LIMA, PERU – Mesyuarat Menteri- Menteri Tenaga APEC Ke-14 (EMM14) yang bermula hari ini (15 Ogos waktu tempatan) di Lima Convention Center (LCC), menghimpunkan Menteri-menteri Tenaga dari seluruh rantau Asia-Pasifik untuk membincangkan strategi bagi memacu peralihan tenaga.
Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh TYT Romulo Mucho, Menteri Tenaga dan Perlombongan Peru. Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof.
Dalam ucapan alu-aluannya, Peru selaku pengerusi telah menekankan kepentingan tenaga dalam memacu kemajuan dan keperluan tindakan kolektif untuk mengurangkan ancaman perubahan iklim yang dikaitkan dengan kesan penjanaan tenaga semasa.
“Mesyuarat turut mengambil maklum pencapaian dan status pelaksanaan inisiatif dan projek APEC Energy Research Centre (APERC) dan APEC Sustainable Energy Centre (APSEC).
Sesi petang mesyuarat memfokus kepada perbincangan berkaitan “Memacu Peralihan Tenaga Merentasi Ekonomi APEC”. Menteri-menteri Tenaga APEC telah berkongsi perspektif ekonomi masing-masing berhubung strategi dan teknologi inovatif untuk mencapai peralihan tenaga yang adil, inklusif dan lestari.” kata PETRA.
Fadilah telah berkongsi mengenai Pelan Tindakan Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR), yang menekankan pendekatan holistik Malaysia dalam menjayakan agenda peralihan tenaga. Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia komited dalam memastikan manfaat tenaga bersih mampu diakses oleh semua segmen masyarakat melalui pendekatan senegara (whole-of-nation) yang merangkumi kerjasama di antara pihak kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Beliau juga menyarankan supaya platform ini dimanfaatkan sebaiknya oleh ekonomi APEC untuk mempertingkatkan kerjasama dan kolaborasi dalam kalangan ekonomi APEC dalam menangani cabaran pembekalan tenaga dan menggalakkan pembangunan tenaga lestari.
“Melalui strategi peralihan tenaga yang lestari, adil dan inklusif dengan memanfaatkan teknologi inovatif dan menggalakkan kerjasama awam-swasta mampu mempercepatkan pembangunan tenaga bersih di rantau APEC. Mesyuarat APEC EMM pada keesokannya akan membincangkan mengenai kepentingan akses kepada tenaga serta dasar dan pelan tindakan bagi pembangunan hidrogen dalam mempromosikan pembangunan mapan.” katanya.
Fadillah turut mengadakan mesyuarat dua (2) hala dengan Menteri Kanan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) dan Kementerian Budaya, Komuniti dan Belia Singapura, Low Yen Ling; Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam, Nguyen Hoang Long; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam, Pehin Halbi dan Naib Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Nobuhiro Yoshida.
“Perbincangan dua (2) hala tersebut merangkumi pelbagai bidang di bawah sektor tenaga seperti pembangunan hidrogen bagi penjanaan tenaga, pembangunan rangkaian CCUS, pembangunan kapasiti dan keupayaan dalam bidang tenaga nuklear, potensi dan kerjasama dalam memperkukuh dan memperluaskan infrastruktur sambungtara elektrik bagi menyokong inisiatif ASEAN Power Grid.
Pertemuan tersebut turut membincangkan mengenai peluang kerjasama dalam pembangunan persijilan halal oleh Vietnam, pembangunan kapasiti dan pelaburan SME oleh Singapura dan penganjuran Mesyuarat Peringkat Menteri ke-3 Asia Zero Emission Community (AZEC) oleh Malaysia pada tahun 2025. Selain itu, YAB Timbalan Perdana Menteri turut mengalu-alukan kehadiran Menteri-menteri tersebut ke Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN dan merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan yang diberikan bagi kepengerusian ASEAN – Malaysia pada tahun 2025.” kata PETRA.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment