PUTRAJAYA 18 Januari 2025 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan 3 serbuan berasingan di bawah pelaksanaan inisiatif KITA GEMPUR melibatkan aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi pada 15 dan 16 Januari 2025.
Menurut KPDN, serbuan pertama telah dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya pada 15 Januari 2025 yang bermula kira-kira jam 2.00 petang di sebuah premis tanpa nama di Jalan Kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan berkaitan aktiviti decanting iaitu memindahkan gas daripada tong berkapasiti 14kg bersubsidi kepada tong berkapasiti 50kg untuk kegunaan industri bukan bersubsidi.
“Hasil pemeriksaan lanjut, premis itu juga tidak mempunyai lesen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan.
Modus operandi sindiket adalah dengan mendapatkan bekalan LPG bersubsidi berkapasiti 14kg daripada pemborong berlesen di sekitar daerah Sepang, Selangor sebelum dikumpulkan di stor terbabit untuk melakukan aktiviti haram itu sebelum diedarkan ke pasaran dan dijual mengikut harga semasa LPG industri tidak bersubsidi.” kata KPDN.
Sementara itu, serbuan kedua telah dilakukan di sebuah premis tanpa nama di Taman Permata, Mantin, Negeri Sembilan pada 15 Januari 2025 yang bermula kirakira jam 11.30 malam oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil pemeriksaan mendapati, premis menyimpan barang kawalan LPG 14kg pelbagai jenama dan minyak masak paket 1kg jenama Rasa Riang tanpa dokumen yang sah di bawah Akta 122.” ujar KPDN.
Serbuan ketiga pula telah dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Selangor di sebuah premis perindustrian di Taman Perindustrian Balakong Jaya 2 Tambahan, Seri Kembangan, Selangor pada 16 Januari 2025.
“Hasil serbuan itu, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 15,000 liter minyak diesel di premis terbabit yang tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah di bawah Akta 122. ” kata KPDN.
Mengulas lanjut, KPDN berkata hasil serbuan di ketiga-tiga lokasi tersebut, sejumlah 559 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, 17 kotak minyak masak paket 1kg, 15,000 liter minyak diesel, 3 buah lori serta beberapa dokumen perniagaan dan peralatan lain dipercayai digunakan untuk aktiviti penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi telah disita bagi siasatan lanjut di bawah Akta 122. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM351,367.70.
Katanya lagi, 8 individu lelaki telah ditahan, 3 daripadanya bukan warganegara manakala 5 orang lagi individu adalah warganegara berumur 20 hingga 50 tahun, dipercayai pemandu lori dan pekerja di premis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Sebanyak 3 kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas semua kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu dan syarikat lain yang terlibat selain menyiasat pembekal dan pemborong berlesen yang bertanggungjawab membekalkan barang kawalan berkaitan kepada sindiket.
KPDN ingin memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Manamana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).” tegas KPDN.
Selain itu, pihak berkaitan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram.
Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.
“KPDN telah melaksanakan OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan dan bersubsidi. Berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 1 Januari 2024 hingga 14 Januari 2025, sebanyak 45,522 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 2,860 kes telah dihasilkan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM94.22 juta. Seramai 626 individu juga telah ditahan dalam tempoh yang sama.
Bagi statistik berkaitan barang kawalan LPG sepanjang tempoh yang sama, sebanyak 217 kes telah dihasilkan di seluruh negara dengan nilai rampasan berjumlah RM833,737.90.
Hasil tindakan bagi ketiga-tiga kes itu membuktikan keseriusan KPDN dalam usaha untuk membanteras isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi menerusi inisiatif KITA GEMPUR yang telah digerakkan di seluruh negara. ” ujar KPDN.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment