Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) memainkan peranan penting dalam membentuk minda kritis, kreatif, dan inovatif di kalangan kanak-kanak. Pada era digital ini, kemahiran STEM bukan sahaja diperlukan untuk kerjaya masa depan tetapi juga untuk menyelesaikan masalah global seperti perubahan iklim, ketidakadilan sosial, dan kemerosotan alam sekitar. Melalui pendidikan STEM, kanak-kanak dapat mempelajari cara berfikir secara logik, menyelesaikan masalah, dan berinovasi. Ini amat penting bagi generasi muda, terutamanya mereka yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah (B40), untuk mendapatkan peluang yang sama dalam bersaing di peringkat global.
Sehubungan dengan itu, program STEM@UniMadani: Pengukuhan Pendidikan STEM untuk Generasi Muda telah dilaksanakan baru-baru ini oleh Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Projek Yusuff. Program ini bertujuan untuk memperkasakan pendidikan STEM di kalangan pelajar dari golongan B40, khususnya mereka yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kuala Lumpur, dan pelajar Sekolah Kebangsaan (2) Sultan Alam Shah (SK2SAS), Petaling Jaya. Program ini mendapat tajaan penuh melalui geran penyelidikan Komuniti@UniMadani dari Kementerian Kewangan Malaysia.
Program ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti kelas robotik Bristlebot, pengaturcaraan Arduino, sukan pembelajaran, dan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat seperti Petrosains dan Pusat Sains Negara. Melalui aktiviti ini, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada konsep asas STEM tetapi juga digalakkan untuk meneroka teknologi dan inovasi masa hadapan.
“Program STEM@UniMadani bukan sekadar tentang mengajar sains dan teknologi, tetapi tentang membuka minda pelajar untuk melihat potensi mereka dalam menyelesaikan masalah global. Melalui kerjasama dengan komuniti dan sokongan kewangan dari Kementerian Kewangan, kami berharap dapat melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” kata Prof. Madya Ir. Dr. Khairunnisa Hasikin, penasihat program yang juga merupakan Pengetua, Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, UM.
Sebahagian daripada program ini adalah kerjasama dengan Projek Yusuff, sebuah inisiatif kelas tambahan percuma untuk pelajar berusia 7 hingga 12 tahun dari golongan B40. Projek Yusuff menyediakan platform pembelajaran yang lebih mendalam melalui kelas robotik mingguan dan pengaturcaraan Arduino. Pelajar yang menunjukkan minat mendalam dalam bidang STEM dipilih untuk menyertai kelas intensif ini, yang diadakan di Dewan Gemilang, Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, UM.
Selain itu, program ini turut melibatkan sukarelawan dari Universiti Malaya yang terdiri daripada pelajar pelbagai jurusan. Penglibatan mereka bukan sahaja memperkayakan pengalaman peserta tetapi juga memupuk semangat komuniti di kalangan pelajar universiti.
“Melalui program ini, kami melihat bagaimana pelajar yang pada mulanya tidak berminat dengan sains dan matematik, kini mula menunjukkan minat yang mendalam. Aktiviti seperti membina Bristlebot dan memprogram Arduino bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membuka minda mereka tentang bagaimana teknologi boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Ini adalah langkah pertama untuk membina generasi yang lebih inovatif,” kata Nur Sabrina Amrul Hazli, mahasiswa UM yang juga merupakan pengarah program.
Program STEM@UniMadani dan kerjasama dengan Projek Yusuff telah berjaya mencipta impak positif dalam memperkasakan pendidikan STEM di kalangan pelajar B40. Melalui pendekatan praktikal dan interaktif, program ini bukan sahaja meningkatkan minat pelajar dalam bidang STEM tetapi juga membina asas yang kukuh untuk mereka menghadapi cabaran masa depan. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas agar lebih ramai pelajar dapat memanfaatkan peluang untuk meneroka potensi mereka dalam bidang teknologi dan inovasi.
Menurut Nur Sabrina, dengan sokongan daripada kerajaan, komuniti, dan institusi pendidikan, program ini menjadi bukti bahawa pendidikan STEM yang berkualiti boleh diakses oleh semua, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. “Ini adalah langkah penting ke arah melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan berinovasi untuk masa depan Malaysia,” katanya mengakhiri temubual.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment