Oleh: Dr Nurul Ashikin Alias
Bagi memastikan kesejahteraan penghidupan dalam sesebuah masyarakat sudah pastinya memerlukan kepada kemahiran pengurusan kewangan berkesan. Pengurusan kewangan yang baik dalam kalangan masyarakat adalah perlu bermula dengan pembinaan asas kesedaran literasi kewangan yang kukuh pada peringkat awal usia (kanak-kanak) sehingga mencapai pemahaman dan penguasaan tahap optimum dalam kalangan masyarakat.
Definisi literasi kewangan adalah merujuk kepada pengetahuan seseorang individu untuk menguruskan kewangannya berdasarkan pengetahuan yang dimiliki bagi mencapai status kewangan yang lestari dalam kehidupan serta memastikan kesejahteraan penghidupan.
Jika sebelum ini masyarakat Malaysia telah terbiasa dididik dengan konsep menyimpan wang yang diperolehi setelah dibelanjakan. Dalam erta kata lain, seseorang individu hanya menyimpan baki wang yang dimiliki setelah pembelian dilakukan sama ada berdasarkan keperluan atau kehendak. Namun, bagi memastikan status kewangan masyarakat berada dalam keadaan baik pada masa kini dan akan datang, maka terdapat modifikasi yang perlu dilaksanakan.
Perubahan yang perlu dilakukan terhadap konsep literasi kewangan bagi populasi gerenasi baru adalah konsep pengurusan kewangan yang baik harus bermula dengan langkah menyimpan wang yang diperolehi kemudian dibelanjakan hanya mengikut keperluan sahaja. Melalui kaedah ini seseorang individu itu akan lebih dapat membentuk tabiat menyimpan wang yang lebih stabil dan efisien sejak dari usia muda.
Amalan menyimpan wang atau menabung adalah merupakan satu proses penting bagi membantu perkembangan ekonomi masyarakat serta sekaligus dapat meningkatkan kadar tabungan negara. Namun begitu, tindakan menabung sahaja tanpa melibatkan langkah-langkah perlindungan kewangan lain sudah pastinya tidak akan mampu menyediakan jaringan keselamatan kewangan yang kukuh untuk masyarakat bagi memastikan kesejahteraan penghidupan satu tempoh jangka masa panjang.
Hal ini kerana wang simpanan yang diletakkan oleh seseorang individu dalam sesebuah bank sebenarnya turut diancam oleh beberapa faktor lain seperti penurunan nilai mata wang dan peningkatan kadar inflasi. Selain itu, simpanan wang di bank juga turut dikenakan fi dan caj perkhidmatan oleh pihak bank sama ada mengikut perkhidmatan atau berdasarkan tahun. Tambahan pula, nilai wang simpanan seseorang individu itu juga tidak dapat digandakan walaupun ditempatkan di dalam bank untuk jangka masa yang lama.
Nilai mata wang bagi sesebuah negara adalah sering berubah dan berisiko menghadapi penurunan dai semasa ke semasa disebabkan oleh faktor-faktor luaran seperti kestabilan politik dan ekonomi, sentimen pasaran, pertumbuhan ekonomi dan lain-lain. Maka, bagi memastikan jumlah wang simpanan seseorang individu akan bertambah dari semasa ke semasa bagi mengatasi ancaman kadar inflasi yang berlaku setiap tahun adalah melalui kaedah pelaburan kewangan.
Tahap kesedaran berkaitan kepentingan pelaburan kewangan di kalangan masyarakat Malaysia telah wujud, tetapi masih lagi berada pada peringkat rendah. Pelaburan kewangan yang boleh dilakukan oleh masyarakat masa kini adalah melibatkan beberapa kategori instrumen pelaburan. Antara kategori instrumen pelaburan yang boleh disertai oleh masyarakat adalah pelaburan pendapatan tetap, ekuiti, hartanah, alternatif dan unit amanah.
Seperti semua sedia maklum, terdapat beberapa instrumen pelaburan yang agak sinonim dengan masyarakat Malaysia iaitu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Tabung Haji, Hartanah, Saham dan Mata wang Kripto. Melalui instrumen-instrumen pelaburan ini akan membolehkan wang simpanan yang diletakkan di dalam sesebuah bank untuk berganda berdasarkan kepada compounding principle.
Namun begitu, pada masa yang sama masyarakat juga harus menyedari bahawa setiap satu instrumen pelaburan ini sudah pastinya miliki risiko tersendiri. Namun begitu, risiko sudah pasti dapat diuruskan dengan baik sekiranya masyarakat mempunyai ilmu pelaburan yang benar. Instrumen-instrumen pelaburan ini adalah lebih terjamin kerana sentiasa dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia.
Masyarakat perlu mempelajari ilmu yang benar dan tepat berkaitan kewangan dan juga instrumen pelaburan kewangan sedia ada bagi mengelakkan berlakunya insiden penipuan daripada scammers yang berleluasa seperti mana sering kita dengar terjadi pada masa kini. Disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan berkaitan pelaburan dan instrumen yang terlibat telah menyebabkan masyarakat kita sering mencari jalan mudah sehingga terpedaya dan terdedah dengan ancaman skim-skim pelaburan pulangan tinggi dalam jangka masa pendek.
Berita-berita yang kerap tersebar sering melaporkan mengenai individu-individu, khususnya warga emas dan golongan pesara, yang menjadi sasaran golongan penipu (scammers), sehingga mengakibatkan kerugian besar berjumlah ratusan ribu malah jutaan Ringgit Malaysia.
Oleh itu secara kesimpulannya adalah penting untuk masyarakat masa kini bertindak bijak dengan meningkatkan tahap literasi kewangan serta pengetahuan berkaitan instrumen pelaburan dalam kehidupan mereka.
Hanya melalui tahap pengetahuan tinggi dan implementasi yang teratur serta berstruktur sudah pasti dapat memastikan jaring perlindungan kewangan masyarakat berada pada tahap yang optimum dan kurang terdedah kepada ancaman dari faktor luaran seperti bencana alam, masalah kesihatan dan pengangguran yang akan meningkatkan tahap kerentanan masyarakat.
Pengetahuan pengurusan kewangan dan pelaburan yang tinggi dalam sesebuah masyarakat akan meningkatkan bilangan individu yang mempunyai jaringan perlindungan kewangan yang kukuh bagi memastikan kesejahteraan kehidupan mereka.
Penulis merupakan Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment