Rakyat Selangor beri respons positif terhadap Smart Selangor, namun perlu penambahbaikan

Spread the love

Oleh: Dr Mas Nordiana Hj Rusli

Dalam usaha untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pintar menjelang tahun 2025, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 (SSAP 2025) yang menggariskan inisiatif dan sasaran yang lebih jelas. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kerjasama US-ASEAN Smart Cities Partnership yang turut melibatkan bandar-bandar utama lain di Malaysia seperti Iskandar Malaysia, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang.

Sejak pelaksanaan SSAP 2025 pada tahun 2020, kerajaan negeri telah mengenal pasti empat domain yang menjadi fokus utama, iaitu infrastruktur digital, kerajaan, ekonomi, dan komuniti. Infrastruktur digital berfungsi sebagai pengupaya kepada pelaksanaan domain-domain pintar lain, dengan penekanan pada penggunaan indeks bandar pintar yang diiktiraf di peringkat global.

Dalam satu kajian bersepadu yang dijalankan oleh para penyelidik dari Pasukan Delta, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh penulis, tahap kepuasan rakyat terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak berwajib negeri Selangor mendapati bahawa terdapat variasi yang ketara dalam respons rakyat. Hasil kajian survey dalam kalangan rakyat negeri Selangor menunjukkan bahawa inisiatif dalam domain infrastruktur digital, seperti hentian bas pintar, mendapat sambutan positif dengan indeks kepuasan yang tinggi.

Selain penyediaan perkhidmatan wifi percuma, Smart Selangor Bus Stop turut dilengkapi dengan hab pengecas USB, peta laluan perkhidmatan bas serta pemantauan aktiviti pengguna melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan butang panik yang menghubung terus dengan pihak penguasa atau keselamatan. Kerajaan Selangor disarankan untuk meningkatkan keselamatan dengan pemasangan CCTV berteknologi terkini dan pemantauan keselamatan berterusan khususnya di lokasi-lokasi strategik kawasan titik merah serta aktiviti perlupusan sampah di kawasan larangan yang bukan sahaja boleh mencemar alam sekitar malah tidak enak dipandang mata.

Selain itu, aplikasi Smart Selangor Intelligent Transport System (SITS) boleh dimuat turun dari AppStore atau GooglePlay dan dapat membantu pengguna merancang perjalanan ke destinasi dengan lebih mudah.

Dalam domain komuniti pintar, inisiatif yang melibatkan perkongsian maklumat secara masa nyata (real-time) mencatatkan tahap kepuasan tertinggi. Antara maklumat yang sering dijejak oleh pengguna adalah lokasi berpenduduk yang berisiko wabak, penjajaran trafik, aktiviti khidmat masyarakat yang dilaksana oleh kerajaan negeri seperti jualan Rahmah, khidmat pemeriksaan kesihatan percuma , bantuan bencana, memasyarakatkan data utama negeri seperti data populasi kependudukan, bilangan pusat kesihatan, pusat pendidikan dan sebagainya.

Dari segi ekonomi, objektif utama adalah untuk meningkatkan rantaian ekonomi sedia ada dan meneroka aktiviti ekonomi baharu berteraskan digital dan inovasi. Inisiatif penggunaan e-wallet mencatatkan tahap kepuasan tertinggi dan urusan transaksi pembayaran tanpa tunai semakin menunjukkan trend meningkat dalam kalangan pengguna di Selangor.

Namun, terdapat juga inisiatif lain yang menunjukkan tahap kepuasan yang rendah, seperti pangkalan data kerajaan yang selamat. Rakyat amat mengharapkan peningkatan dalam perkhidmatan kerajaan yang responsif. Dari sudut keselamatan penduduk, majoriti berpendapat kerajaan perlu meningkatkan pemasangan kamera litar tertutup CCTV khususnya di kawasan-kawasan strategik bukan sahaja bertujuan untuk menangani isu-isu jenayah malah untuk tujuan pemantauan banjir kilat dan menyurai trafik semasa waktu puncak atau hujan lebat.

Sebagai perbandingan inisiatif yang dilaksana oleh negara-negara lain yang bergerak menuju ke arah negara pintar, negara seperti Estonia yang amat menghargai penglibatan rakyat dalam proses perancangan bandar pintar negara mereka. Rakyat diberi peluang untuk memberikan maklum balas dan terlibat secara langsung dalam membuat keputusan, yang meningkatkan rasa memiliki dan kepuasan terhadap inisiatif yang dilaksanakan. 

Di Selangor, kerajaan negeri menegaskan bahawa keperluan rakyat akan terus menjadi fokus utama dalam pelaksanaan inisiatif Smart Selangor serta serius dan komited dalam menangani isu-isu yang relevan yang dihadapi rakyat yang memerlukan perhatian dan tindakan segera oleh pihak berwajib.

Dengan pelan strategik Smart Selangor yang sentiasa dipantau ini, Selangor bertekad untuk menjadi negeri pintar yang buwkan sahaja memenuhi keperluan rakyat, malah akan juga meningkatkan kualiti hidup dan keselamatan rakyat menjelang tahun 2025 yang bakal menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di annarusli@um.edu.my

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation