Pencalonan bersama Kebaya ke UNESCO di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity

Spread the love

4 APRIL 2023 – Malaysia melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerajui inisiatif untuk mengangkat ‘Kebaya: Knowledge, Skills, Traditions and Practices’ sebagai pencalonan bersama ke Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity bagi tahun 2023.

Menurut MOTAC dalam satu siaran media yang diedarkan hari ini, Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand telah mengemukakan pencalonan secara bersama bagi Kebaya ke UNESCO kerana ia mewakili dan meraikan kekayaan warisan sejarah, menggalakkan persefahaman silang budaya dan pemakaiannya masih aktif diamalkan oleh komuniti di rantau Asia Tenggara.

Kata MOTAC, berdasarkan konsensus, semua negara yang mengambil bahagian dalam pencalonan bersama ini terlibat dalam beberapa siri mesyuarat sejak awal tahun 2022.

“Malaysia telah menjadi tuan rumah untuk bengkel pertama yang diadakan secara fizikal di Port Dickson, Negeri Sembilan pada November 2022 lalu dan diikuti dengan bengkel kedua di Jakarta yang dilaksanakan oleh Indonesia pada bulan Februari 2023. Borang pencalonan Kebaya telah dikemaskini dan diselaraskan sewaktu bengkel tersebut berdasarkan format baharu oleh UNESCO dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan merangkumi pegawai kerajaan, pakar dan wakil komuniti Kebaya dari semua negara yang mengambil bahagian. Satu bengkel secara dalam talian telah dilaksanakan oleh Singapura pada Mac 2023 bagi memuktamadkan kandungan borang pencalonan tersebut.

Kebaya merupakan pakaian yang melambangkan warisan budaya dan identiti orang Melayu, Peranakan (Cina, Baba Nyonya, Chetti, Siam, Kristang) dan masyarakat lain di Malaysia serta negara-negara di Asia Tenggara. Kebaya menepati definisi elemen warisan kebudayaan tidak ketara (WTK) kerana ia melibatkan kemahiran tenunan tradisional seperti sulaman dan teknik jahitan untuk menghasilkan pakaian wanita tradisional ini.

Kebaya juga mempunyai kaitan rapat dengan bentuk warisan budaya lain seperti majlis perayaan dan perkahwinan. Terdapat komuniti pembuat dan pemakai Kebaya aktif yang berkongsi serta menyampaikan ilmu dan nilai sosio-budaya Kebaya dari generasi ke generasi.” kata MOTAC.

UNESCO di bawah Konvensyen 2003 bagi melindungi WTK amat menitikberatkan pencalonan secara bersama untuk menjadikan budaya sebagai platform persefahaman dan dialog bersama, sekali gus menjadikan proses penyenaraian sebagai peluang untuk kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.

“Usaha pencalonan bersama ini adalah untuk memastikan Kebaya dilindungi melalui penyampaian pengetahuan (kursus formal dan bengkel), usaha promosi dan usaha dokumentasi atau penyelidikan dengan sokongan negara-negara yang mencalonkan elemen Kebaya dan juga komunitinya.

Kebaya memberikan kita satu peluang untuk mempromosi dan meraikan warisan kebudayaan yang ditemui di serata rantau Asia Tenggara. ” ujar MOTAC.

Keputusan bagi pencalonan ini akan dimuktamadkan dalam Sesi ke-19 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage pada tahun 2024.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation