Oleh: Mohd Anuar Ramli, Muhammad Syafiq Mohd Fuad
Bulan Syaaban merupakan salah satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT kerana wujudnya satu malam yang istimewa di antara malam yang lain. Di samping itu, bulan ini juga terdapat kebaikan yang banyak, umpamanya seperti bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT dalam bulan ini pintu taubat terbuka luas. Begitu juga dengan amalan ketaatan yang dilakukan akan dijanjikan dengan ganjaran pahala yang besar.
Allah SWT menjadikan bulan ini sebagai jaminan keamanan kepada orang yang bertaubat sepertimana mereka aman dari neraka. Oleh itu, umat Islam perlulah bersungguh-sungguh dalam memohon keampunan kepada Allah sebelum memasuki bulan Ramadhan dalam keadaan yang bersih dan suci sama ada dari aspek fizikal atau kerohanian. Di samping itu, amalan-amalan sunat yang dilakukan dalam bulan Syaaban dapat diteruskan dalam bulan Ramadan mendatang dengan lebih mudah.
Bulan Syaaban mendapat perhatian yang istimewa daripada Nabi Muhammad SAW selain daripada bulan Ramadan. Dalam bulan ini, Rasulullah SAW mengamalkan puasa sunat yang lebih banyak berbanding bulan lain.
Teladan ini dapat dilihat dalam hadis Nabi SAW bila mana Baginda menjawab pertanyaan Sahabat: Usamah bin Zaid bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, saya belum pernah melihat anda berpuasa dalam satu bulan sebagaimana anda berpuasa di bulan Syaban. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Ini adalah bulan yang sering dilalaikan ramai orang, bulan antara Rejab dan Ramadan. Ini adalah bulan yang mana amal-amal diangkat menuju Tuhan semesta alam. Dan saya ingin ketika amal saya diangkat, saya dalam keadaan berpuasa. (HR al-Nasa’i)
Selain itu, keistimewaan bulan Syaaban juga kerana turunnya arahan berselawat kepada baginda SAW sepertimana tercatat dalam surah al-Ahzab ayat ke 56: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
Menurut al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini, ia menunjukkan kemuliaan kepada Rasulullah SAW sama ada ketika hidup atau wafat. Erti selawat Allah kepada Nabi Muhammad adalah anugerah rahmat dan keredhaannya, manakala selawat para Malaikat adalah doa dan keampunan buat baginda, sedangkan selawat umat adalah doa dan pengagungan terhadap perintahnya.
Dalam bulan Syaaban juga, biasanya dihidupkan dengan amalan-amalan sunat seperti berpuasa, mendirikan solat sunat, membaca al-Quran, berselawat, bersedekah dan seumpamanya. Ini disebabkan terdapat malam yang berlakunya penutupan buku amalan tahunan dan ramai kalangan umat Islam merebut peluang agar buku rekod diangkat dalam keadaan yang bersih.
Bagi sebahagian umat Islam, mereka menghidupkan malam separuh Syaaban atau Nisfu Syaaban dengan amalan-amalan sunat dan kebaikan. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW: Sesungguhnya Allah melihat pada malam pertengahan Syaban. Maka Dia mengampuni semua makhluknya, kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuhan. (HR Ibnu Majah).
Berdasarkan hadis tersebut, malam Nisfu Syaaban diibaratkan dengan malam pengampunan dari Allah SWT. Namun begitu, pengampunan ini adalah bagi mereka yang tidak terlibat dengan perbuatan syirik atau menyekutukan Allah dengan sesuatu dalam Zat-Nya Yang Maha Tinggi, dalam sifat-sifat-Nya, atau dalam ibadah kepada-Nya dan tidak juga kepada orang yang bermusuhan.
Akan tetapi ia tidak termasuk perbezaan pandangan biasa antara sesama Muslim selagi tidak menimbulkan permusuhan, kebencian dan dendam. Selain itu, pengampunan ini juga bagi mereka yang tidak memutuskan tali silaturahim, orang yang takabbur, orang yang tidak bertaubat dengan dosa zinanya, orang yang minum arak, orang yang mengadu domba, dan sebagainya.
Jadi, bagi mempermudahkan umat Islam akan proses menghidupkan malam tersebut, ulama telah menyusun amalan yang boleh dilakukan seperti membaca surah Yasin sebanyak tiga kali, berzikir, beristighfar, berselawat kepada baginda SAW dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT. Antara doa yang dianjurkan adalah memohon agar dipanjangkan umur dalam ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT, dilindungi dari perkara berbahaya, dikurniakan rezeki yang halal agar dapat beribadah kepada Allah SWT, diteguhkan iman, istiqamah dalam kebaikan dan dianugerahkan dengan husnul khatimah.
Panduan ini tidak mengikat umat Islam secara mandatori. Ia hanya salah satu bentuk pengisian amalan soleh yang boleh dilakukan. Banyak lagi amalan lain yang boleh dilakukan bagi menghidupkan malam Syaaban dan malam Nisfu Syaaban. Asalkan umat Islam mahu beramal, bukan berada dalam keadaan lalai ketika buku laporan tahunan diangkat.
Jelasnya, hikmah yang terdapat dalam penentuan Allah SWT pada malam Nisfu Syaaban adalah berbentuk dorongan dan ancaman. Ia menjadi dorongan buat umat Islam untuk melipatgandakan amalan sepertimana teladan Baginda SAW, mereka melakukan dengan penuh bersemangat amal ibadat dan kebaikan. Dan ia menjadi ancaman kepada mereka yang masih berada dalam keadaan lalai dan maksiat agar kembali bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT untuk mendapat keampunanNya.
Intihanya, dalam bulan Syaaban tersirat beberapa hikmah yang dapat diambil sebagai ibrah atau panduan kehidupan. Di samping ia sebagai persediaan atau persiapan kita untuk memasuki bulan Ramadhan, ia turut membawa kita lebih dekat dengan Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan ibadat dan kebaikan.
Dalam masa yang sama, dalam bulan Syaaban juga segala amalan baik dan buruk bagi tahun sebelumnya akan ditutup dan lembaran baru bagi tahun berikutnya akan dibuka. Justeru rebutlah peluang untuk beramal soleh dan memohon keampunan Allah SWT agar kita termasuk dalam golongan yang beruntung dan tidak termasuk dalam kalangan yang lalai lagi rugi.
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli adalah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, manakala Muhammad Syafiq Mohd Fuad merupakan mahasiswa dari Universiti al-Azhar, Mesir.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment