Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria
Tradisi hari raya kini kian luntur dihakis peralihan zaman yang menyebabkan generasi Z cenderung kurang menghargainya. Generasi Z merujuk kepada kumpulan individu yang dilahirkan dalam kemajuan teknologi dengan akses kepada peranti digital seperti komputer, telefon pintar dan media sosial. Tradisi hari raya merangkumi pelbagai aspek budaya, agama, dan sosial yang berkaitan dengan perayaan Hari Raya, terutamanya Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Tradisi yang dimaksudkan adalah bersilaturrahim, berrmaaf-maafan, berkunjung-kunjungan, berkongsi rezeki, berbaju raya, berkuih raya, menziarahi kubur, pulang ke kampung, bertakbir raya bersama-sama, menghias rumah dan sebagainya. Mengapa penting bagi Generasi Z ini memahami dan menghargai tradisi hari raya?
Hari raya bukan sekadar satu sambutan tetapi merupakan masa dan ruang yang berharga di mana ahli keluarga pulang ke kampung halaman dan berkumpul bersama-sama yang menjadi tradisi setiap masyarakat tidak kira kaum. Keistimewaan ini tidak hanya terbatas kepada sesuatu etnik atau agama, tetapi ianya menjadi satu aspek penting dalam budaya masyarakat yang berbeza-beza. “Berkawan dengan sepupu sendiri pun tidak tahu”, ayat ini sering kali meluncur dari bibir warga tua yang sangat mementingkan silaturrahim dalam kalangan anak-anak.
Dalam era digital dan kehidupan yang semakin sibuk, generasi Z sering kali terlalu terperangkap dalam dunia maya yang terasing dari realiti kekeluargaan, Justeru itu, dengan menghargai tradisi berkumpul di hari raya bersama-sama sanak saudara ini, generasi Z dapat menggunakan sambutan ini sebagai peluang untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dengan adik-beradik, sepupu sepapat, atuk nenek dan sanak saudara yang jauh di perantauan. Dengan demikian, hari raya bukan sekadar satu acara, tetapi menjadi titik penghubung kepada penyatuan ahli keluarga dan mengeratkan lagi hubungan berkasih sayang dalam suasana kekeluargaan.
Selain itu, tradisi hari raya juga mengajar nilai-nilai penting dalam kehidupan seperti kesyukuran, keikhlasan dan kebajikan. Kesyukuran dalam konteks tradisi ini melibatkan rasa bersyukur terhadap segala nikmat yang diberikan, termasuklah nikmat kesenangan dan kebahagiaan semasa menyambut hari raya. Ketika kita berkumpul bersama keluarga dan sahabat, serta menikmati juadah yang lazat, kita diajar untuk menghargai nikmat dengan penuh kesyukuran. Tradisi saling berkongsi juadah hari raya juga memperlihatkan erti kesyukuran dengan menghargai nikmat yang diberikan dan keberkatan yang datang dari usaha bersama.
Tradisi berkongsi dengan orang sekeliling meneruskan pesanan keikhlasan dan kebajikan. Dengan bersedia untuk berkongsi dengan mereka yang kurang bernasib baik, kita belajar untuk menghargai apa yang kita miliki dan sikap keikhlasan dalam memberi kepada orang lain, serta menyebarkan kebahagiaan dan kasih sayang dalam masyarakat. Oleh itu, hari raya bukan sekadar acara kebudayaan semata-mata, tetapi juga satu medium yang berharga untuk mengukuhkan nilai-nilai yang mewarnai kehidupan kita dengan makna yang mendalam.
Warisan kuih raya tradisional memegang peranan penting yang sering kali diabaikan oleh generasi Z. Kuih-kuih seperti kuih bangkit, dodol, pulut manis merangkumi sebahagian daripada warisan kulinari yang diwarisi dari nenek moyang kita. Namun, pada zaman kini, kehadiran kuih-kuih tradisional semakin berkurangan di meja makan semasa sambutan hari raya. Ini mungkin disebabkan oleh arus globalisasi yang membawa masuk kepelbagaian makanan baru serta perubahan gaya hidup yang lebih sibuk. Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya mengabaikan nilai dan signifikan kuih raya tradisional. Setiap jenis kuih raya mempunyai cerita tersendiri dan merupakan lambang kekayaan budaya dan warisan nenek moyang kita. Kuih-kuih raya tradisional bukan sekadar hidangan lazat yang disantap semasa perayaan, tetapi juga satu bentuk keindahan seni kulinari yang perlu dihargai dan dipelihara.
Bukan itu sahaja, kuih-kuih tradisional ini juga dapat memupuk rasa kebersamaan dan kekeluargaan semasa menyediakan serta berkongsi kuih-kuih terssebut semasa hari raya. Justeru, penting untuk generasi Z memahami dan mengekalkan tradisi kuih raya tradisional disamping dapat meneruskan warisan budaya yang telah diwarisi dari generasi ke generasi agar tidak luput tradisi hari raya yang diraikan.
Dulu ziarah menziarahi menjadi titik tumpuan semasa sambutan hari raya, di mana keluarga dan rakan-rakan berkunjung ke rumah-rumah satu sama lain. Ini adalah peluang untuk saling bertemu, berkongsi cerita, dan mengukuhkan hubungan sosial. Namun, tradisi ziarah menziarahi di kalangan generasi Z semakin terabai dihempap oleh gelombang kemodenan dan kehadiran gajet dalam kehidupan harian. Ziarah menziarahi bukan sekadar suatu perbuatan, tetapi ia mencerminkan nilai-nilai kesopanan, kebersamaan, dan kasih sayang yang mendalam dalam budaya kita.
Sejak kemunculan gajet dan teknologi, interaksi secara fizikal kian luput dan tergantikan dengan komunikasi digital. Pesanan ucapan hari raya lebih banyak disampaikan melalui mesej teks atau media sosial, dan pertemuan wajah ke wajah semakin jarang berlaku. Ketidakwujudan ziarah menziarahi di kalangan generasi Z mungkin menjejaskan pembangunan hubungan sosial yang kukuh dan kesedaran akan pentingnya interaksi manusia. Tanpa pengalaman langsung berkongsi ruang dan masa bersama-sama, nilai-nilai seperti empati, penghormatan, dan kasih sayang mungkin tidak dapat diterapkan dengan sepenuhnya.
Disimpulkan secara ringkas, memahami dan menghargai tradisi Hari Raya Aidilifitri adalah penting bagi generasi Z agar mereka dapat menyedari nilai-nilai warisan budaya yang kaya dan berharga. Malah, bukanlah sekadar satu kewajipan, tetapi juga merupakan satu bentuk penghormatan terhadap warisan budaya yang telah diterima dari generasi sebelumnya. Dengan memelihara dan meneruskan tradisi ini, mereka dapat membawa kehidupan dan nilai-nilai warisan budaya ke zaman moden, serta menyemai rasa kebersamaan, kekeluargaan dan kebahagiaan dalam masyarakat.
…
Dr. Azmawaty ialah Timbalan Dekan Ijazah Dasar di Fakulti Pendidikan, manakala Siti Nurmaliya Zakaria ialah Calon Sarjana Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment