• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

SEMPADAN LAUT CHINA SELATAN, MALAYSIA SERIUS TANGANI ISU PENCEROBOHAN BOT NELAYAN ASING

Spread the love

KOTA BHARU, 11 Mei 2023 – Kerajaan melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sentiasa mempertahankan kedaulatan perairan negara khususnya daripada ancaman pencerobohan Bot Nelayan Asing (BNA) di sepanjang Laut China Selatan dengan menyelaras operasi bersama-sama agensi penguat kuasa lain di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Op Naga merupakan tindakan strategik yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam menggerakkan agensi penguatkuasaan yang berkaitan di negara ini secara bersepadu dalam membendung isu tersebut.

Selain daripada Op Naga, Maritim Malaysia turut melipatgandakan usaha dengan melancarkan Op Kuda Laut bagi menghalang kegiatan yang menyalahi undang-undang berlaku di kawasan perairan negara.

Sepanjang lima tahun pelaksanaan bagi kedua-dua operasi berkenaan, Maritim Malaysia telah berjaya menahan sejumlah 474 BNA dengan 384 daripadanya adalah BNA Negara Vietnam. Nilai rampasan bagi kesemua BNA adalah berjumlah lebih RM670 juta.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke sempadan Maritim Negeri Kelantan, di sini semalam.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia selaku memangku tugas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim serta Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman. Saifuddin menambah, selain aktiviti tangkapan ikan oleh nelayan asing di kawasan zon maritim negara, pelaksanaan operasi berkenaan bertujuan mengekang pencerobohan kapal pengawal pantai negara luar dari memasuki kawasan perairan negara khususnya di sekitar kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Beliau turut memberitahu, berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Penubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982, perairan berdaulat milik sesebuah negara adalah sejauh 12 batu nautika daripada kawasan pantai, manakala kawasan perairan ZEE milik sesebuah negara adalah sejauh 200 batu nautika daripada pantai.

Bagi menghentikan isu terbabit, beliau menegaskan akan membawa rundingan ke peringkat mesyuarat kabinet supaya ia dapat dibentangkan di Parlimen untuk diambil tindakan sehingga ke peringkat pertubuhan antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Maritim Malaysia telah berjaya membuat 48 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan (5 kes penyeludupan kontraband dan barang kawalan, 3 kes Bot Nelayan Asing, 22 kes Bot Nelayan Tempatan, 3 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), 13 kes Ordinan Perkapalan Saudagar serta 2 kes rompakan dan kecurian) dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai lebih RM15 juta sempena Op Khas Pagar Laut 1/2023 yang telah tamat pada 30 April lalu.

Operasi yang diaktifkan kembali sempena musim perayaan Aidilfitri pada 9 April lalu bertujuan meningkatkan kawalan sempadan perairan negara  dengan menumpukan kepada semua aktiviti jenayah rentas sempadan terutama kes Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan kontraband serta penyeludupan barang-barang kawalan di sempadan perairan seluruh negara.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation