UNITEN, MYSA JALIN MoU PACU INOVASI BERASASKAN TEKNOLOGI SATELIT

Spread the love
Meneroka Ruang Baharu dalam Penyelidikan dan Perkongsian Data Satelit
 

Dari kiri: Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal dan Operasi) MYSA, Nik Mazlina Nik Mustapha; Ketua
Pengarah MYSA, Gs. Haji Azlikamil Napiah; Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNITEN, Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Zamri Yusoff.

UNITEN, 30 Oktober 2024 – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menjalinkan kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa inovasi berasaskan teknologi satelit.  

MoU itu dimetrai oleh Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Ketua Pengarah MYSA, Gs. Haji Azlikamil Napiah di UNITEN, kampus Putrajaya. Kolaborasi ini merupakan kesinambungan daripada kerjasama strategik yang telah dimulakan sejak tahun 2017. Fokus kerjasama ini, kini diperluas kepada perkongsian data satelit, penyelidikan kolaboratif, dan pembangunan kapasiti dalam sektor tenaga dan infrastruktur. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif strategi pintar antara universiti dan agensi kerajaan dalam membangunkan penyelidikan sains dan teknologi angkasa.

Dari kiri: Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal dan Operasi) MYSA, Nik Mazlina Nik Mustapha;  Ketua Pengarah MYSA, Gs. Haji Azlikamil Napiah; Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNITEN, Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Zamri Yusoff.

Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, Institut Infrastruktur Tenaga (IEI) yang merupakan salah sebuah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (HICoE) di UNITEN sedang giat menjalankan projekprojek penyelidikan dan perundingan yang menggunakan data satelit dan sistem maklumat geografi (GIS) dalam kajian infrastruktur tenaga, yang membolehkan pemantauan jarak jauh bagi perubahan alam sekitar dan pemetaan risiko bencana.

“Pendekatan ini sangat bermanfaat dalam perancangan dan pembangunan projek infrastruktur  tenaga  dan kerjasama dengan MYSA ini akan meningkatkan  lagi keupayaan bakat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MYSA berkata, skop kerjasama ini dapat membuka lebih banyak peluang penerokaan bidang baharu dalam sektor angkasa di samping memperkasa jaringan perkongsian maklumat bidang sains dan teknologi angkasa dan meningkatkan kompetensi pegawai kedua-dua pihak melalui program latihan serta pemindahan teknologi.

“Jalinan kerjasama strategik ini seiring dengan komitmen MYSA dalam menerajui pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) serta selaras dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang diterajui oleh MOSTI,” katanya.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh skop kerjasama dalam sektor angkasa meliputi penyelidikan, pembangunan dan pengoperasian sistem stesen bumi, kerjasama penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi angkasa untuk keselamatan tenaga, perkongsian penggunaan kemudahan projek penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi angkasa, perkongsian bahan, informasi dan penerbitan dalam bidang sains dan teknologi angkasa, pelaksanaan program latihan, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan dalam teknologi berkaitan dan pelaksanaan program promosi bagi teknologi angkasa dan teknologi yang berkaitan.

Teknologi Satelit Sokong Penyelidikan Tenaga dan Ramalan Bencana

Dari kiri: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNITEN, Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Zamri Yusoff; Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Ketua Pengarah MYSA, Gs. Haji Azlikamil Napiah dan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal dan Operasi) MYSA.
 
 

Kerjasama antara UNITEN dan MYSA ini dijangka akan memberi impak positif kepada pembangunan sains angkasa dan tenaga negara, sejajar dengan usaha Malaysia untuk menjadi peneraju dalam bidang teknologi hijau dan inovasi berasaskan sains.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNITEN, Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Zamri Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal dan Operasi) MYSA, Nik Mazlina Nik Mustapha, serta pegawai kanan dan ahli projek kedua-dua agensi. 

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation