Kerajaan mampu haramkan vape jika ada kemahuan politik

Spread the love

Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bahawa sukar bagi kerajaan untuk membuat keputusan drastik mengharamkan vape, kami ingin menegaskan bahawa cabaran ini bukan alasan untuk terus membiarkan industri ini berkembang tanpa kawalan yang tegas. Sebagai pengerusi ASEAN, kita melihat negara jiran seperti Singapura dan Thailand telah mengharamkan vape. Dan yang terkini, Vietnam juga telah mengikuti langkah mengharamkan vape ini. Oleh itu, inilah masa yang paling tepat untuk negara kita menjadi teladan yang baik untuk mengharamkan vape kerana perkara ini tidak mustahil.

Dengan tergubalnya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awan 2024, kerajaan sebenarnya sudah mempunyai kuasa yang lebih efektif untuk melarang promosi, penajaan, jualan atas talian, dan penjualan secara terbuka di pasaran. Malahan, setiap produk merokok yang dijual mestilah didaftarkan termasuklah kandungan cecair vape.

Industri vape bukan sekadar perniagaan yang melibatkan golongan muda, tetapi juga semakin membimbangkan sebagai ancaman kepada kesihatan awam. Bukti saintifik menunjukkan kesan buruknya, termasuk peningkatan ketagihan nikotin dalam kalangan remaja serta penyalahgunaan cecair vape yang dicampur dengan bahan terlarang. Oleh itu, kerajaan berperanan penting dalam mengambil langkah tegas untuk melindungi kesihatan rakyat.

Membenarkan industri ini terus berkembang dengan alasan kawalan ‘ekosistem’ bukanlah langkah yang memadai dan boleh mendatangkan risiko yang tinggi. Adakah kita mahu mengadaikan majoriti masa depan kesihatan fizikal dan mental anak pewaris bangsa kita semata-mata kerana pendapatan lumayan yang dikecapi sebahagian kecil anak muda yang menjadi pemain industri vape. Apabila kesihatan awam menjadi pertaruhan, kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih tegas dan berani.

Kami menggesa kerajaan agar dengan segera mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menangani ancaman vape dengan mempertimbangkan larangan yang lebih menyeluruh atau sekatan yang lebih ketat untuk melindungi generasi muda daripada bahaya ketagihan nikotin dan bahan terlarang. Jangan lupa, Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam juga telah memutuskan vape adalah haram pada 2015.

Segera perkasakan para penguatkuasa untuk menegakkan undang-undang Akta Kawalan Produk Merokok 2024!


Oleh:

Dr. Mohd Afiq Mohd Nor
YDP Ikram Health dan Pakar Perubatan Kecemasan, PPUM
 
Dr. Mohd Hafyzuddin Md Yusuf
Jabatan Perubatan Kecemasan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation