SUNGAI BULOH, 6 OKTOBER 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala bersama Universit Murdoch Australia (MU) dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk menggalakkan lagi program perkongsian kepakaran, penganjuran bersama bengkel dan seminar antarabangsa, pertukaran staf dan pelajar, aktiviti penyelidikan dan penerbitan.
Satu majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) telah diadakan di Auditorium Khalid Yusoff, Fakulti Perubatan, UiTM Kampus Sg Buloh. Pertukaran dokumen persefahaman ini diserahkan oleh Penolong Naib Canselor (Strategi) UiTM, Prof. Ts. Dr. Nor Hayati Saad yang mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd Janor kepada Pro Naib Canselor, Kolej Alam Sekitar dan Sains Hayat, Universiti Murdoch, Prof. Dr. Jennifer Verduin.
Bersempena majlis ini, satu bengkel Environmental Forensics: Science, Investigation, and Transnational Education to Fight Green Crimes telah dianjurkan oleh Institut Bioteknologi Perubatan Molekul (IMMB), Fakulti Perubatan bermula dari 25 September sehingga 8 Oktober 2023. Bengkel ini disertai oleh 20 orang pelajar Universiti Murdoch yang diketuai oleh Dr. Paola A. Magni yang merupakan pensyarah kanan dan penyelidik sains forensik dari universiti tersebut.
Sebagai salah satu projek mobiliti tajaan kerajaan Australia di bawah program New Colombo Plan (NCP), bengkel selama 14 hari ini terdiri daripada beberapa siri syarahan, perbincangan, lawatan tapak dan melibatkan pelbagai aktiviti bersama rakan strategik lain termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE). Bengkel ini turut melibatkan perkongsian kepakaran dari pensyarah-pensyarah UiTM termasuk Prof. Madya Dr. Heo Chong Chin, pakar entomologi forensik UiTM yang turut merupakan perintis kepada MoU ini.
Penganjuran program ini adalah penting sebagai salah satu wadah perkongsian ilmu, kepakaran, dan pertukaran budaya kerja yang kemudiannya mampu meningkatkan perkembangan profesional dan kerjasama di antara Universiti Murdoch dan Fakulti Perubatan UiTM. Keterlihatan dan publisiti yang positif hasil dari pemetraian persefahaman dan penganjuran bengkel ini juga mampu memperkenal UiTM sebagai pusat latihan dan rujukan yang dikenali di peringkat global seiring dengan pelan strategik UiTM 2025.
Please login or subscribe to continue.
No account? Register | Lost password
✖✖
Are you sure you want to cancel your subscription? You will lose your Premium access and stored playlists.
✖
Be the first to leave a comment