PUTRAJAYA, 20 Januari 2025 – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) tahun 2025, ketimbang RM2.6 juta pada 2023 dan RM5.8 juta pada tahun 2024, menjadikannya peruntukan tertinggi dalam sejarah.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), PHEKS, yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) di bawah kementerian tersebut, merupakan inisiatif untuk menyokong kesatuan sekerja melalui program Latihan dan Program Pendidikan, Kajian Pergerakan Kesatuan Sekerja, Penulisan Ilmiah dan Pembelian Peralatan Teknologi Maklumat.
“Pada tahun ini juga, diperkenalkan satu kluster baharu iaitu Pendigitalan Rekod Pengurusan Kesatuan Sekerja.
Objektif utama pelaksanaan PHEKS Tahun 2025 ini adalah untuk menyokong dan memperkasa pergerakan kesatuan sekerja melalui peningkatan latihan kemahiran serta pengadaptasian penggunaan teknologi.” kata KESUMA melalui satu kenyataan hari ini.
Keputusan itu juga merupakan kesinambungan iltizam KESUMA untuk sentiasa berdiri teguh bersama pekerja, memastikan suara mereka didengar dan hak mereka dipertahankan.
“Melalui lawatan kerja sepanjang tahun 2024, YB Menteri Sumber Manusia telah berkesempatan berjumpa dengan 16 kesatuan sekerja, mendengar sendiri cabaran yang dihadapi oleh mereka. Komitmen ini selaras dengan nilai ‘Kesejahteraan’ dan ‘Ihsan’ di bawah teras Malaysia Madani, memastikan kebajikan kaum pekerja terus terpelihara.” katanya lagi.
KESUMA juga menaikkan peruntukan kluster Latihan dan Program Pendidikan daripada RM20,000.00 kepada RM30,000.00, berikutan sambutan yang sangat menggalakkan pada tahun sebelumnya.
Matlamat utama kluster itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan faedah berkesatuan dan melatih ahli kesatuan menjadi pemimpin masa depan, sejajar dengan hasrat untuk memperkasakan pekerja dan kesatuan sekerja.
“Pada tahun ini, YB Menteri Sumber Manusia bersama Ketua-Ketua Jabatan KESUMA akan terus turun padang, mendekati lebih banyak kesatuan sekerja, menyelami isu-isu akar umbi, dan mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan kebajikan pekerja di seluruh negara. Di samping itu, JHEKS akan melaksanakan Program Outreach seperti Program Khidmat Masyarakat (CSR), Program Kesedaran Berkesatuan, dan Program Kolaborasi JHEKS bersama agensi kerajaan serta swasta.
Bagi memastikan objektif pelaksanaan PHEKS ini dapat dicapai, JHEKS akan mempromosi program ini kepada semua kesatuan sekerja melalui taklimat bersemuka dan pengiklanan di laman sesawang rasmi jabatan, jheks.mohr.gov.my, bermula 28 Januari 2025. Semua kesatuan sekerja disaran merebut peluang menyertai inisiatif-inisiatif KESUMA untuk membina masa depan yang lebih mampan dan sejahtera, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.” kata KESUMA.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment