oleh: Juliana Anis Ramli
Senyuman adalah ekspresi muka yang terbentuk dengan melengkungkan sudut mulut ke atas, seringkali dianggap mencerminkan kebahagiaan, keramahan, keseronokan, atau positif. Ia adalah satu bentuk komunikasi bukan lisan yang universal, diiktiraf merentas budaya sebagai tanda muhibah atau emosi.
Senyum juga boleh dikategorikan kepada beberapa kategori yang menggambarkan perasaan iaitu gambaran kegembiraan dan kebahagiaan sebenar. Ia selalunya dikenali sebagai senyuman Duchenne, yang melibatkan bukan sahaja mulut tetapi juga mata, dengan kulit di sekitarnya berkedut. Senyuman juga adalah lambang kesopanan atau keramahan, yang digunakan sebagai isyarat sosial untuk membuat orang lain berasa selesa dengan sikap keramahan melalui senyuman. Walaubagaimanapun, senyuman juga ada dikaitkan dengan rasa kegugupan atau rasa malu, di mana kadangkala seseorang tersenyum dalam situasi yang janggal atau tertekan. Manakala senyuman dalam bentuk sarkasme atau ironi adalah bersifat ‘pedas’, sindiran dan menyakitkan hati seseorang dalam sesebuah komunikasi.
Namun, bukan semua orang mudah untuk mengukir senyuman. Senyuman yang terukir pastinya datang dari hati yang tulus. Sekiranya seseorang dilanda masalah, pastinya mereka tidak mampu untuk tersenyum. Pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang itu sukar untuk senyum, antaranya adalah disebabkan faktor psikologi seperti tekanan perasaan, rasa takut, berperasaan negatif, manakala kesihatan fizikal termasuk kurang sihat, mengalami penyakit kronik, dan faktor perhubungan sosial seperti masalah perkahwinan dan hubungan kekeluargaan atau konflik di tempat kerja.
Peranan senyum dalam kesihatan mental dan hubungan baik
Senyum adalah sangat berkait rapat dengan kesihatan mental, emosi dan fizikal seseorang. Sekiranya dilanda masalah, pastinya sukar untuk mengukir senyuman meskipun hanya terpaksa. Namun, kita digalakkan untuk senyum bak kata mutiara mengatakan bahawa ‘senyum itu sedekah’, walaupun tidak semua orang memahami dengan konsep senyum tersebut. Senyum memainkan peranan penting dalam kehidupan tanpa kita sedari. Mengapa senyum itu dianggap sebagai satu sedekah, sedangkan ianya hanya suatu perbuatan bersahaja?
Senyum adalah suatu refleksi diri yang memberi manfaat bukan sahaja terhadap dirinya sendiri, malahan pada orang lain yang melihat senyuman itu, di mana ia menggambarkan perasaan yang ikhlas, tenang dan mendamaikan oleh si pemberi senyuman. Mereka yang mampu tersenyum adalah seseorang yang mempunyai kekuatan dalaman untuk berasa tenang dan berdamai dengan masa silam, perasaan dan fikiran negatif. Menurut kajian, dengan senyuman ia dapat membantu meredakan tahap stress dengan mengurangkan pengeluaran hormon kortisol dan pemacuan hormon adrenalin, dan merembeskan hormon-hormon gembira seperti hormon serotonin, dopamin dan endorfin yang membantu meningkatkan mood dan dapat mengawal emosi dan perasaan seseorang.
Senyuman juga mempunyai pengaruh emosi yang sangat kuat dan berkesan terhadap orang lain, sebagai lambang penerimaan, keramahan, kesefahaman dan kasih sayang dalam apa jua perhubungan, tidak kira jantina mahupun usia. Ini kerana, senyuman mampu meningkatkan dan memperbaiki hubungan baik, meredakan perasaan negatif dan membina komunikasi yang positif antara satu sama lain. Dalam masa yang sama, ia dapat membantu meningkatkan mood yang baik dan dapat memperbaiki kesihatan emosi, mental dan fizikal jauh lebih baik daripada sebelum ini.
Tidak dinafikan bahawa kesibukan dalam tugasan, tanggungjawab dalam urusan harian, berfikiran secara berlebihan (overthinking) dan konflik dalam perhubungan menggugat tindakan seseorang untuk melemparkan senyuman. Ini kerana, dalam situasi ini fikiran dan emosi seseorang adalah dalam keadaan kurang stabil, tergesa-gesa dan dipengaruhi oleh elemen negatif dalam diri. Sikap suka menyalahkan orang lain dan gambaran negatif terhadap seseorang akan memburukkan lagi keadaan dan perhubungan, sehingga akan memberi kesan tidak baik terhadap kesihatan dan kualiti hidup. Harus dingatkan bahawa setiap perkara yang kita fikirkan dan lakukan secara positif, maka yang hadir dan terjadi dalam hidup kita juga akan menjadi lebih baik dan positif, bak kata pepatah Melayu “Terpijak di tanah kapur, putih tapak; terpijak di tanah arang, hitam tapak”.
Langkah untuk meredakan perasaan dan melemparkan senyuman
Antara langkah-langkah yang dapat membantu untuk meredakan perasaan dan emosi ke arah positif melalui senyuman adalah seseorang harus mengenali diri melalui analisis SWOT kendiri. ‘SWOT’ yang berasal daripada konsep ‘S’ – Strength (bermaksud kekuatan), ‘W’ – Weaknesses (kelemahan), ‘O’ -Opportunity (peluang) dan ‘T’- Threats (identifikasi ancaman). Kenali diri melalui analisa SWOT dapat membantu seseorang untuk menilai diri sendiri dari sudut dalaman diri (kekuatan dan kelemahan) dan luaran diri (peluang dan ancaman) untuk memperbaiki diri sendiri ke arah yang lebih baik. Dengan penilaian diri melalui identifikasi terhadap kelebihan diri, kita dapat menghargai diri sendiri dan menganggap diri keunikan daripada orang lain. Manakala, kelemahan diri bukan lah untuk kita berasa rendah diri, tetapi adalah untuk kita menggunakan kelebihan yang kita miliki untuk memperbaiki kelemahan diri. Dengan cara ini, kita akan rasa lebih tenang dan mensyukuri nikmat Tuhan terhadap diri kita.
Tidak kurang juga dengan kelebihan yang kita ada, menggunakan peluang yang ada untuk mengembangkan potensi diri untuk menjadi lebih berjaya dan mahir dalam sesuatu bidang yang kita ceburi adalah suatu tindakan yang bijak. Sesungguhnya dengan peluang yang kita ada ini, sedikit sebanyak dapat meningkatkan kelebihan diri sendiri, yang bukan sahaja dapat memberi manfaat pada diri sendiri malahan pada orang lain juga. Maka, tidak seharusnya dengan peluang dan kelebihan yang kita miliki ini dapat menggugat anggapan terhadap potensi ancaman terhadap diri kita. Seharusnya kita menggunakan kebijaksanaan untuk menukar ancaman kepada peluang yang lebih baik untuk diri kita di masa hadapan.
Dengan ini, kita akan mampu tersenyum dan terus senyum, dalam mencapai kualiti hidup yang lebih baik dan berkesan dalam kehidupan. Memberi adalah lebih baik daripada menerima, beri positif, dapat positif. Kaedah ke arah membina kesihatan mental yang positif adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Madani dalam membina kesejahteraan serta mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 3 iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan, UNITEN Business School Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment