MCMC sita telefon dan kad sim pengendali akaun media sosial Mynewshub
CYBERJAYA 13 April 2024 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan pengendali akaun media sosial MyNewsHub di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor kira-kira jam 8:40 malam semalam. Ia adalah susulan tindakan suspek tersebut memuat naik dan memainkan semula klip video lama dengan teks yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.
“Setelah selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.
Pegawai penyiasat telah menyita kad sim dan satu unit telefon bimbit milik suspek yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.” kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.
MCMC turut berkata bahawa pihaknya memandang serius penularan video berdurasi 1 minit 10 saat dengan tajuk, “Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!”.
“Muat naik kandungan yang mempunyai niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain seumpama ini adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. Berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam, video tersebut merupakan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.” kata MCMC.
Be the first to leave a comment