MAMPU di bawah Kementerian Digital
PUTRAJAYA, 14 Disember 2023- Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan ditempatkan di bawah Kementerian Digital.
Sebelum ini MAMPU berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“MAMPU pastinya di bawah kementerian saya,” kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang baru dilantik menerajui kementerian itu kepada Bernama, selepas mengadakan lawatan ke pejabat MAMPU di Kompleks Setia Perdana di sini hari ini.
Gobind diiringi Timbalan Menterinya Datuk Ugak Anak Kumbong dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. Mereka juga diberi taklimat mengenai struktur dan operasi MAMPU oleh Ketua Pengarahnya Datuk Rodzi Md Saad.
Tambah Gobind, masih ada aspek tertentu yang perlu dijelaskan dan diperhalusi dari segi skop kerja yang berada di bawah Kementerian Digital.
“Memandangkan kementerian ini baharu, bidang yang ditugaskan dan agensi mana yang berada di bawah kita perlu diperhalusi,” katanya dan menambah beliau mungkin akan mengadakan sidang akhbar tidak lama lagi.
Be the first to leave a comment