Oleh Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz, Pengerusi BERSIH
Isu Pilihan Raya Kerajaan Tempatan sering dilihat panas apabila ia sering dilihat dari sisi perkauman.
Mana tidaknya, secara sejarah ia dikaitkan dengan insiden-insiden yang dianggap mengganggu kestabilan politik negara khususnya pada era 1960-an yang akhirnya membawa kepada pergantungan pilihan raya kerajaan tempatan pada tahun 1965 seterusnya dihentikan pada tahun 1976 apabila kerajaan menggubal Akta Kerajaan Tempatan menyebabkan pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan.
Kekhuatiran ini timbul bila mana kawasan bandar sering dikaitkan dengan kawasan yang didominasi secara besar oleh kaum Cina seolah kaum Melayu akan hilang kuasa mentadbir bandar.
Saya fikir dalam konteks semasa, demografi bandar sudah tidak sama dengan tahun 1960-an memandangkang pada zaman tersebut kita mewarisi barah pecah dan perintah yang ditinggalkan penjajah Inggeris yang sengaja membiarkan kaum Cina berada di Bandar, Melayu di Kampung dan India di ladang getah.
Melihat kepada Banci Penduduk 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Kuala Lumpur mencatat jumlah penduduk Melayu sejumlah 41.5%, Cina 36.2%, India 8.9% dan lain-lain 1.1% (bukan warganegara 12.3%).
Justeru di Kuala Lumpur sendiri hari ini populasinya adalah berbilang kaum dengan catatan kaum Melayu sebagai kaum teramai.
Melihat kehadapan, dengan trend pertambahan jumlah kelahiran kaum Melayu yang tinggi, kadar peratus Melayu di Kuala Lumpur dijangka mencecah 50%.
Justeru, melihat kepada perangkaan ini, sudah pasti mana-mana pihak yang berminat meletakkan calon untuk pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur akan mempertimbang untuk meletakkan calon utama dari kaum Melayu.
Projek perbandaran yang rancak dijalankan hari ini juga melihat perkembangan yang sama apabila kawasan-kawasan bandar baru banyak diduduki oleh orang Melayu. Contoh klasik adalah projek perbandaran bandar-bandar baru seperti Shah Alam, Bangi, selain Putrajaya dan lain-lain.
Namun, kita tidak boleh memandang ringan kekhuatiran yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Justeru, kita harus berlapang dada untuk mempertimbang dan mendengar pandangan mereka dalam masa sama cuba untuk meredakan kebimbangan yang diutarakan agar manfaat utama dari pilihan raya kerajaan tempatan ini dapat dijelmakan.
Justeru pilihan raya kerajaan tempatan harus dicadangkan untuk dilaksanakan secara berperingkat dengan ada projek perintis (pilot project) supaya kesan dan manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
Namun pada masa sama, kita harus akui pilihan raya kerajaan tempatan bukan semata-mata jalan penyelesaian kerana isu-isu melingkari penduduk yang terkait hari ini begitu kompleks.
Ini termasuk dengan senario penduduk yang mempunyai autonomi sendiri dalam menyelesaikan isu-isu setempat seperti Badan Pengurusan Bersama- JMB di rumah pangsa yang sama sekali berbeza dengan sistem lama.
Walau bagaimanapun kita tidak boleh nafikan kebaikan pilihan raya kerajaan tempatan kerana pilinan raya ini akan memberdaya suara rakyat dalam membawa isu setempat selain memastikan peningkatan nilai kebertanggungjawaban pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu tempatan.
Ia juga secara tidak langsung akan meringankan kerja Ahli Parlimen dan ADUN yang sebelum ini terpaksa menyelesaikan semua isu setempat melibatkan sampah sarap, longkang tersumbat dan sebagainya, sedangkan tugas mereka adalah untuk menggubal serta menyemak undang-undang dan dasar penting negara.
Selain itu, pilihan raya kerajaan tempatan ini sebenarnya memberi manfaat kepada parti politik yang mempunyai akar umbi yang kuat termasuk di luar bandar sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan ini diluaskan.
Dalam portal rasmi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan merekodkan terdapat sebanyak 149 buat PBT termasuk Kuala Lumpur iaitu 12 buah Dewan / Majlis Bandaraya, 39 buah Majlis Perbandaran (MP) dan 98 buah Majlis Daerah (MD).
Pilihan raya tempatan akan menghidupkan kesedaran politik dalam kalangan masyarakat di sesebuah lokaliti.
Melalui undian, wakil dalam PBT yang dipilih semasa pilihan raya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rakyat.
Ini kerana rakyat akan menilai kemampuan wakil yang diundi dalam tempoh tertentu sebelum pilihan raya berikutnya diadakan.
Justeru, parti-parti politik yang ingin membina pengaruh di bandar akan menumpukan perhatian pada hal ehwal pengurusan perbandaran serta daerah dan membina pengaruh sebagai persediaan untuk memenangi pilihan raya umum.
Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz
Pengerusi
Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH)
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment