Kewujudan seksisme pelbagai bentuk, halang potensi wanita

Spread the love

Oleh Nur Afifah Abdul Rahman Halawa, Norliza Amin

Stereotaip seksisme merujuk kepada kepercayaan orang ramai berkaitan dengan klasifikasi lelaki atau wanita. Sementara ungkapan seksis merujuk kepada mana-mana bahasa yang jelas menunjukkan berat sebelah terutamanya apabila melibatkan golongan wanita. Situasi ini terlihat nyata wujud dalam kehidupan masyarakat kita kerana terdapat sebahagian besar penggunaan bahasa dan konotasi negatif terhadap golongan wanita. Tidak dapat dinafikan, bahasa dalam komunikasi lisan mempunyai faktor seksisme dan diskriminasi terhadap gander. Masyarakat kini dilihat sangat menyedari akan kewujudan bahasa seksis namun kebanyakan daripada mereka memilih untuk menerima perkara ini sebagai sebahagian daripada nilai budaya dan norma kehidupan masyarakat.

Ucapan seksis boleh berlaku tanpa disedari

Tanpa kita sedari, ucapan seksis ini sering kali disampaikan secara sindiran mahupun jenaka. Kebanyakan daripada golongan wanita sering kali menerima ucapan jenis ini dalam situasi seperti penglibatan profesional, kepimpinan, tanggapan tradisional dalam rumah tangga dan aktiviti fizikal. Melalui penglibatan profesional dan kepimpinan, wanita mengalami kesulitan apabila terdapat sebahagian masyarakat beranggapan mereka sebagai golongan yang kurang mampu dalam memacu sebuah organisasi dan sering kali menidakkan pendapat yang diberikan oleh golongan wanita. Walaupun dunia kini dilihat telah meraikan golongan wanita dalam urusan profesionalisme, namun begitu masih ada segelintir tempat yang masih memperlekehkan sumbangan dan keupayaan golongan wanita.

Begitu juga dalam rumah tangga, kebanyakan wanita masih ditindas dengan perlabelan ‘setinggi mana tahap pendidikan wanita, tempat mereka cuma di dapur’ dan masih ada wanita tidak dapat menyuarakan pendapat mereka dalam institusi kekeluargaan. Realitinya, setiap pengetahuan dan tahap pendidikan yang dimiliki oleh wanita tidak akan sesekali mendominasi peranan golongan lelaki sekiranya individu sedar serta saling menghormati kelebihan dan keterbatasan masing-masing. Beberapa andaian oleh masyarakat yang disifatkan sebagai ucapan seksis telah merendahkan pilihan wanita dan menidakkan kebolehan hanya kerana mereka disifatkan sebagai golongan beremosi dan lemah. Pengurusan emosi tidak boleh hanya dipalitkan kepada golongan wanita sedangkan emosi merupakan sebahagian pengurusan diri yang perlu dikendalikan oleh individu boleh sama ada lelaki atau wanita.  

Ucapan seksis boleh menjejaskan pembangunan wanita

Tidak dapat dinafikan melalui pengabaian yang dialami oleh golongan wanita, ucapan seksis semestinya memberi kesan terhadap keyakinan, peningkatan dalam kehidupan peribadi ataupun karier serta kesejahteraan mereka secara keseluruhan. Ini merupakan beberapa bidang yang sangat penting dalam kehidupan wanita di mana pengaruhnya sangat ketara terhadap mereka.

Tanggapan sebegini terhadap golongan wanita boleh menjadi panghalang kepada mereka daripada mengambil peluang yang berisiko tinggi. Tambahan itu, batasan yang tercipta ini memerlukan golongan wanita bekerja lebih keras bagi membuktikan kemampuan dan nilai diri mereka sendiri. Sekiranya masih terdapat golongan wanita yang berada dalam kelompok di mana pengaruh seksime sangat kuat, mereka mungkin diabaikan daripada menerima penilaian yang positif dan membangun seperti kriteria untuk mengendalikan sesuatu peluang kerja yang berimpak tinggi dan juga peluang untuk memimpin dalam sesebuah organisasi.

Pengaruh seksime yang secara berterusan dalam kehidupan golongan wanita juga turut menyumbang kepada pelbagai masalah berkaitan dengan psikologi seperti tekanan, kebimbangan, kesulitan mental, atau kemurungan. Golongan wanita yang sering menjadi mangsa seksisme ini mungkin sering kali merasakan diri mereka terhina, terasing, tiada sokongan dan tidak dihargai sama ada di tempat kerja mahupun dalam persekitaran kehidupan sosial. Perkara ini menjadikan mereka lebih cenderung terhadap perasaan negatif terhadap diri mereka sendiri.

Budaya menghormati tanpa diskriminasi dan prejudis

Setiap kehidupan perlu diberi penghormatan dan dihargai untuk kemampuan mereka berbanding dengan hanya melihat dari aspek stereotaip. Hal ini membolehkan setiap individu terutamanya golongan wanita akan berasa lebih terdorong untuk merealisasikan cita-cita dan impian mereka. Penglibatan setiap individu secara positif dapat merangsang pertumbuhan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, teknologi, sains dan politik sekali gus membolehkan setiap keperluan untuk membangunkan masyarakat dan negara dapat dipenuhi.

Penolakan diskriminasi juga dapat mengubah persepsi dan konflik dalam urusan perhubungan dan peranan institusi kekeluargaan. Pendekatan yang tidak berat sebelah bukanlah bermaksud bahawa golongan lelaki perlu tunduk dan membenarkan golongan wanita bertindak sewenangnya, namun pendekatan ini menjadikan hubungan dalam rumah tangga lebih dinamik dan seimbang. Pilihan dan tugasan dalam rumah tangga boleh menjadi lebih fleksibal sekiranya lelaki dan wanita tahu akan peranan dalam melakukan kerja-kerja rumah, menguruskan dan melayani setiap ahli keluarga. Keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan melalui perbincangan dan rasa saling mengasihi antara satu sama lain.

Seksisme ternyata wujud dalam pelbagai sifat terutamanya dalam bentuk ucapan. Menghormati dan mengakui kebolehan individu tanpa perlu bersikap prejudis berdasarkan jantina merupakan perkara yang sangat penting dan perlu ditanam dalam fikiran masyarakat supaya kita semua dapat menghentikan penerusan ideologi negatif ini. Masyarakat yang dibina atas dasar hormat, bebas diskriminasi akan menjadikan setiap individu dapat memanfaatkan segala kelebihan yang ada pada diri mereka serta mewujudkan sebuah kehidupan yang makmur dan aman untuk semua.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation