Sistem Perisikan Pertama di Malaysia untuk pantau Aktiviti Penjualan Data Peribadi di Laman Gelap akan diluncurkan Suku Kedua Tahun ini

Spread the love
Menteri Digital Gobind Singh Deo. Kredit Foto : YouTube Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Februari 2025 – Kementerian Digital bakal memperkenalkan satu sistem perisikan untuk memantau aktiviti penjualan data peribadi di laman sesawang gelap pada suku kedua tahun ini.

Menteri Digital Gobind Singh Deo, ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini, berkata Projek Keupayaan Automasi Sokongan Perisikan Bagi Pengurusan Kes Ketirisan Data Peribadi adalah sistem perisikan pertama di Malaysia yang bertujuan untuk memantau aktiviti penjualan data peribadi di laman gelap.

“Projek ini dibangunkan berikutan peningkatan kebimbangan terhadap isu penjualan dan transaksi data peribadi melalui platform beli-belah dalam talian termasuk laman sesawang gelap. Projek ini akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini,” kata Gobind.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Digital, melalui Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP), dalam menangani krisis keselamatan digital global yang semakin membimbangkan.

Kementerian Digital, melalui Pesuruhjaya PDP, juga sedang giat meningkatkan aktiviti penguatkuasaan, memperhebat program advokasi serta menaiktaraf perisian, aplikasi dan keselamatan yang digunapakai dalam mengawal selia undang-undang keselamatan data peribadi seperti:

a. Aktiviti pemeriksaan sistem data peribadi di bawah Seksyen 101, Akta 709 pada tahun 2025 akan ditingkatkan sekurang-kurangnya 30% berbanding tahun 2024. Selain aktiviti pemeriksaan di premis syarikat dan organisasi, Pesuruhjaya PDP juga akan meningkatkan lagi aktiviti penilaian kendiri secara atas talian bagi meningkatkan pematuhan syarikat dan organisasi dalam memproses data peribadi.

b. Meningkatkan lagi aktiviti serbuan berdasarkan aduan pelanggaran data dan insiden siber yang berlaku di syarikat dan organisasi yang memproses data peribadi dengan transaksi komersial.

c. Membuka pejabat Pesuruhjaya PDP di beberapa lokasi seluruh negara bermula dengan pembukaan pejabat di Zon Sabah dan Sarawak dan kemudian diikuti dengan zon yang ditentukan bagi memudahcara penyelarasan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti serbuan di negeri-negeri di setiap zon yang berkenaan.

d. Memperhebatkan program advokasi dan kesedaran mengenai kepentingan pematuhan pemprosesan data peribadi dengan transaksi komersial berdasarkan Prinsip-prinsip Perlindungan Data Peribadi.

“Selain itu, Pesuruhjaya PDP akan melaksanakan Projek Pensijilan Information Security and Privacy Management System (ISPMS) berlandaskan Standard ISO/IEC 27001 Information Security Management System (ISMS) dan ISO/IEC 27701 Privacy Information Management System (PIMS) bagi memastikan keselamatan perisian, aplikasi, sistem maklumat dan privasi entiti pengawal selia Akta 709 sentiasa berada di tahap optimum mengikut piawaian antarabangsa,” kata Gobind.

“Dalam usaha melahirkan kepakaran siber negara, CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital, akan menubuhkan Akademi Keselamatan Siber Malaysia, sepertimana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada September tahun lalu. Langkah ini mendukung aspirasi Kementerian Digital untuk mengisi kekosongan tenaga kerja mahir bidang keselamatan siber dengan menawarkan kursus yang berpaksikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)” tambahnya.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation