• arrow_back Home
  • keyboard_arrow_right AM

Jumpaan Terkini Arkeologi Di Tapak Candi Bukit Choras, Daerah Yan, Kedah Darul Aman

Spread the love

KEDAH, 22 September 2022 – Jabatan Warisan Negara (JWN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menemui dua (2) buah arca hampir lengkap dan prasasti semasa kerja-kerja penyelidikan di Tapak Arkeologi Bukit Choras, Kedah.

Menurut JWN menerusi satu siaran media yang diedarkan semalam, tapak tersebut juga telah diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] pada 28 Disember 2016.

Kata JWN, kolabarasi tersebut merupakan projek rintis dalam bidang penyelidikan dan pendidikan susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara JWN dengan Universiti Awam yang ditandatangani pada bulan Mac 2023.

“Penyelidikan ekskavasi arkeologi ini diketuai oleh Dr. Nasha bin Rodziadi Khaw, Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (PPAG, USM). Penyelidikan Fasa I pada 28 Ogos hingga 12 September 2023 telah mendedahkan separuh daripada struktur keseluruhan candi utama.

Setakat 8 September 2023, ekskavasi telah berjaya mendedahkan struktur binaan candi yang jauh lebih besar dan lengkap dengan memperlihatkan separuh daripada bahagian dinding utara dan selatan serta keseluruhan dinding barat candi. Manakala bahagian kaki candi memperlihatkan susunan bertangga serta memiliki orientasi yang bertepatan dengan arah mata angin.” kata JWN.

Turut dijumpai di tapak tersebut ialah dua (2) buah arca di dinding selatan dan barat candi ini. Walaupun berada dalam keadaan yang haus dan pecah, arca tersebut masih boleh dikenalpasti dan berada dalam keadaan in situ. Di samping itu, ditemui juga prasasti beraksara Pallava serta serpihan-serpihan tembikar tanah.

“Pentarikhan awal yang dicadangkan bagi tapak ini adalah sekitar abad ke-8/9 Masihi iaitu sezaman dengan kebanyakan tapak candi lain di Lembah Bujang dan perkembangan zaman Srivijaya. Arca-arca dan artifak yang dijumpai akan dibawa ke makmal PPAG, USM untuk kerja-kerja pembersihan, konservasi dan penyelidikan lanjut. Fasa kedua penyelidikan ini bakal dijalankan pada bulan Disember 2023 yang melibatkan ekskavasi terhadap separuh lagi struktur binaan utama tersebut.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah selaku pemilik tapak akan memastikan penemuan ini dijadikan rujukan serta dikongsikan kepada orang ramai sebagai bukti pencapaian peradaban dan teknologi masyarakat Kedah Tua. Selain itu, perancangan terhadap pemajuan tapak serta pemuliharaannya sebagai tapak warisan yang telah diwartakan di bawah Akta 645 juga perlu mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua pihak baik di peringkat persekutuan, kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan komuniti. Tapak ini berpotensi untuk dijadikan sebagai produk pelancongan domestik iaitu tapak arkeopelancongan di daerah Yan, Kedah. Impaknya amat positif kepada sektor sokongan dan perkhidmatan yang akhirnya limpahan ekonomi dan kemakmuran tersebut akan dinikmati secara langsung atau tidak kepada rakyat serta komuniti secara keseluruhannya.” kata JWN.

Login to enjoy full advantages

Please login or subscribe to continue.

Go Premium!

Enjoy the full advantage of the premium access.

Stop following

Unfollow Cancel

Cancel subscription

Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.

Go back Confirm cancellation