Jangan jadikan anak murid sebagai content di media sosial – Teo Nie Ching
Guru-guru dan ibu bapa diseru untuk berfikir secara mendalam sebelum memuat naik gambar atau video anak-anak ke media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, beliau menyokong kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang melarang guru-guru menjadikan anak murid sebagai ‘content’ di media sosial.
“Memang pada zaman sekarang semua orang ada akaun media sosial, tetapi itu tidak bermaksud bahawa kita boleh ataupun perlu berkongsi apa-apa sahaja informasi dalam media sosial kita.
“Kita perlu ingat bahawa murid-murid, pelajar-pelajar adalah golongan kanak-kanak yang belum mencapai umur dewasa,” katanya menerusi satu video pendek di laman sosial TikToknya.
Jelasnya, informasi-informasi berkaitan anak murid ini adalah sangat-sangat sensitif dan kita sebagai orang dewasa perlu menjadi penjaga dan penyelamat kepada anak-anak bangsa.
Baru-baru ini media melaporkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu pelanggaran garis panduan penglibatan murid di dalam media sosial.
Isu ini timbul apabila ada ibu bapa yang resah dan menyelar tindakan segelintir guru menggunakan anak murid sebagai kandungan untuk dimuat naik ke akaun laman sosial mereka demi mengejar populariti dan mendapat habuan peribadi.
Be the first to leave a comment