Debat melahirkan mahasiswa kritis

Spread the love

Dalam iklim dunia yang penuh dengan cabaran pemikiran dan ideologi, generasi muda harus dididik dari awal dengan kemampuan berfikir secara kritis, kreatif, dan berani menyuarakan pendapat. Nelson Mandela pernah berkata, “Pendidikan adalah senjata paling ampuh yang digunakan untuk mengubah dunia.” Namun pendidikan ini bukan sahaja pembentangan dalam bilik darjah, tetapi juga dalam pelbagai platform seperti pertandingan debat, yang berfungsi sebagai medan intelektual untuk melahirkan belia yang berdaya saing. Mahatma Gandhi pernah menekankan kepentingan dialog yang mendalam. “Kebenaran boleh ditemui melalui perbahasan yang bebas dan jujur.” Sementara itu, Malala Yousafzai, seorang ikon belia global, menunjukkan bahawa suara muda bukan sahaja perlu didengari tetapi juga dihormati dalam membuat keputusan yang membentuk masa depan dunia. Dalam konteks ini, debat bukan sekadar latihan pengucapan awam, tetapi ia adalah wahana untuk menanamkan nilai-nilai toleransi, analisis kritis, dan tanggungjawab sosial dalam jiwa belia.

Debat Terbuka ASTAR (DTA) merupakan antara medan debat tertua dalam sejarah perdebatan di Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa di peringkat kebangsaan. Meskipun sudah mencecah edisi ke-26 sejak 1997, debat ini masih utuh dan unggul. Debat ini merupakan sebuah projek tahunan anjuran Jawatankuasa Kerja Pembangunan Akademik dan Intelektual (ADIN) Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya. Pada tahun ini, DTA berjalan selama 3 hari bermula 28 November sehingga 31 November 2024. Pada kali ini, DTA diadakan secara bersemuka semula setelah dijalankan secara dalam talian semenjar peristiwa Covid-19 yang melanda dunia. Sebanyak 28 buah kumpulan merangkumi institusi dari Universiti Awam, Universiti Swasta, Politeknik, dan Kolej Poly Tech Mara. Penyertaan tidak hanya terhad kepada pelajar ijazah sarjana muda sahaja bahkan memberi peluang kepada pelajar-pelajar Asasi dan Diploma untuk menyertainya. Hal ini membuka lembaran baru bagi DTA untuk meraikan persekitaran inklusiviti dalam kalangan pendebat dimana pelajar diploma juga boleh berdebat dengan pelajar Ijazah Sarjana Muda.

Hala tuju medan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyediakan platform yang membuka ruang intelektual kepada para peserta di seluruh Malaysia dengan memperkukuhkan kemahiran berfikir secara kritis mengenai isu-isu semasa dari pelbagai perspektif dan menyumbang kepada penyebaran budaya perbahasan dan perbincangan ilmiah dalam kalangan mahasiswa/i. DTA juga menjadi tempat untuk membina rangkaian sesama pendebat-pendebat di seluruh Malaysia. Adat pertandingan, ketika di gelanggang masing-masing mempertaruh dan mempertahankan idea yang dibawa, tetapi apabila diluar gelanggang mereka saling bertukar buah fikiran untuk memajukan diri ke arah yang lebih berdaya saing. Bahkan, hakim-hakim yang mengadili pertandingan ini juga berasal dari latar belakang seorang pendebat yang rata-ratanya merupakan bekas peserta DTA. Jadinya, para pendebat bukan sahaja berkongsi ilmu dengan rakan-rakan pendebat tetapi turut mendapat khidmat nasihat secara langsung daripada hakim-hakim yang berpengalaman dalam arena debat Malaysia.

Pemilihan usul Debat Terbuka Astar bukan sahaja menyentuh isu-isu berkaitan domestik  semata-mata bahkan turut membahas isu-isu yang berlaku di pentas antarabangsa . Usul debat bagi peringkat akhir ialah President of the United States (POTUS): Dalil Pengakhiran Keamanan Sarwajagat. Pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku pihak kerajaan manakala Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bertindak sebagai pembangkang. Pertandingan Akhir Debat Terbuka Astar Edisi ke-26 menyaksikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dinobatkan sebagai Johan setelah menewaskan Universiti Malaysia Kelantan. Pemenang berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.00, piala pusingan, sijil penyertaan dan pencapaian serta salah seorang pasukan UIAM iaitu saudari Nur’Aliyah Atiqah Binti Mohd Hafiz telah merangkul anugerah Pendebat Terbaik Peringkat Akhir.

Yang Berhormat Timbalan Menteri Pertahanan Tuan Haji Adly Zahari telah hadir sebagai Perasmi bagi Majlis Penutup Debat Terbuka Astar Edisi Ke-26. YB menyampaikan ucapannya dengan berkongsikan pengalaman beliau sebagai seorang pendebat sewaktu di institusi pengajian. Harapan beliau buat pendebat-pendebat muda agar meneruskan budaya debat ini demi menyumbang kepada kemapanan dan produktiviti negara melalui curahan idea-idea yang bermutu tinggi dikala berdepan arus globalisasi yang pesat. Ucapan beliau bukan sahaja membuka mata semua hadirin bahkan menyuntik bara semangat dalam kalangan pendebat-pendebat seluruh Malaysia.


MOHAMAD ZULHADZREY BIN MOHAMAD FAHIMI

Mohamad Zulhadzrey bin Mohamad Fahimi dari Kolej Kediaman Pertama (ASTAR), Universiti Malaya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation