Oleh: Dr. Siti Aisyah Samudin
Islam adalah agama yang menekankan prinsip ihsan, iaitu berbuat baik dengan cara yang terbaik kepada semua makhluk ciptaan Allah, termasuk haiwan. Ajaran Islam mengajar umatnya untuk menunjukkan kasih sayang kepada haiwan dan menjaga kebajikan mereka. Konsep ihsan bukan hanya tertumpu kepada hubungan antara sesama manusia, tetapi juga merangkumi interaksi manusia dengan haiwan. Dalam pandangan Islam, kasih sayang terhadap haiwan tidak sebatas suatu tanggungjawab moral dan rohani yang mendatangkan ganjaran, malah boleh menjadi asbab bagi seseorang itu mendapat rahmat Allah dan mendapat tempat di syurga. Sebaliknya, sebarang kezaliman dan penganiayaan terhadap haiwan boleh mendatangkan akibat yang buruk, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
Ihsan terhadap haiwan dalam perspektif Islam
Dalam ajaran Islam, setiap makhluk hidup, termasuk haiwan, adalah ciptaan Allah yang memiliki hak untuk diperlakukan dengan penuh kasih sayang dan ihsan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan dalam segala hal. Oleh itu, jika kamu membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang baik. Jika kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik. Tajamkan pisau dan beri makan kepada haiwan itu sebelum disembelih.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa Islam mengajarkan umatnya untuk berlaku adil dan berperikemanusiaan terhadap haiwan, bahkan dalam situasi melibatkan penyembelihan. Penyembelihan harus dilakukan dengan cara yang paling berperikemanusiaan, dan haiwan harus disembelih tanpa sebarang penderitaan yang tidak perlu.
Selain itu, dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana seekor kucing yang dipenjarakan olehnya. Kucing itu tidak diberi makan atau minuman ketika ia berada dalam penjara, dan ia tidak dibiarkan makan dari serangga-serangga bumi.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Hadis ini mengingatkan umat Islam tentang kesan buruk daripada tindakan kejam terhadap haiwan. Islam mengajarkan bahawa haiwan adalah makhluk yang juga mempunyai hak untuk hidup dengan selesa dan mendapat perhatian sewajarnya. Mengabaikan atau menyeksa haiwan tidak hanya dilarang, tetapi juga boleh mengundang dosa besar.
Haiwan sebagai heterotrof
Selain dimensi moral dan agama, adalah penting untuk memahami bahawa haiwan, sebagai makhluk hidup, mempunyai sifat-sifat biologi yang unik. Salah satu ciri utama haiwan adalah mereka adalah heterotrof, yang bermaksud mereka tidak boleh menghasilkan makanan mereka sendiri melalui fotosintesis seperti tumbuhan. Sebaliknya, haiwan bergantung kepada sumber makanan lain untuk kelangsungan hidup mereka. Makanan haiwan biasanya datang dalam bentuk tumbuh-tumbuhan (herbivor), haiwan lain (karnivor), atau kedua-duanya (omnivor).
Ciri ini menonjolkan kebergantungan haiwan terhadap alam sekeliling mereka untuk mendapatkan nutrisi yang diperlukan untuk pertumbuhan, tenaga, dan pembiakan. Justeru, sifat unik haiwan ini memerlukan kepada manusia yang memiliki akal untuk sama-sama memelihara dan bersifat ihsan kepada mereka dalam usaha menyeimbangkan ekosistem dan kehidupan manusia. Hal ini terutamanya, lebih diperlukan dalam dunia yang semakin terancam oleh kesan-kesan negatif aktiviti manusia seperti perburuan haram, perubahan iklim, dan kehilangan habitat. Tambah memburukkan keadaan, wujud segelintir individu yang dengan sengaja bersifat zalim dan menganiaya haiwan yang seharusnya dilindungi ini.
Undang-undang Malaysia berkaitan perlindungan haiwan
Dalam konteks Malaysia, undang-undang yang melindungi haiwan daripada kekejaman dan pengabaian adalah satu elemen penting untuk memastikan mereka diperlakukan dengan baik. Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) adalah undang-undang utama yang mengawal selia perlindungan haiwan di negara ini. Akta ini bertujuan untuk memastikan kebajikan haiwan dilindungi dan sebarang kekejaman terhadap haiwan dikenakan hukuman yang setimpal.
Seksyen 29 Akta 772 sebagai contoh menyenaraikan kesalahan-kesalahan berbentuk penganiayaan ke atas haiwan yang jika disabitkan, individu yang melakukan kekejaman terhadap haiwan, seperti penyeksaan atau pengabaian, boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Kekejaman terhadap haiwan termasuklah tindakan menyeksa, membiarkan haiwan dalam keadaan yang menyakitkan atau tidak memberi mereka keperluan asas seperti makanan dan air yang mencukupi. Akta ini memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar hak haiwan.
Selain itu, seksyen 24 akta yang sama menggariskan tanggungjawab pemilik haiwan untuk memastikan kebajikan haiwan peliharaan mereka terjaga. Ini termasuk memberikan makanan yang mencukupi, tempat tinggal yang sesuai, dan penjagaan yang diperlukan untuk kesihatan haiwan. Sekiranya pemilik gagal melaksanakan tanggungjawab ini, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang yang serius.
Kesimpulan
Islam mengajarkan umatnya untuk berbuat ihsan terhadap haiwan dan menunjukkan kasih sayang kepada mereka. Kasih sayang terhadap haiwan bukan hanya soal moral, tetapi juga merupakan kewajipan agama yang dapat membawa ganjaran pahala dan mendekatkan seseorang kepada rahmat Allah. Islam mengingatkan umatnya agar tidak menyakiti atau mengabaikan haiwan, kerana mereka juga makhluk ciptaan Allah yang mempunyai hak untuk hidup dengan sejahtera.
Di Malaysia, undang-undang yang berkaitan dengan kebajikan haiwan, memberikan perlindungan terhadap haiwan dan memastikan mereka diperlakukan dengan baik. Malah, dalam hal melibatkan prosedur juga, perlu dipastikan bahawa penyembelihan dilakukan mengikut prosedur yang berperikemanusiaan. Haiwan perlu disembelih dengan cara yang mengelakkan penderitaan yang berlebihan dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Penyembelihan yang tidak mengikuti peraturan yang betul adalah suatu bentuk kekejaman terhadap haiwan dan dilarang oleh undang-undang Malaysia.
Sebagai makhluk hidup yang bersifat heterotrof, haiwan bergantung kepada manusia untuk memastikan mereka mendapat hak mereka untuk hidup dan mendapatkan makanan yang mencukupi. Sebagai umat Islam dan warga negara yang bertanggungjawab, seharusnya kita mematuhi ajaran agama, moral dan undang-undang negara ini dalam usaha memelihara kebajikan haiwan, sekaligus mengecam sekerasnya penganiayaan ke atas haiwan kerana tindakan kita tidak hanya memberi kesan pada dunia, tetapi juga di akhirat.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment