan mengalami suatu peristiwa, merenung, memahami konsep dan mengimplimentasikan secara praktikal sekaligus menjadikan pembelajaran berasaskan pengalaman sebagai pendekatan yang efektif. Antara ciri utama pembelajaran berasaskan pengalaman ini adalah berpusatkan pelajar, berbentuk refleksi dan kontekstual, mengamalkan budaya kerjasama dan dilakukan secara berterusan.

Di peringkat antarabangsa, pembelajaran berasaskan pengalaman telah diiktiraf sebagai kaedah efektif untuk meningkatkan minat dan pemahaman pelajar terhadap STEM. Pendekatan ini memupuk pembelajaran aktif dengan melibatkan pelajar secara langsung dalam pelbagai aktiviti praktikal seperti eksperimen, kajian lapangan, dan simulasi. Sebagai contoh di Finland, pelajar diberi peluang untuk melibatkan diri dalam projek interdisiplin yang memfokuskan kepada isu global seperti perubahan iklim dan kelestarian.

Di Amerika Syarikat pula, program seperti STEMWorks dan Makerspace mendorong pelajar untuk menghasilkan prototaip menggunakan teknologi terkini seperti pencetak 3D dan robotik. Pendekatan ini berjaya meningkatkan keupayaan pelajar untuk meneroka aplikasi STEM dalam kehidupan sebenar.

Melalui praktikal di Malaysia, pemerkasaan STEM menjadi salah satu agenda kerajaan melalui Pelan Induk STEM 2026 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menekankan kepentingan memperkukuh kurikulum STEM melalui pendekatan inovatif. Pembelajaran berasaskan pengalaman semakin mendapat tempat dalam program-program pendidikan seperti perkhemahan STEM, lawatan sambil belajar ke pusat sains, dan pertandingan inovasi.

Misalnya, aktiviti seperti ‘STEM Carnival’ yang dianjurkan di sekolah-sekolah melibatkan pelbagai aktiviti praktikal termasuk pembinaan robot, eksperimen kimia, dan pertandingan matematik. Aktiviti ini bukan sahaja menarik minat pelajar, malah memberi peluang kepada mereka untuk meneroka sains dan teknologi dalam persekitaran yang menyeronokkan. Walaupun demikian, usaha ini memerlukan sokongan padu daripada pelbagai pihak seperti industri, universiti, dan komuniti untuk memastikan keberkesanannya di tahap optimum.

Kesimpulannya, Projek ‘Permata Kinabalu’ anjuran Yayasan Sabah dan Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya berjaya memupuk pemahaman STEM melalui pengalaman teoritikal dan praktikal melalui lawatan ke Fakulti Perubatan, Muzium Geologi dan Rimba Ilmu Universiti Malaya. Pengisian ini mendedahkan pelajar kepada hubungan antara sains, teknologi, dan alam sekitar, sekali gus mengasah minda kritis serta kreativiti mereka.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation