IPOH, 28 Januari 2023 – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) terus komited memperkasakan pemilikan rumah mampu milik di lokasi-lokasi strategik seluruh negara termasuk di Negeri Perak.
Dalam satu kenyataan hari ini, KPKT berkata PR1MA merekodkan bilangan projek dan unit rumah PR1MA yang tertinggi di Perak dengan 13 projek merangkumi 8,383 unit rumah.
Katanya, terdapat 10 projek telah disiapkan, satu (1) projek dijangka siap pada suku pertama 2023 manakala dua (2) projek lagi dalam fasa perancangan.
“Lebih 6,200 atau 74% unit kediaman telah terjual di Perak dan kempen pemasaran PR1MA Ria untuk beberapa projek perumahan yang berkualiti tinggi antaranya di Lumut, Ipoh dan Kampar giat dipromosikan. Semua projek siap di Perak telah diperakui dengan sijil Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) di bawah skim pembangunan berkualiti CIDB dan enam (6) projek siap di Perak menerima skor QLASSIC lebih 70%.” kata KPKT.
Pada hari ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkesempatan menyerahkan kunci kepada sepuluh (10) pembeli Residensi Kepayang yang terletak di Ipoh. Turut hadir di majlis tersebut adalah Yang Berhormat Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak mewakili YAB Menteri Besar Perak, Datuk Azhar bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT dan Datuk Seri Haji Mohd Nazri bin Md Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif & Anggota Perbadanan PR1MA.
Projek Residensi Kepayang yang telah menerima skor QLASSIC sebanyak 75% merupakan sebuah pembangunan berkepadatan rendah dengan 252 unit rumah setinggi 22 tingkat oleh Vertex CentralSdn.Bhd. selaku kontraktor penyelamat projek.
Residensi itu mempunyai pelbagai fasiliti untuk kemudahan para penduduk seperti tadika, dewan serbaguna, taman permainan dan juga surau. Residensi yang terletak di tengah bandar Ipoh itu berdekatan dengan pusat membeli-belah, hospital, kawasan riadah, sekolah, premis komersial dan hab pengangkutan yang mudah diakses.
“Saya berkesempatan untuk meninjau projek kediaman Residensi Kepayang ini tadi, dan saya amat berpuas hati dengan kualiti, susun atur kediaman dan fasiliti yang disediakan dengan baik. Saya boleh katakan dengan yakin, kediaman yang disediakan oleh PR1MA adalah amat berbaloi dengan harga dan kualitinya,” kata Nga Kor Ming.
Beliau juga menzahirkan harapannya supaya kesemua pihak termasuk KPKT, Kerajaan Negeri serta PR1MA, akan meneruskan kerjasama erat dalam usaha untuk menyediakan perumahan yang berkualiti tinggi bagi mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu penyediaan 500,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2025. Bagi mencapai objektif ini juga, Dasar Perumahan Negara akan dikaji semula berdasarkan rangkuman MADANI seperti yang telah diumumkan KPKT baru-baru ini.
Nga Kor Ming turut menyaksikan acara pertukaran dokumen persefahaman antara PR1MA dan Koperasi Co-opbank Pertama Berhad (CBP). Dinamakan sebagai ‘Skim Perumahan CBP MyPR1MA’, kerjasama antara PR1MA dan CBP tersebut adalah untuk memudahkan rakyat berpendapatan sederhana memiliki kediaman PR1MA dengan fasiliti pembiayaan yang komprehensif.
Skim itu menyediakan pembiayaan rumah sehingga 110% daripada CBP dengan kadar keuntungan pinjaman yang menarik serendah 3.85% untuk harga hartanah di antara RM 250,000 hingga RM 500,000. Dengan ‘Skim Perumahan CBP MyPR1MA’, pembeli rumah PR1MA yang berkelayakan akan dapat memiliki rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan, tertakluk kepada terma dan syarat. Kemudahan itu selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memperkasakan pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia.
Datuk Seri Haji Mohd Nazri berkata, “Peranan kami lebih besar daripada sekadar membina rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan pertengahan. Pada masa yang sama, kami juga membangunkan komuniti PR1MA yang unik dengan infrastruktur sosial dan ekonomi yang tersendiri. Pembangunan struktur dan program komuniti PR1MA adalah bertujuan untuk membina komuniti yang sejahtera, lestari dan bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama. Usaha berterusan PR1MA ini selari dengan Dasar Komuniti Negara diterajui KPKT dan slogan #StrongerTogether, UnityInDiversity dan #DemiPertiwi.”
Untuk sebarang maklumat mengenai PR1MA, sila layari laman web PR1MA di www.pr1ma.my atau hubungi Pusat Panggilan PR1MA di 03-7628 9898 (tutup pada cuti umum di Negeri Selangor) atau emel kepada info@pr1ma.my.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment