Oleh: Dr. Muhammad Hadi Mustafa
Dalam usaha membangunkan semula kawasan yang terjejas akibat peperangan, penindasan, bencana alam, atau kemiskinan, pendekatan yang lebih mampan, lestari, dan berpaksikan komuniti amat penting. Sejarah telah membuktikan bahawa pembangunan semula yang dikawal oleh pihak asing sering kali tidak menepati keperluan sebenar masyarakat setempat kerana mereka tidak memahami realiti hidup penduduk yang ingin dibantu.
Lebih membimbangkan, terdapat kes di mana bantuan luar lebih berorientasikan kepentingan politik dan ekonomi pihak tertentu, bukannya untuk kepentingan penduduk tempatan yang menderita. Oleh itu, konsep ‘Oleh Komuniti, Untuk Komuniti’ disaran sebagai salah satu cara penyelesaian terbaik dalam memastikan pembangunan semula benar-benar memenuhi keperluan penduduk tempatan serta memperkasakan mereka untuk berdikari dan membina masa depan yang lebih cerah.
Satu contoh jelas ialah situasi semasa di Palestin, di mana kemusnahan akibat konflik telah menyebabkan keperluan mendesak untuk pembangunan semula. Namun, campur tangan pihak asing sering kali memperlahankan proses ini disebabkan kepentingan geopolitik dan birokrasi yang menyulitkan penyampaian bantuan. Di Palestin, banyak projek pembangunan dan bantuan yang dibiayai oleh organisasi antarabangsa tertangguh atau terbengkalai kerana sekatan politik dan dasar diskriminasi yang dikenakan terhadap mereka. Seharusnya, sesebuah negara perlu diberi kebebasan penuh untuk membangunkan semula tanah air mereka sendiri tanpa pengaruh asing yang tidak diinginkan. Masyarakat yang mengalami penderitaan akibat konflik atau bencana adalah pihak yang paling memahami keperluan mereka sendiri, justeru mereka wajar diberikan kuasa mutlak untuk menentukan hala tuju pembangunan semula negara mereka.
Salah satu elemen utama dalam pendekatan ini ialah penglibatan aktif komuniti dalam perancangan pembangunan semula. Setiap komuniti mempunyai keperluan unik yang hanya mereka sendiri fahami dengan mendalam. Oleh itu, sesi perundingan dan perbincangan antara masyarakat setempat dengan pihak berkuasa atau badan bukan kerajaan (NGO) tempatan adalah amat penting bagi mengenal pasti projek yang benar-benar relevan. Infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, perumahan yang selamat, serta sekolah dan pusat kesihatan harus menjadi keutamaan agar keperluan asas masyarakat dipenuhi dengan berkesan.
Dalam aspek pembinaan, penggunaan bahan tempatan dan teknik binaan yang sesuai dapat membantu menjimatkan kos dan memastikan projek lebih mampan. Penggunaan sumber tempatan bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bahan import, tetapi juga menggalakkan ekonomi setempat berkembang. Kaedah binaan tradisional yang sesuai dengan persekitaran tempatan, seperti rumah batu bata atau tanah liat boleh digunakan untuk memastikan ketahanan terhadap cuaca atau bencana. Selain itu, bahan daripada bangunan lama boleh diproses dan dikitar semula untuk mengurangkan pembaziran sumber.
Bagi memastikan pembangunan semula benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti, latihan kemahiran dan pembangunan kapasiti tenaga kerja adalah satu keperluan utama. Dengan memberi latihan dalam bidang pembinaan, kejuruteraan asas, dan penyelenggaraan infrastruktur, masyarakat dapat memainkan peranan lebih aktif dalam membina semula kawasan mereka. Program latihan ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga membantu dalam mencipta ekonomi yang lebih lestari dan berdikari.
Selain itu, pembangunan semula yang dipacu oleh komuniti juga dapat menggalakkan pertumbuhan perniagaan tempatan. Kontrak pembinaan boleh diberikan kepada syarikat kecil dan sederhana dalam komuniti tersebut, sekaligus memberikan mereka peluang untuk berkembang. Pembangunan yang melibatkan tenaga kerja dan perniagaan tempatan akan menjadikan komuniti lebih kukuh dari segi ekonomi serta kurang bergantung kepada bantuan luar.
Namun, untuk memastikan pendekatan ini berjaya, sokongan daripada pelbagai pihak amat diperlukan. Sekolah dan universiti boleh memperkenalkan modul ringkas secara percuma berkaitan pembinaan lestari, pengurusan komuniti, dan kemahiran keusahawanan untuk memastikan generasi muda yang tertindas bersedia dalam usaha pembangunan semula. Pada masa yang sama, syarikat dan NGO boleh menyumbang dengan menyediakan latihan kepakaran, kursus pensijilan, dan program mentor bagi membimbing komuniti ke arah pemerkasaan kendiri.
Sebagai generasi yang akan mewarisi masa depan, masyarakat perlu melihat pembangunan semula bukan sekadar sebagai satu proses membina infrastruktur, tetapi sebagai peluang membentuk komuniti yang lebih berdaya tahan, inovatif, dan berdikari. Apabila komuniti diberi kuasa untuk membina semula kehidupan mereka, mereka bukan sahaja akan dapat mengatasi cabaran yang dihadapi, tetapi juga mampu mencipta peluang baharu bagi generasi akan datang.
Pembangunan semula bukan sekadar membina semula bangunan—ia tentang mengembalikan harapan, maruah, dan kebebasan kepada komuniti yang terjejas. Kita semua boleh memainkan peranan sama ada melalui kepakaran, sokongan, atau sekadar menyebarkan kesedaran, setiap usaha pastinya akan membawa perubahan.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment