Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang: Pesta Rakyat Penuh Inovasi dan Semangat Komuniti di Miri

Spread the love

oleh: Cik Saedah Manaf

Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang telah melabuhkan tirainya dengan meriah pada hari Ahad lepas selepas tiga hari berlangsung di Pekarangan Boulevard Miri. Program ini bukan sahaja telah berjaya menarik lebih 300,000 pengunjung dari seluruh Sarawak, malah memberi kenangan indah dan manis semua pengunung apabila mereke dihidangkan dengan gabungan elemen kesejahteraan rakyat, inovasi teknologi, dan semangat komuniti sepanjang program berlangsung.

Dari awal lagi, suasana di sekitar lokasi acara mencerminkan keterujaan yang dirasai oleh setiap pengunjung. Berjalan di sekitar karnival, para tetamu disambut dengan deretan food trucks, kedai Jualan Rahmah, dan Sarawak Kitchen yang menawarkan pelbagai hidangan tempatan. Tidak ketinggalan, coffee corner yang menjadi tumpuan pengunjung yang ingin menikmati kopi lazat sambil menikmati suasana yang meriah.

Program ini juga telah membawa lebih daripada 200 perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan terus kepada rakyat, memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat menjadi fokus utama. Pameran tenaga dan air, pertanian, keterjaminan makanan, serta perkhidmatan berkaitan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kecerdasan Buatan (AI) merupakan antara tarikan utama yang berjaya menarik perhatian pengunjung.

Acara kemuncak program adalah ketika orang ramai menyambut kehadiran YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan program tersebut. YAB PMX turut menyempurnakan penyampaian sumbangan melalui program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan dalam lima sektor tumpuan iaitu pertanian, jahitan, kraf tangan, pelancongan, dan aktiviti hijau. Dengan peruntukan RM1 bilion yang disediakan oleh Kerajaan Perpaduan Madani, inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkasa golongan yang layak di seluruh negara, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Salah satu inisiatif yang menarik perhatian ramai pengunjung ke program ini adalah pelancaran nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri PETRA, yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mencapai sifar karbon menjelang tahun 2050. Nombor pendaftaran khas ini dibuka untuk bidaan secara dalam talian melalui sistem JPJeBid, yang akan berakhir pada 2 Oktober 2024. Langkah ini bukan sahaja menyokong Agenda Peralihan Tenaga, malah mencerminkan komitmen Kerajan Perpaduan Madani dalam memastikan Malaysia menuju ke arah masa depan yang lebih sejahtera dan efisien tenaga.

Selain itu, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut disampaikan kepada penerima dari kawasan pedalaman di Sarawak. Sebanyak 28,944 penerima di lebih 30 lokasi, termasuk Tebedu, Simunjan, dan Long Lama, menerima bantuan ini sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan beban hidup rakyat. Penerima STR yang hadir menunjukkan betapa pentingnya program ini dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik di kawasan luar bandar.

Jumlah jualan sepanjang acara juga turut mengagumkan, dengan RM500,000 dicatatkan hanya dalam dua hari pertama. Jualan Agro dan Usahawan MADANI, Jualan Rahmah, dan pelbagai gerai lain menarik ramai pengunjung yang teruja untuk membeli produk tempatan. Ini sekali gus membuktikan betapa pentingnya sokongan terhadap usahawan tempatan dalam mengukuhkan ekonomi domestik.

Tidak hanya berfokuskan pada perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan, program ini juga menyajikan hiburan dan aktiviti yang meriah, menjadikannya lebih daripada sekadar acara rasmi. Persembahan kebudayaan dan pertandingan interaktif berjaya menceriakan suasana dan menggalakkan penglibatan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat. Pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai pameran menarik, mencuba permainan tradisional, serta menyaksikan teknologi moden yang dipamerkan di booth inovasi.

Secara keseluruhan, Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang berjaya menggabungkan hiburan, aktiviti ekonomi dan penyampaian maklumat penting dalam satu acara besar. Penganjuran program ini di Sarawak tidak hanya memberikan peluang kepada rakyat untuk berhubung secara langsung dengan inisiatif kerajaan, tetapi juga memberikan gambaran jelas tentang masa depan yang lebih mampan dan bersatu padu. Dengan sokongan besar yang diterima, program ini dijangka akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation