Bulan Pelancongan Islam (ITM 2023): Sambutan Meriah Menampilkan Pelbagai Aktiviti Menarik dan Memperkayakan

Spread the love

PUTRAJAYA, MALAYSIA, 14 OGOS 2023: Pusat Pelancongan Islam (ITC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan bangga mengumumkan pelancaran Bulan Pelancongan Islam 2023 (Islamic Tourism Month – ITM 2023), sambutan selama satu bulan, menampilkan pelbagai tawaran pelancongan mesra Muslim menarik oleh industri pelancongan negara.

ITM 2023 bakal diadakan dari 21 Ogos hingga 17 September 2023, satu bulan yang penuh dengan pelbagai acara, aktiviti dan tawaran pelancongan kepada orang awam, pelancong dan penggiat industri pelancongan termasuk para usahawan. Tawaran dan promosi eksklusif akan diberi berdasarkan kategori berikut: penginapan, pakej pelancongan, spa dan kesihatan, beli-belah dan peruncitan, makanan dan minuman, acara dan pameran, pelancongan masjid serta seminar dan latihan.

Jemputan dibuka kepada setiap lapisan masyarakat dan ITM 2023 akan menonjolkan Hari Terbuka Masjid, tawaran istimewa untuk penginapan hotel, tawaran masa terhad untuk perkhidmatan spa dan kesihatan dan diskaun hebat untuk membeli-belah oleh pusat membeli-belah dan sektor peruncitan Malaysia yang pelbagai dan dinamik.

Antara yang menarik adalah tawaran burger Halal istimewa dari MyBurgerLab, serta pameran koleksi kesenian Islam di Muzium Kesenian Islam Malaysia (Islamic Arts Museum Malaysia – IAMM). Selain itu, tawaran spa dan kesihatan daripada Nur Taj Spa dan Aora Spa and Wellness memberikan pengalaman urutan dan penjagaan diri berlandaskan warisan Nusantara. Manakala hotel seperti Tamu Hotel & Suites dan Sunway Putra Hotel serta hotel-hotel lain di seluruh Malaysia akan membuka pintu mereka kepada para pelancong dengan pelbagai promosi eksklusif.

ITM 2023 turut sama mempromosikan rakan hotel ITC yang sudah menerima atau sedang mendapatkan Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan Mesra Muslim dan Hospitaliti (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition – MFAR). MFAR ialah lanjutan daripada sistem penarafan bintang MOTAC dan merupakan pengiktirafan berkaitan pelancongan Islam pertama di dunia yang dikeluarkan oleh sebuah agensi kerajaan.

Pengalaman Bulan Pelancongan Islam tahun ini dipertingkatkan lagi dengan penggunaan teknologi QR, di mana, dengan hanya menggunakan peranti pintar anda, anda boleh mengimbas dan mendapatkan akses segera kepada tawaran dan promosi yang menarik, bersama-sama dengan maklumat penting tentang acara, produk dan perkhidmatan yang telah disediakan khas oleh ITM 2023 dan rakan-rakan strategik untuk sepanjang bulan ini. Terdapat juga Cabaran Tik Tok dengan hadiah menarik untuk dimenangi.

ITM 2023 akan dilancarkan pada 18 Ogos 2023 di Casuarina Convention Centre, Ipoh Perak oleh YAB Dato’ Seri Haji Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dengan kehadiran istimewa YB Khairul Firdaus bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Nizran Noordin, Ketua Pengarah ITC.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation