KUALA LUMPUR, 9 Julai 2024 (Bernama) — Sejak akhir-akhir ini ada beberapa siri kempen boikot yang digerakkan oleh umat Islam di negara kita sehingga memberi kesan yang kurang baik terhadap ekonomi orang Islam dan juga keharmonian kaum. Boikot untuk produk-produk rangkaian francais antarabangsa dicetuskan ekoran kekejaman genosid dilakukan terhadap umat Islam di Palestin bermula 7 Oktober 2023; manakala boikot untuk sesetengah produk tempatan dilakukan ekoran daripada penemuan kalimah Allah pada stoking di salah sebuah rangkaian pasaraya.
Pada 3 Mei 2024, YB. Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato Setia Dr. Hj. Mohd. Naim bin Hj. Mokhtar telah mengarahkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) untuk mengkaji isu boikot ini sedalam-dalamnya secara ilmiah melalui perbincangan tertutup.
Sehubungan itu, dua buah pusat akademik IKIM iaitu, Pusat SYARAK dengan kerjasama Pusat EMAS IKIM menganjurkan Persidangan Meja Bulat (Round Table Discussion) pada 27 Jun 2024 bagi mendapatkan pandangan pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan pemain industri untuk membuat suatu saranan yang terbaik khasnya kepada pihak berkuasa dan juga masyarakat Islam amnya, dalam hal berkaitan boikot ini bagi mencari penyelesaian yang tuntas, harmoni dan menguntungkan semua pihak.
Persidangan Meja Bulat yang diadakan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd. Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).Teks ucapan beliau dibacakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty, Pengerusi IKIM.
Objektif Bengkel adalah pertama, bagi mengkaji pandangan Islam berdasarkan al Qur’an dan al-Hadith serta kaedah-kaedah fiqah dalam berhadapan dengan permasalahan boikot agar adil dan saksama. Kedua, meninjau kesan dan akibat terhadap sektor ekonomi umat Islam ekoran daripada boikot yang tidak berhemah. Ketiga, mengenalpasti kaedah dan pendekatan yang sesuai dalam menzahirkan kemarahan dan ketidaksetujuan pengguna terhadap sesuatu isu melalui pendekatan “consumers’ rights” dan “consumers’ power” tetapi dalam masa yang sama tidak berlaku zalim terhadap mereka yang terbabit.
Persidangan Meja Bulat Berhubung Pandangan Islam Terhadap Isu Boikot bersetuju dengan perkara-perkara yang digariskan seperti berikut:
a) Kami sepakat bahawa kekejaman yang dilakukan oleh rejim zionis Israel terhadap penduduk Islam di Gaza dan Palestin secara amnya merupakan suatu kezaliman dan pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang perlu ditentang habis-habisan bukan atas dasar sesama Islam sahaja, bahkan atas dasar kemanusiaan sejagat oleh semua orang memiliki sifat manusiawi. Apa jua bantuan dan pertolongan yang boleh diberikan kepada umat Islam di Palestin hendaklah dihulurkan, dan apa jua pendekatan yang boleh membantu menghalang, mengekang, dan menyusahkan rejim zionis Israel daripada terus melakukan kezaliman tersebut hendaklah diambil.
b) Pemboikotan ekonomi (ةيداصتقلاا ةعطاقملا) bukan merupakan suatu yang bersifat qati’e tetapi bersifat ijtihadi dalam usaha memelihara keimanan umat Islam (ةيناميلإا ةيلاحلا ةيضق) dan penguatkuasaannya tertakluk kepada Pemerintah (Ulil Amri) di bawah umat Islam bernaung pada ketika itu.
c) Perlu diakui bahawa tindakan memboikot bukanlah sesuatu yang asing dalam tradisi ajaran Islam bahkan pernah berlaku pada zaman Baginda SAW sendiri, dalam pelbagai bentuk. Bahkan ada dalam kalangan para Sahabat Nabi SAW yang diperintahkan oleh Allah untuk diboikot seperti kisah tiga orang sahabat yang tidak mengikuti Peperangan Tabuk. Ada juga peristiwa pemboikotan yang tidak dilakukan oleh Baginda SAW tetapi Baginda SAW memperakuinya (ةيريرقت ةنس). Justeru itu, secara umumnya pemboikotan adalah sesuatu yang dibolehkan (harus) hukumnya, namun mestilah memenuhi syarat-syaratnya agar tidak terjerumus ke arah kezaliman kepada pihak-pihak tertentu.
d) Kita sepakat untuk memboikot syarikat-syarikat yang menyokong dan mendokong (complicit) rejim zionis Israel melakukan genosid terhadap penduduk Palestin secara langsung. Tetapi bagi syarikat-syarikat yang tidak terlibat secara langsung dalam genosid di Palestin, seperti syarikat-syarikat francais daripada rangkaian syarikat antarabangsa luar negara yang beroperasi di Malaysia, ia perlu dilihat dari segi impak ekonomi yang akan menimpa syarikat-syarikat tersebut dari segi kerugian, pendapatan dan pekerjaan mereka yang kebanyakkan juga umat Islam. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqah فخأ باكترا نيررضلا iaitu melihat kepada yang lebih ringan mudaratnya dan al-maslahah dan al-mafsadah.
e) Syarikat-syarikat francais antarabangsa yang mencari rezeki dalam negara Malaysia ini yang dimiliki oleh rakyat tempatan juga sewajarnya mengambil sikap dan pendirian yang sama seperti mana rakyat dan kerajaan negara ini yang dengan jelas menyatakan pendirian menentang genosid terhadap rakyat Palestin tersebut, bagi mengelakkan masyarakat awam mendapat persepsi salah dan dilihat sebagai turut bersekongkol.
f) Tindakan pemboikotan yang diambil hendaklah bukan berdasarkan emosi melulu sebaliknya hendaklah berdasarkan pertimbangan fiqh al-muwazanah iaitu mengambil kira kesan kebaikan-keburukan (maslahah-mafsadah) yang menimpa umat Islam atau dalam istilah ekonomi disebut cause-benefit analysis. Ada perincian dan penelitian (dhawābit) tertentu, tingkatan persubahatan atau persekongkolan (degree of complicity) yang perlu dikaji, dengan syarat-syarat ketat yang perlu dipatuhi agar tidak berlaku kezaliman kepada mana-mana pihak.
g) Umat Islam dalam masa yang sama untuk jangka masa panjang perlu bersatu, menguasai ekonomi dan mengambil alih syarikat-syarikat besar yang dikuasai oleh syarikat-syarikat asing samada yang secara langsung atau tidak langsung menyokong atau mempunyai kaitan dengan rejim zionis Israel. Perlu ada usaha yang giat daripada umat Islam untuk menyediakan sendiri barangan keperluan dan perkhidmatan; dan mengurangkan pergantungan kepada pengeluar/negara bukan Islam dalam menyediakan barangan dan perkhidmatan yang mereka perlukan.
h) Golongan agamawan pula perlu cermat dalam mengeluarkan sebarang kenyataan agar tidak disalah-anggap sebagai menyokong pengeluar yang tidak sensitif terhadap kesucian agama Islam. Begitu juga, tidak mengeluarkan kenyataan memboikot sewenang-wenangnya dikhuatiri akan terjerumus ke arah kezaliman terhadap pihak-pihak tertentu.
i) Perlu diwujudkan sebuah Badan Pengawasan Pemantauan Boikot yang bebas yang bertanggungjawab untuk meneliti, dan menyemak kewajaran sesuatu produk atau syarikat untuk diboikot sekiranya benar benar terlibat menyokong kezaliman dan salahlaku. Ini untuk mengelakkan orang awam membuat keputusan sendiri tanpa ada kajian dan penelitian yang terperinci, tetapi berdasarkan emosi dan persepsi yang tidak tepat sehingga menyebabkan berlaku kezaliman dan penganiayaan terhadap syarikat-syarikat terbabit.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment