Menyantuni suku Temuan di pinggir ibu kota

Spread the love

Pada 29 Disember 2024, Seramai 40 orang pelajar dari Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) Universiti Malaya telah terlibat sebagai sukarelawan meraikan Hari Moyang iaitu sebuah perayaan adat tradisional masyarakat orang asli kaum Temuan di Kampung Bukit Lanjan.

Hari Moyang adalah hari untuk menghormati nenek moyang mereka melalui upacara adat yang diwarisi secara turun-temurun, bagi menghormati ‘semangat’ yang dipercayai melindungi keselamatan dan membawa kehidupan sejahtera kepada generasi masa kini. Ia menjadi platform untuk menyemai semangat perpaduan, mempertahankan identiti budaya, dan memperkenalkan warisan tradisional kepada generasi muda serta peserta program.

Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Tok Batin Atak A/L Akob, Ketua Kampung Orang Asli Bukit Lanjan dan majlis diteruskan dengan ucapan perasmian daripada Y.B. Puan Pua Pei Ling, ADUN Bukit Lanjan.

Semasa majlis perasmian program, peserta dan tetamu disajikan dengan persembahan tarian tradisional masyarakat Temuan, termasuk tarian Sewang yang diiringi dengan alunan muzik tradisional. Persembahan ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami dan menghayati keindahan budaya Orang Asli Temuan.

Sukarelawan dari Universiti Malaya tersebut dikenali dengan pasukan Semarak Prihatin ASTAR untuk Komuniti (SPARK). SPARK ialah sebuah projek sukarelawan yang bertujuan untuk berinteraksi dengan golongan berkeperluan khas, yang sering terpinggir dalam masyarakat. Projek ini dirangka dengan matlamat untuk membentuk peserta yang memiliki hati yang penyayang serta memupuk sifat empati, terutamanya terhadap golongan yang kurang bernasib baik dan interaksi dalam projek ini mampu menghapuskan persepsi negatif dan membina hubungan yang lebih inklusif, sekaligus memperbaiki persepsi masyarakat terhadap golongan ini.

Lawatan Projek SPARK diadakan di perkampungan Orang Asli Bukit Lanjan, iaitu sebuah penempatan orang asli Temuan di Selangor, Malaysia. Kampung ini mendapat namanya apabila sekumpulan orang asli Temuan yang pertama sekali tiba di kawasan ini. Orang asli Temuan di Bukit Lanjan kini tinggal di kampung yang sangat berbeza daripada kehidupan mereka dahulu. Mereka tidak lagi berpindah randah, memburu, mengutip buah-buahan, mengail, atau mencari hasil hutan untuk menyara kehidupan.

Dengan usaha kerajaan Malaysia, perkampungan mereka telah dibangunkan menjadi Desa Temuan, yang kini merupakan sebahagian daripada kawasan perbandaran baru yang dikenali sebagai Damansara Perdana. Mereka kini memiliki dan mendiami rumah baru yang berkeluasan 7,000 kaki persegi. Terdapat kira-kira 120 buah keluarga yang tinggal di Desa Temuan ini pada masa sekarang.

Menurut Pengarah Projek SPARK, saudari Nur Afifah Ahmad Damanhuri, para pelajar yang menyertai program ini berpeluang mempelajari nilai-nilai unik masyarakat Temuan, termasuk cara mereka menghormati alam sekitar, kepercayaan terhadap roh nenek moyang, dan pengajaran tentang pentingnya adat dalam kehidupan seharian. Selain itu, pelajar berpeluang untuk mendalami adat mereka melalui acara sumpit dan kerchang. Permainan kerchang mencabar minda pelajar, manakala acara sumpit menguji kemahiran dan diawasi oleh wakil Lembaga Adat untuk keselamatan. Aktiviti ini memperkaya pemahaman pelajar tentang adat masyarakat Temuan.

Projek SPARK turut membuka reruai sepanjang program hari moyang di samping turut menjalankan aktiviti sukaneka bersama komuniti orang asli. Antara aktiviti yang dijalankan adalah acara menyumpit. Peserta diminta menembak sasaran dalam jarak yang ditetapkan menggunakan sumpit. Aktiviti ini diajar dan diawasi oleh wakil dari Lembaga Adat sebagai langkah keselamatan. Peserta dan pelajar berpeluang mempelajari cara menggunakan sumpit. Permainan ini dilaksanakan di bawah pengawasan Lembaga Adat. Para peserta tetap terhibur dan bersemangat bermain permainan ini walaupun ia agak mencabar.

Terdapat juga acara sukan tradisional seperti galah panjang. Dua kumpulan peserta berada di stesen yang sama untuk bersaing dalam permainan galah panjang. Kumpulan yang berjaya melepasi garisan dengan jumlah ahli terbanyak mendapat mata. Para peserta sangat teruja dengan aktiviti ini dan bermain dengan penuh semangat. Seterusnya, aktiviti yang dijalankan ialah baling selipar. Satu kumpulan terdiri daripada lima orang pelajar, bersaing dengan satu kumpulan peserta. Permainan ini dijalankan dalam dua pusingan, dan kumpulan yang menang memperoleh satu mata bagi setiap pusingan. Permainan ini menggalakkan interaksi di samping mengeratkan hubungan antara peserta dan kumpulan pelajar. Stesen seterusnya ialah stesen lastik tin. Terdapat sembilan tin yang disusun di atas meja, dan kumpulan peserta perlu melastik untuk menjatuhkan tin tersebut dari jarak yang telah ditetapkan. Setiap peserta bergilir-gilir untuk melastik dalam masa yang ditetapkan. Setiap tin yang jatuh diberikan satu markah.

Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Encik Amer Faezzudden Ahmad Fazal, Felo Penasihat Projek SPARK yang diiringi oleh Tok Batin Atak A/L Akop. Menurutnya, para peserta bukan sahaja berpeluang untuk memahami kehidupan sosial orang asli, tetapi juga membina hubungan yang lebih inklusif dan mesra. Program ini memberi impak positif kepada semua pihak yang terlibat, dengan harapan nilai keprihatinan yang diterapkan akan terus diamalkan dalam kehidupan seharian.


Nor Aliesya Aisyah Abdulrahim
Nur Afifah Ahmad Damanhuri

Nur Afifah Ahmad Damanhuri dan Nor Aliesya Aisyah Abdulrahim dari Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation