• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Apakah hubungan literasi kewangan dengan tingkah laku perbelanjaan rakyat Malaysia?

Spread the love

Oleh: Dr. Nurul Ashikin Alias

Malaysia telah melalui pelbagai perubahan bersifat fenomena tidak berbalik yang berupaya menjejaskan struktur ekonominya seperti berlakunya peningkatan kos sara hidup dari semasa ke semasa. Perkara ini ditambah lagi dengan berlakunya peningkatan kos pengeluaran bagi suatu barangan yang akan mendorong kepada peningkatan kadar keberhutangan seseorang individu sehingga mampu untuk mendatangkan ancaman kesejahteraan kepada keadaan kewangan individu tersebut.

Dr. Nurul Ashikin Alias

Selain itu, kebanyakan daripada individu juga hidup dalam keadaan menanggung hutang, sama ada hutang peribadi, pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan dan juga hutang-hutang yang lain. Bagaimanapun ia bukanlah suatu hal yang buruk jika pengurusan hutang tersebut mampu dikawal dengan baik. Apa yang menjadi kerisauan adalah apabila seseorang individu tersebut berhutang di luar dari batas kemampuannya. Disebabkan faktor inilah menunjukkan betapa pentingnya literasi kewangan yang tepat diperlukan oleh seseorang individu.

Berdasarkan pemerhatian di kalangan golongan belia Malaysia, terdapatnya jurang dari perspektif kekurangan pengetahuan berkaitan kewangan walaupun terdapat pelbagai usaha dari pihak kerajaan dan sektor swasta bagi memantapkan tahap pengetahuan ini. Situasi keadaan ini dapat dilihat apabila terdapat segelintir rakyat Malaysia yang tidak mampu membuat keputusan kewangan yang tepat dan bertanggungjawab bagi memastikan kesejahteraan tahap kewangan mereka sendiri. Pada tahun 2015, terdapat 76 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mampu mengumpulkan sejumlah wang, sekurang-kurangnya RM1,000 bagi kegunaan ketika waktu kecemasan.

Berdasarkan satu kajian yang pernah dilakukan pada tahun 2017, telah mengesyorkan pengukuhan dalam sistem pendidikan berkaitan pengetahuan kewangan perlu dilakukan bermula dari peringkat persekolahan sehingga peringkat pendidikan tertiari di universiti. Walaupun pada hakikatnya pengetahuan kewangan yang tinggi belum tentu lagi dapat memastikan tingkah laku kewangan yang bertanggungjawab. Namun, sekurang-kurangnya telah terdapat usaha yang dilakukan bagi memastikan individu mampu melakukan keputusan kewangan yang tepat dan bertanggungjawab.

Seperti mana yang diketahui, tahap perkembangan literasi kewangan telah mengalami revolusi dari semasa ke semasa di mana pengetahuan ini adalah sangat penting dalam membantu proses pembuatan keputusan kewangan oleh seseorang individu. Ini adalah antara usaha yang dilakukan untuk mencapai kesejahteraan kewangan. Merujuk kepada takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan perkataan literasi adalah merujuk kepada kebolehan menulis dan membaca. Manakala, literasi kewangan adalah berkaitan pengetahuan menguruskan kewangan. Tahap literasi kewangan yang tinggi dan kukuh didapati akan mempengaruhi seseorang individu untuk membuat keputusan yang tepat dalam menguruskan kewangan secara khemat.

Namun begitu, tahap literasi kewangan adalah berbeza bagi setiap individu di mana keadaan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor demografi seperti jantina, umur, pendapatan dan juga kelayakan pendidikan. Individu dengan literasi kawangan yang tinggi akan mendorong individu tersebut untuk menjadi lebih yakin dalam membuat keputusan dalam pengurusan kewangan.

Isu status keberhutangan di Malaysia mampu memberikan kesan yang membimbangkan kepada golongan dewasa peringkat awal. Hal ini kerana kadar nisbah hutang isi rumah berada dalam keadaan trend yang semakin meningkat. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Asian Institute of Finance pada tahun 2015 telah melaporkan bahawa terdapat ramainya golongan muda yang menghadapi tekanan kewangan pada peringkat awal kehidupan mereka kerana majoriti golongan ini mempunyai gaya hidup melebihi kemampuan mereka. Golongan ini kebiasaannya adalah terperangkap dalam keadaan perbelanjaan berdasarkan emosi.

Pada masa yang sama, golongan alaf baru ini juga adalah dikatakan sebagai golongan yang terperangkap dalam gaya hidup digital, di mana keadaan ini mampu menyumbang kepada peningkatan kadar keberhutangan mereka. Tambahan pula, berdasarkan tempoh masa yang telah berlalu ini dapat dilihat terdapatnya peningkatan peratusan kemunculan golongan dewasa yang terpaksa berhadapan dengan keadaan muflis. Berdasarkan laporan yang dinyatakan oleh Asian Institute of Finance pada tahun 2015 terdapatnya kebergantungan individu berhutang kepada pinjaman kos-tinggi, pinjaman peribadi serta pinjaman kad kredit. Pada masa yang sama, perubahan corak pengguna dan akses kepada kemudahan pinjaman peribadi telah menyebabkan ramai golongan belia berakhir dengan keadaan muflis kerana mereka kehilangan kendali terhadap kewangan mereka.

Secara kesimpulannya, adalah penting untuk memberikan pendidikan awal berkaitan literasi kewangan kepada setiap individu terutamanya bermula dari peringkat kanak-kanak. Bak kata pepatah ‘melentur buluh perlulah dari rebungnya’. Namun begitu, bagi mencapai kejayaan dalam membentuk generasi muda dengan tahap kesedaran tinggi berkaitan literasi kewangan perlulah bermula dari usaha dan pengetahuan pengurusan kewangan yang tepat di peringkat generasi ibu bapa lagi. Hanya melalui langkah inilah kita akan mampu membentuk generasi muda yang mampu menguruskan kewangan secara berkhemah, bertanggungjawab dan berkesan.

Sekiranya ibu bapa tidak memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda maka adalah sukar untuk sesebuah negara mencapai masyarakat yang mempunyai tingkat literasi kewangan yang tinggi. Keadaan ini sekaligus mampu memastikan kesejahteraan kehidupan sesebuah masyarakat di dalam negara untuk suatu jangka masa yang panjang.

……

Penulis merupakan Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di uacds@um.edu.my

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation